Penggemar seni mempertahankan diri mungkin biasa mendengar kisah tentang kuasa luar biasa yang dimiliki oleh Sami Shaolin. Para sami ini menjalani latihan intensif untuk mempelajari 72 kemahiran berbeza. Selain itu, mereka diajar untuk menggunakan 36 jenis senjata dan memilih dua jenis gaya dan gerakan haiwan sebagai latihan pengkhususan.
Apa yang menarik minat orang ramai untuk mengetahui kisah mereka sebenarnya adalah kualiti 'superhuman' yang ada dalam diri para sami ini. Kami kongsikan 10 kemahiran luar biasa Sami Shaolin yang tidak mungkin mampu kita lakukan. Sebelum itu, perlu kami ingatkan bahawa perkongsian ini hanyalah sekadar untuk pengetahuan umum dan JANGAN SESEKALI meniru atau mencuba aksi-aksi ini di mana jua anda berada.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Mengangkat badan dengan hanya menggunakan jari telunjuk
Mungkin persembahan mengangkat tubuh sendiri menggunakan dua jari telunjuk agak sudah biasa didengari dalam dunia Kung-Fu Shaolin. Namun, sebenarnya kemahiran yang lebih rare dan amat sukar dilakukan adalah dengan mengimbangkan badan di atas sebatang jari sahaja.
Pada tahun 2015, seorang sami bernama Shi Liliang telah menggemparkan dunia dengan melakukan aksi ini di hadapan khalayak ramai di Chaoyang. Dilaporkan Shi Liliang menjalani latihan yang lama dengan membuat tekan tubi dan dirian tangan. Lama-kelamaan, dia mengurangkan bilangan jari sehinggalah berjaya menguasai dirian tangan dengan hanya sebatang jari sahaja.
Aksi mengimbangkan badan di atas jari ini tidak boleh dilakukan secara semberono kerana jari berisiko untuk patah jika tidak dilakukan dengan betul. Para sami telah berlatih hampir setiap hari selama bertahun-tahun lamanya supaya jari mereka menjadi sekeras besi. Antara latihan lain yang biasa dijalani ialah menumbuk pokok menggunakan jari. Hasil tumbukan yang menghasilkan lekuk sedalam beberapa inci dapat dilihat pada pokok-pokok sekitar biara Shaolin. (Sumber)
2. Memecahkan kepingan gelas menggunakan hanya sebatang jarum
Bagi kebanyakan orang biasa, memecahkan kepingan gelas menggunakan tangan saja sudahpun kedengaran agak sukar, apatah lagi membuatkan sebatang jarum menembusinya. Walau bagaimanapun, sami Shaolin mampu melakukan perkara yang kedengaran mustahil ini. Anda boleh saksikan sendiri video gerak perlahan yang memaparkan aksi luar biasa ini:
Untuk memahami penjelasan saintifik di sebalik kemahiran ini, kita perlu memahami ikatan kimia kepingan gelas ini terlebih dahulu. Gelas merupakan sejenis bahan yang keras dan tidak mudah retak. Namun, disebabkan struktur kimianya yang aneh, apabila satu retakan kecil terhasil pada bahagian permukaannya, ia terus membuatkan struktur gelas menjadi lemah.
Tambahan pula, jarum tidak boleh diberikan tekanan sehingga membengkok apabila dibaling. Para sami telah berlatih untuk membuat balingan dengan daya tujah yang sangat kuat di samping berhati-hati supaya jarum tidak membengkok. Apabila jarum keras itu mengenai sasaran dan menghasilkan retak yang dalam, daya kuat itu disebarkan ke sekelilingnya sehingga memecahkan gelas. (sumber)
3. Tengkorak sami adalah sekeras batu sehingga mata dril juga tidak mampu menembusinya.
Latihan seorang sami Shaolin bermula pada usia yang sangat muda. Mereka akan bermula dengan latihan mengeraskan tengkorak kepala dengan mengetuk atau menghentak menggunakan pelbagai bahan seperti sekampit pasir sehinggalah ke kepingan kayu balak dan pemberat besi. Selepas bertahun-tahun menjalani latihan, tulang di bahagian kepala mereka menjadi sekeras batu. Malah, dril elektrik juga tidak dapat menebuk tengkorak mereka.
Apa yang lebih mengejutkan, kemahiran ini tidak mencederakan kepala mereka langsung walaupun dril dibiarkan berada di kepala selama hampir 10 saat. Tiada setitikpun darah yang mengalir. Apa yang dapat dilihat hanyalah kesan merah di mana dril itu dipasang sebelumnya. (sumber)
4. Melatih testikel menjadi kuat dengan menarik beban
Kung-Fu Shaolin melibatkan pelbagai teknik latihan "Badan Besi." Kebiasaannya teknik ini diamalkan untuk melatih anggota badan yang mudah terdedah kepada bahaya supaya menjadi sekeras besi. Antara anggota badan yang paling 'lemah' pada seorang lelaki adalah di bahagian sulit mereka.
Sami Shaolin berlatih hampir setiap hari untuk menjadikan alat sulit mereka kalis impak daripada sebarang serangan menggunakan kaki atau sepakan lutut. Latihan yang melibatkan rangsangan kepada tisu salur darah ini juga akan meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan di bahagian terbabit. (sumber)
5. Duduk mencangkung di atas dua tiang di antara buluh runcing sambil mengimbangkan mangkuk di atas kepala selama 2 jam
Dikenali sebagai "Kemahiran Tiang Sami," teknik ini melibatkan kekuatan kaki dan dalaman badan di samping menguji keseimbangan tubuh. Sami akan meletakkan kaki di atas dua batang tiang kayu dan 'duduk' dalam posisi mencangkung. Di bawah celahan kaki diletakkan pula buluh runcing yang diasah untuk memberikan lebih 'motivasi' agar tidak terjatuh.
Variasi latihan ini bagi peringkat yang lebih sukar adalah dengan memegang dua mangkuk berisi air manakala satu mangkuk lagi diletakkan di atas kepala. Adakalanya objek lain seperti lampu minyak tanah digunakan untuk menggantikan mangkuk.
Latihan kemahiran ini kebiasaannya dijalankan berterusan selama dua jam dan tubuh badan sami haruslah berada dalam keadaan pegun. Jika tidak, habis melayang semua objek yang dipegang.
6. Gerakan Kung-Fu mabuk
Anda mesti pernah menonton filem kung fu terkenal lakonan Jackie Chan iaitu "Drunken Master." Kemahiran Kung-Fu Shaolin ini sebenarnya memang wujud. Sami akan berpura-pura mabuk dan berlatih dengan mengangkat sebuah tempayan yang dipenuhi air. Apabila pergerakan ini dibuat dalam pertarungan atau persembahan Kung-Fu, sami akan berpura-pura mabuk sambil memegang serta menghimpit pihak lawan dengan kuat.
Pihak lawan tidak akan dilepaskan sehinggalah tubuhnya kesakitan. Kemahiran yang dinamakan "Drunk Lila" ini merupakan salah satu kemahiran penting bagi sami Shaolin. Ia melibatkan kekuatan lengan dan jari agar musuh tidak lolos daripada pegangan. (sumber)
7. 'Menyedut' menggunakan perut
Jika anda perhatikan dalam video ini, sami tersebut telah mencipta daya lekapan di bahagian abdomen bawah sehingga mangkuk benar-benar melekat pada perutnya. Teknik yang dikenali sebagai "Kemahiran Kekuatan Stabil" ini sangat sukar dikuasai. Hanya terdapat beberapa orang sahaja dalam dunia yang mampu 'menyedut' dengan begitu kuat sehinggakan tenaga lapan orang dewasa pun tidak mampu memisahkan mangkuk tersebut dari perut sami.
Kekuatan mental menjadi aspek utama apabila mempersembahkan kemahiran lekapan ini. Sami-sami Shaolin telah menjalani latihan ketahanan mental selama bertahun-tahun sebelum layak menjadi pengamal seni mempertahankan diri ini. Malah, latihan minda ini dilaporkan jauh lebih intensif daripada latihan fizikal.
Minda seorang sami perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran dan keperitan teknik Shaolin. Setelah mencapai kekuatan mental pada tahap yang wajar, barulah mereka boleh membuka kunci untuk mendapatkan "Chi" iaitu sumber kekuatan sebenar seorang sami Shaolin. (sumber)
8. Memecahkan beberapa biji batu tongkol yang disusun meninggi hanya dengan satu pukulan tapak tangan
Ini adalah satu lagi kemahiran yang dikuasai melalui teknik latihan "Badan Besi." Dari jauh, mungkin anda menyangka ia adalah satu helah dan penipuan sami Shaolin. Mungkin anda menyangka batu-batu itu direka khusus untuk menyempurnakan helah ini. Bagaimanakah sami itu mampu memecahkan keempat-empat batu itu hanya dengan sekali pukulan?
Walau bagaimanapun, kemahiran ini sebenarnya boleh dilakukan dan disokong oleh fakta sains. Menurut Michael Feld, seorang ahli fizik dari MIT, kemahiran ini mampu dibuat dengan daya, momentum dan kedudukan pukulan yang tepat. Feld menyatakan tiada helah digunakan dalam video tersebut. Ia hanyalah pergerakan manusia paling efisien yang tidak tercapai oleh orang kebanyakan. (sumber)