Kredit foto: Instagram @a_aidaproduction
Sebelum ini iaitu pada Rabu lalu, penerbit Datuk A. Aida, 49, mendedahkan lebih RM200,000 wangnya dalam bentuk pelaburan lesap dalam dua buah transaksi yang tidak diketahui.
Ekoran itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Bukit Indah, Ampang pada 21 Jun.
Difahamkan, menerusi laporan terbabit, A Aida menamakan individu terdekat dengannya membuat dua transaksi pindahan pelaburan ke akaun yang tidak dikenali. Ia berikutan hanya individu itu sahaja yang mempunyai maklumat peribadinya bagi tujuan berkenaan.
Dia juga mula sedar akan kehilangan wang RM213,805 berkenaan ketika semakan akaun dibuat sewaktu masih bercuti di Mesir antara 21 Mac hingga 31 Mac lalu.
Hasil semakannya mendapati, seorang individu telah melakukan dua transaksi luar biasa pada 1 Mac iaitu kira-kira jam 5.45 pagi sebelum A. Aida bertolak ke Mesir.
Penerbit itu kemudiannya melalui peguamnya Datuk Zulkifli Che Yong, menyatakan permohonan cerai terhadap pelakon Ariff Aziz kerana kemelut rumah tangga yang dihadapi.
Manakala, pada 18 Jun, produser jutawan itu membuat kejutan apabila mengadakan sidang media mengatakan dirinya sudah bercerai talak satu dengan Ariff atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz selepas lafaz cerai dilakukan aktor itu pada 25 April 2019 dengan talak satu.
Terkini, misteri siapakah individu didakwa orang terdekat dengan A. Aida yang menjadi dalang di sebalik kehilangan lebih RM200,000 itu bakal terungkai apabila Ariff dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff, pihaknya berjaya menjejaki individu berkenaan iaitu Ariff Aziz, 30, pada Selasa lalu untuk mengambil keterangan kerana dia menjadi suspek utama kes.
"Suspek adalah bekas suami A Aida sendiri. Bagaimanapun pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.
"Kami rampas telefon bimbit suspek untuk mendapatkan maklumat seterusnya terutama berkaitan transaksi yang dibuat," kata Noor Azmi kepada Mstar.
Menjawab pertanyaan adakah Ariff bakal didakwa dalam tempoh terdekat ini, Noor Azmi meminta sedikit masa untuk melengkapkan kertas siasatan.
"Selepas itu terpulang kepada pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan susulan," katanya.
Dalam pada itu, A. Aida yang diminta portal berkenaan untuk mengulas adakah isu itu merupakan punca sebenar perceraiannya, ini jawab beliau:
Kredit foto: Instagram @a_aidaproduction
"Seperti saya katakan sebelum ini, jodoh... ajal dan maut di tangan Tuhan. Dia yang menentukan apa yang berlaku.
"Mengenai kes itu pula, saya tak boleh beri apa-apa kenyataan kerana ia dalam siasatan polis dan biarlah pihak berkuasa sahaja mengulas mengenainya.
"Apa yang saya harapkan kes ini berjalan dengan baik dan pihak yang bersalah dapat didakwa menurut peruntukan undang-undang".
Sumber berita: Mstar