great wall of china dragon

Sekiranya anda berkemampuan daripada segi kewangan, pergilah ke China dan lawatilah Tembok Besar China. Anda pasti kagum. Tembok Besar China merupakan salah satu binaan yang tersenarai dalam senarai 7 keajaiban dunia ciptaan manusia.

Melihatnya daripada jarak dekat pasti menimbulkan seribu satu pertanyaan.

  • Berapa lamakah masa diperlukan untuk membina tembok ini?
  • Berapakah bilangan pekerja yang terlibat dalam pembinaan tembok besar ini?
  • Berapakah panjang keseluruhan tembok besar ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

dan banyak lagi. Kali ini, kami di iluminasi ingin berkongsi beberapa fakta dan sejarah menarik mengenai Tembok Besar China ini.

Binaan manusia terpanjang di dunia pelan rekabentuk tembok besar china

Mengikut banyak kajian, panjang keseluruhan tembok ini sebenarnya melangkaui 21,000km! Ini jauh meninggalkan pesaing-pesaing binaan terpanjang manusia yang lain seperti Grand Canal, Lebuh raya Pan-American dan Tembok Dingo, binaan tembok sepanjang 5600km di Australia yang dibina pada tahun 1880-an bagi membendung penyebaran wabak arnab pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, binaannya yang terlalu panjang ini menyukarkan tembok ini untuk terus dipelihara. Akibat daripada perubahan cuaca dan peredaran masa, sebahagian besar daripada binaan tembok ini berada dalam keadaan teruk malah ada yang sudah runtuh.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Great Wall of China Society pada tahun 2014 mendapati hanya 8.2% daripada bahagian tembok ini berada dalam keadaan baik, 74.1% daripadanya berada dalam keadaan teruk manakala selebihnya musnah sama sekali. Pada masa kini, hanya kira-kira 8851km daripada tembok ini masih berdiri teguh.

Anggaran 1700 hingga 2000 tahun tempoh pembinaan

tembok besar china pada musim sejuk

Mengikut sejarah, tempoh pembinaan tembok ini dianggarkan mengambil masa selama 1700 hingga 2000 tahun! Suatu tempoh yang sangat lama dengan mengambil kira kekurangan teknologi pada zaman dahulu. Pembinaan tembok ini juga dilakukan secara berperingkat dan mempunyai banyak cabang atau seksyen.

Tujuan utama pembinaan tembok ini adalah sebagai benteng pertahanan daripada serangan musuh dari luar. Maka, setiap pemerintah akan terus mengarahkan penambahan pembinaan tembok besar ini mengikut keperluan masing-masing bagi mempertahankan negara daripada musuh. Proses pembinaan tembok ini juga merupakan satu proses yang rumit, sukar dan berisiko tinggi memandangkan tembok ini dibina di lereng-lereng bukit.

Lebih 1 juta orang mati membina tembok ini kehancuran tembok besar china

Dengan tempoh pembinaan yang melangkaui 1700 tahun dan kurangnya penggunaan teknologi pada zaman tersebut, maka semestinya banyak tenaga buruh diperlukan bagi pembinaan Tembok Besar China ini. Dianggarkan 1 juta manusia telah terkorban semasa pembinaan tembok ini. Mereka yang terkorban ini kemudiannya akan ditanam disitu juga.

Sementara itu, buruh kasar yang terlibat dalam pembinaan tembok ini kebanyakannya terdiri daripada hamba, banduan dan pelaku jenayah. Malah, semasa pemerintahan Maharaja Qin, dianggarkan 300 000 orang tentera telah dikerah sebagai buruh kasar bagi membina tembok ini.

Anggaran 3.8 bilion bongkah batu digunakan binaan tembok besar china

Binaan yang panjang dan besar ini semestinya memerlukan bahan binaan yang sangat banyak. Dianggarkan 3.8 bilion bongkah batu-bata digunakan bagi membina keseluruhan Tembok Besar China ini.

Menariknya, satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis mendakwa bahawa penggunaan beras pulut dan kapur dalam penghasilan batu-bata yang digunakan merupakan antara kunci rahsia bagaimana binaan tembok ini kekal utuh sehingga ini. Sifat beras yang melekat dan lembut ini dikatakan mampu menghasilkan bongkahan batu-bata yang sangat padu dan mampu menahan gegaran gempa bumi.

10 juta pelancong setiap tahun

pelancong tembok besar china

Kini, Tembok Besar China menjadi salah satu tempat yang wajib dikunjungi bagi pelancong dari luar negara yang datang ke China. Sekiranya anda ingin melawati tembok ini, terdapat beberapa kawasan yang telah dibangunkan dan dipelihara untuk tujuan pelancongan. 

Antara kawasan yang popular dan dipelihara untuk tujuan pelancongan adalah Badaling. Kawasan secara rasminya dibuka kepada pelancong pada tahun 1957 dan kawasan ini menjadi pilihan kebanyakan pelancong kerana lokasinya yang paling dekat dengan Beijing. Malah, setiap tahun terdapat sebuah acara marathon yang diberi nama Great Wall Marathon dianjurkan di Tembok Besar China dengan penyertaan kira-kira 2500 pelari dari pelbagai buah negara.

Kredit:

  1. CNN
  2. The Telegraph
  3. WikiPedia
  4. China Highlights
  5. History
  6. UNESCO



Hakcipta iluminasi.com (2017)