Setiap daripada kita pasti pernah mendengar dari kawan-kawan mengenai dakwaan bahawa Tembok Besar China adalah satu-satunya binaan ciptaan manusia yang dapat dilihat oleh mata manusia dari angkasa. Adakah benar dakwaan ini?
Dakwaan ini mungkin berasas memandangkan Tembok Besar China ini mempunyai panjang berukuran 21,000km, sekaligus membolehkannya memegang rekod binaan manusia terpanjang di dunia. Namun, adakah ianya benar-benar boleh dilihat dengan jelas oleh mata manusia daripada angkasa?
BESARKAN TEKS A- A+
Jawapannya:
- Sekiranya dakwaan tersebut menyatakan tembok ini boleh dilihat secara mata kasar dari angkasa, maka jawapannya TIDAK BENAR.
- Sekiranya dakwaan tersebut menyatakan tembok ini boleh dilihat dengan bantuan satelit, jawapannya BENAR.
Penyebaran mitos
Mitos mengenai dakwaan bahawa manusia dapat melihat Tembok Besar China dengan mata kasar daripada angkasa ini dipercayai bermula sekitar tahun 1930-an. Terdapat beberapa sumber awal yang dikatakan menyebabkan penularan mitos ini.
Pertama, pada tahun 1932, rancangan kartun "Ripley's Believe It Or Not" telah memaparkan mengenai kisah Tembok Besar China dan menyatakan ianya “the mightiest work of man, the only one that would be visible to the human eye from the moon" yang bermaksud "satu binaan hebat oleh manusia, satu-satunya binaan manusia yang dapat dilihat oleh mata manusia daripada angkas".
Selain itu, pada tahun 1938 dalam sebuah buku bertajuk "Second Book of Marvels, the Orient" tulisan Richard Halliburton ada tertulis ayat berbunyi “Astronomers say that the Great Wall is the only man-made thing on our planet visible to the human eye from the moon.” yang bermaksud "Para ahli astronomi telah mengatakan bahawa Tembok Besar China adalah satu-satunya binaan manusia yang boleh dilihat oleh mata manusia daripada bulan".
Richard Halliburton merupakan seorang penulis terkenal dan juga seorang pengembara. Buku-bukunya banyak berkaitan kisah pengembaraannya dan laris dijual pada zaman tersebut. Popularitinya pada ketika itu dipercayai antara sebab mitos bahawa Tembok Besar China dapat dilihat dengan mata kasar daripada angkasa terbesar luas diperingkat awal.
Menyangkal kebenaran mitos
Persoalan mengenai mitos ini mula hebat diperkatakan apabila Yang Liwei, angkasawan pertama China sendiri mengatakan bahawa beliau tidak dapat melihat dengan mata kasar binaan tembok besar China ketika berada di angkasa. Pada 2003, China telah menjadi negara ketiga menghantar angkasawan ke angkasa dengan pelancaran misi Shenzhou 5.
Selain itu, mengikut sejarah misi pertama manusia ke angkasa adalah sekitar tahun 1968 oleh Apollo-7 (Amerika Syarikat) dan Argon (Soviet Union). Jika dibandingkan mengikut tahun, misi ke angkasa ini hanya berlaku kira-kira 30 tahun selepas mitos ini tersebar. Maka, timbul pendapat bahawa kenyataan bahawa Tembok Besar China boleh dapat dilihat daripada angkasa secara mata kasar hanyalah anggapan penulis buku "Second Book of Marvels, the Orient" dan penerbit rancangan "Ripley's Believe It Or Not" semata-mata.
Mitos mengenai kemampuan mata manusia untuk melihat Tembok Besar China juga mungkin disebabkan kekeliruan gambar-gambar satelit yang tersebar memaparkan Tembok Besar China dengan jelas. Ketahuilah bahawa gambar-gambar tersebut merupakan gambar berosolusi yang sangat tinggi daripada satelit yang telah dizum (zoom) dan diproses agar objek lebih jelas.
Sebab Tembok Besar China tidak dapat dilihat oleh mata manusia daripada angkasa
1. Jerebu - China sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang sangat tercemar. Pencemaran udara di China sangat serius sehingga memaksa kerajaan bertindak agresif memperkenalkan polisi-polisi baru untuk mengurangkan pencemaran di negara tersebut. Jerebu yang tebal ini merupakan antara faktor yang menyebabkan binaan Tembok Besar ini tidak dapat dilihat oleh mata manusia di angkasa.
2. Limitasi mata manusia - Seorang profesor Norberto López-Gil dari University of Murcia dari Sepanyol berkata melihat Tembok Besar China daripada angkasa adalah sesuatu yang mustahil mengikut limitasi mata manusia. Melihat Tembok Besar daripada jarak kira-kira 160 km adalah umpama melihat kabel yang mempunyai diameter 2 sentimeter dari jarak 0.5 kilometer. Secara mudahnya, untuk mempunyai kemampuan tersebut, mata manusia mestilah mempunyai ketajaman 3 kali ganda mata burung helang.
3. Rekabentuk tembok - Memang benar Tembok Besar China merupakan sebuah binaan yang sangat besar namun binaannya berselerak dan memanjang. Malah, jika dibandingkan kelebaran tembok ini sekalipun ianya lebih kecil berbanding kelebaran Jambatan Pulau Pinang. Selain itu, tembok ini juga dibina daripada batu-bata yang mempunyai warna hampir sama dengan gunung-gunung disekitarnya.
Kredit: