Oleh pada 05 Sep 2017 kategori

Selalu sangat kita dengar orang suka bekerja di sesebuah syarikat tetapi akhirnya terpaksa berhenti kerana tidak tahan dengan sikap bos.

Dalam satu kajian, 61% orang yang bekerja dengan bos yang teruk menyatakan mereka sedang mencari pekerjaan lain manakala hanya 27% sahaja daripada mereka yang bekerja dengan bos baik mahu bertukar kerja.

Yang lebih memeranjatkan, 65% orang yang bekerja dengan bos teruk ini sentiasa tersalah faham atau membuat kesilapan semasa bekerja berbanding 19% orang yang bekerja dengan bos baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini menandakan bos-bos yang baik akan mengubah pekerja menjadi lebih baik. Begitu juga sebaliknya. Bos yang teruk pula akan membuatkan prestasi pekerja lebih merudum kerana aura negatif yang terhasil.

bos paling baik dalam dunia

Jika anda merupakan seorang penyelia, pengurus, pengarah atau memegang apa-apa jawatan yang memerlukan anda menyelia pekerja di bawah anda, bagaimana anda tahu sama ada anda seorang bos yang baik atau bos yang tidak disukai?

Menurut Dr. Travis Bradberry, berikut 8 sikap bos yang paling digemari:

#1 Sentiasa berkongsi maklumat

Sesetengah bos suka mengamalkan sikap "P&C" dan tidak mahu berkongsi langsung apa-apa maklumat dengan pekerja. Ini disebabkan mereka berpendapat yang perkongsian maklumat itu akan membuatkan mereka hilang kuasa dan autoriti.

Sebenarnya, apabila seseorang bos berkongsi info dengan semua pekerja, ia tidak akan mengubah tahap autoriti seseorang bos. Malah, lebih baik kerana anda memberikan kepercayaan kepada staf.

#2 Memilih pekerja yang bagus

Bos yang teruk hanya fikir mahu 'isi tempat kosong' dengan menawarkan kerja kepada calon yang bergaji rendah, bermasalah dan tidak berwibawa. Bos yang hebat pula akan memikirkan tentang pasukan dalam pejabat itu secara keseluruhan.

Bos ini sedar bahawa kesemua stafnya perlu berhadapan dan bekerja dengan calon baru ini setiap hari, jadi mereka akan mencari calon yang benar-benar melengkapkan pasukan secara holistik, bukan sekadar mengisi mengisi tempat kosong.

bos yang teruk

#3 Sentiasa mencari dan meraikan kejayaan

Ada sesetengah bos yang sangat kedekut pujian. Bos-bos yang hebat tidak perlukan sebab untuk memuji staf. Mereka sentiasa mengucapkan benda-benda positif di hadapan pekerja sama ada secara terbuka atau secara peribadi.

Mereka juga tidak menunggu sesuatu projek siap hingga ke akhirnya atau menunggu bonus tahunan untuk diraikan kerana kejayaan boleh datang dalam bentuk yang lebih kecil. Selain pujian, para bos boleh membelanja staf makan atau belanja tiket wayang percuma. Bukan mahal sangat pun.

#4 Menghormati masa pekerja

Bos yang baik tidak merasakan masa mereka sahaja yang berharga, apatah lagi jika melibatkan keluarga. Bukan bos-bos sahaja yang berkeluarga, pekerja lain juga turut mempunyai keluarga masing-masing. Mereka tidak akan membiarkan pekerja bekerja sehingga lewat malam atau pada hujung minggu sambil mereka bermain golf dan beristirahat.

Bos yang baik juga tidak akan sesekali membiarkan semua orang tertunggu-tunggu semasa mesyuarat. Mereka akan datang tepat pada masanya dan sentiasa datang dalam keadaan bersedia.

bos baik bos jahat 611

#5 Empati

Bos yang teruk hanya melihat pekerja dari perspektif bagaimana pekerja itu melambangkan dirinya. Jika pekerja itu cekap dan bagus, maka dia terus merasakan dirinya juga bagus dan boleh dihormati. Begitu juga sebaliknya.

Bos yang baik sebenarnya mampu benar-benar merasakan apa yang pekerja itu rasa. Jika pekerja dilihat mengalami masalah semasa sedang menjalankan tugas, mereka akan sedia untuk bertanya dan menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah itu bersama-sama.

#6 Bertanggungjawab

Bos yang teruk amat gemar menuding jari mencari kesalahan pekerja. Sikit-sikit tanya "Siapa yang buat? Siapa punca?" Apabila mereka dimarahi oleh pihak atasan, habis terbalik meja semua pekerja.

Seorang bos yang hebat akan bertanggungjawab atas kesalahan pasukan kerana ini memang salah satu tugas dan peranan pihak pengurusan. Galas tanggungjawab ini bukanlah bermakna mereka terus tutup sebelah mata.

Mereka akan masih memberikan maklum balas kepada pekerja tentang kesilapan yang dilakukan. Tetapi mereka boleh mengaku kesalahan secara terbuka kepada pihak atasan dan kemudian membetulkan kesilapan bersama staf.

pekerja yang gembira dengan bos

#7 Mengucapkan terima kasih

Bos yang tidak berhati perut selalu berfikiran bahawa pekerja ini 'berhutang' kerja dengan mereka kerana dibayar gaji. Sebaliknya, bos yang baik pula mempunyai pandangan yang lebih luas dan faham bahawa setiap pekerja meluangkan masa, usaha dan keringat dalam setiap tugasan yang diberikan. Jadi, bos-bos ini akan sentiasa mengucapkan terima kasih walaupun "itu memang kerja mereka."

#8 Mengasah bakat

Pernah tak anda perasan di pejabat, kadang-kadang kenaikan pangkat asyik datang daripada jabatan atau kumpulan yang sama sahaja? Ini bukan kes anak tiri atau pilih kasih, tetapi tanda bahawa pengurus itu merupakan seorang bos yang baik kerana berjaya mengasah bakat dan kepimpinan setiap pekerja di bawahnya. Bos-bos hebat ini memberikan inspirasi, melatih, mempercayai dan sentiasa bersedia untuk melepaskan staf apabila tiba masanya.

Jadi, adakah anda merupakan seorang bos yang disenangi di pejabat?

Atau anda ada pengalaman bekerja dengan bos yang baik dan hebat?




Hakcipta iluminasi.com (2017)