Kredit foto: Instagram @a_aidaproduction & Instagram @reza.hasbi
"Saya tak sangka Reza boleh mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak produksi saya menjadi punca dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon," luah Datuk A. Aida selaku penerbit A. Aida Productions Sdn Bhd yang kecewa apabila syarikat produksinya dituduh pelakon Reza Hasbi sebagai punca tidak mendapat tawaran lakonan.
A. Aida berkata, pelakon itu tidak tahu bersyukur atas peluang yang diberikannya sepanjang dua tahun bergelar artis naungan.
"Niat saya ingin membantu tapi dia seakan-akan tidak bersyukur. Sepanjang dia menjadi artis bawah produksi A Aida Productions, saya pernah beri peluang tiga kali untuk dia berlakon dalam karya syarikat saya.
"Selain itu, jika ada mana-mana drama lain atau telefilem mesti saya akan selitkan dia juga sama ada sebagai pelakon pembantu atau salah seorang pelakon utama," katanya kepada portal Mstar.
A. Aida mengulas kenyataan Reza sebelum ini yang mendakwa perjalanan karier seninya tidak diuruskan dengan baik hingga menyebabkan rezekinya terputus selama lebih dua bulan.
Situasi itu menyebabkan pelakon itu bergantung kepada ihsan ibu bapa sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Sementara itu, A. Aida yang pernah menasihati Reza supaya mencuba nasib dalam bidang lain agar tidak bergantung sepenuhnya dalam dunia hiburan, akhirnya memutuskan untuk tidak lagi menyambung kontrak pelakon itu.
Kredit foto: Instagram @a_aidaproduction
"Saya ambil dia sebagai artis bawah pengurusan produksi saya sebab dia ada bakat dan saya beri peluang dia berlakon dalam beberapa drama saya.
"Sampaikan stesen TV pun persoalkan kenapa saya kerap ambil pelakon yang sama? Tapi mungkin tiada rezeki dia dalam bidang ni.
"Saya pernah nasihat agar dia cuba sesuatu kerja yang ada gaji tetap dan jadikan lakonan ini sebagai hobi sampingan sahaja.
"Sepatutnya kontrak dua tahun dan setahun atas budi bicara tapi bila benda ni jadi, saya tidak mahu sambung kontrak dia," katanya.