Kredit foto: Facebook Adamdidam & Instagram Neelofa
Sepupu kepada Neelofa iaitu chef selebriti, Adam Mahamed Ismail atau lebih dikenali sebagai Adamdidam, 29, meninggal dunia pada kira-kira pukul 5 pagi tadi kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
Neelofa menerusi reaksi balasnya terhadap berita sedih itu, meluahkan rasa terkesan memandangkan pemergian arwah merupakan satu lagi kehilangan buatnya selepas beberapa kematian insan tersayang pada tahun lalu, termasuk datuknya.
“Innalillah... Sebagai seorang sepupu yang rapat sejak kecil, perkhabaran perginya Adam menghadap Ilahi sangat menyedihkan apatah lagi sejak tahun lalu ramai insan yang dekat dengan keluarga dijemput pulang terlebih dulu ke negeri abadi," katanya menurut Harian Metro.
Neelofa yang meluahkan rasa sayang terhadap bakat arwah dalam bidang masakan, bagaimanapun terpaksa akur dengan perancangan yang lebih baik diatur Tuhan.
Kredit foto: Facebook Adamdidam
“Kami pernah menjayakan program masakan bersama dan memori itu yang Lofa akan simpan sampai bila-bila. Adam punya banyak potensi sebagai tukang masak tetapi Allah itu sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui.
“Semoga Allah memberikan syurga tertinggi buat Adam dan semoga keluarga Adam tabah melalui ujian ini. Adam akan sentiasa diingati dan dirindui. Al-Fatihah,” katanya lagi.
Terdahulu, kapsyen kiriman kedua terakhir Instagram bekas peserta Hero Oven musim kedua itu seakan memberi bayangan dia bakal pergi buat selama-lamanya dalam keadaan yang menyayat hati.
“Sudah terlalu lama saya menghilang... Apabila sesuatu terjadi, agak sukar untuk kita kembali kepada kehidupan sebelum ini. Dalam sekelip mata, hidup anda berubah 360!
“Dan, perancangan anda? Lupakan saja. Ia hilang! Anda rasa tidak berdaya. Terlalu banyak berfikir. Dan, semua perkara yang karut datang ke dalam minda. Sekurang-kurangnya itu apa yang saya rasa,” tulisnya.
Sumber berita: Harian Metro