Kredit foto: Instagram Achey
“Jagalah mulut apabila beri komen jangan sesuka hati tuduh orang mandul.”
Demikian respon pelawak, Achey, apabila dirinya dan isteri digelar mandul kerana belum mendapat anak di tahun ketujuh usia perkahwinan.
Achey, 32, berkata, dia tidak berdendam apabila dilempar hinaan sedemikian kerana sudah sebati dengan cacian sejak tiga tahun lalu.
“Mungkin mereka tidak pernah merasai apa yang kami lalui. Saya dan isteri sebenarnya tidak kisah kerana pada usia perkahwinan kami tiga tahun lagi macam-macam orang cakap.
“Cuma janganlah cakap ikut suka saja, takut nanti perkara itu berbalik pada diri sendiri. Kalau bukan diri sendiri mungkin pada anak, adik-beradik atau saudara-mara,” katanya dalam laporan portal Harian Metro.
Menurut Achey, dia merasakan dugaan yang diterima itu adalah ujian dari Allah dan hanya insan terpilih yang diberikan ujian sedemikian.
Dalam masa sama, Achey berkata, dia tidak pernah berputus asa, malah terus mencuba pelbagai rawatan dan petua untuk memperoleh zuriat.
“Sama seperti orang lain, kami juga menyimpan hasrat mempunyai anak. Saya dan isteri ada pergi ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Isteri saya juga pergi berurut dan kami menjalani kehidupan lebih sihat dengan menjaga pemakanan.
“Kami tetap positif dan menganggap ini sebagai ujian dari Allah. Ada yang diberikan kesenangan tetapi bukan kebahagian dengan anak tetapi ada juga merasai kegembiraan mempunyai zuriat sendiri namun kurang dari segi kewangan,” katanya.
Kisah suka duka kehidupan Achey termasuk isu zuriat dimuatkan dalam program Di Balik Tawa yang ditayangkan di kaca televisyen baru-baru ini.
Rata-rata netizen mengakui tersentuh hati mendengar luahan perasaannya dalam rancangan berkenaan.
Achey berkata, ramai pengikut beliau memberi respon positif serta menghantar mesej berbentuk kata-kata semangat di laman Instagram.
“Saya berterima kasih kepada semua peminat dan penonton Di Balik Tawa kerana memberi komen positif dan mendoakan kesejahteraan kami.
“Mungkin usia perkahwinan kami baru tujuh tahun tetapi saya juga merasai apa yang dirasai oleh mereka yang sudah lama menunggu cahaya mata. Saya sekadar berkongsi pengalaman dan perasaan,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro