Oleh pada 30 Nov 2020 kategori

Mempelajari bahasa Inggeris ni satu perkara yang membingungkan sebenarnya, bagi mereka yang baru bertatih nak belajar.

Ini kerana dalam tatabahasa Inggeris, satu perkataan mampu mempunyai beberapa makna serentak dan maknanya pula, bergantung kepada situasi di mana perkataan itu digunakan, dikategorikan sebagai 'homograf'.

Bagi mereka yang dah biasa, tak apalah tapi bagi individu yang kurang mahir, penggunaan homograf takut-takut mampu menimbulkan kekeliruan pula. Berikut adalah 8 homograf sama ejaan dan mempunyai variasi makna yang berbeza-beza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Bat

batman using a bat

Kita semua tahu rasanya, 'bat' merujuk kepada kelawar.

Jangan lupa pula, 'bat' turut sama merujuk kepada kayu pemukul sukan besbol sertaboleh juga digunakan sebagai kata kerja bagi merujuk kepada perbuatan memukul.

Lebih mengelirukan, 'bat' juga digunakan untuk menjelaskan perbuatan melirik mata apabila kita tertarik kepada seseorang melalui frasa 'batting my eyes.'

Itulah sebabnya Batman selalu nampak stres.

2. Fair

fun fair di malaysia budaya

Bagi kanak-kanak generasi terdahulu, 'fun fair' adalah peluang untuk bersuka ria di mana kita boleh cuba bermacam permainan.

Bila dah besar, kita dihujani pula dengan iklan 'fair skin' untuk memujuk kita yang berkulit gelap, supaya cuba membeli krim pemutih kulit.

Yang jadi masalah, bila ada kawan kutuk kita kulit gelap sampai bergaduh, nak berdamai kita akan salam sambil kata 'kosong-kosong. Fair ya?' kononnya semua pihak berpuas hati, adil.

Faham kan perbezaan ketiga-tiga makna 'fair' walaupun ejaannya serupa?

3. Fine

polis saman fine pesalah

Seperti adik-beradiknya 'fair' yang bermula dengan huruf F juga, 'fine' turut membawa beberapa makna berlainan.

Yang pertama mewakili kehalusan atau tahap kualiti sesuatu produk atau kraf. Semakin berkualiti, dianggap produk yang 'fine.'

Selain itu 'fine' juga boleh digunakan sebagai sejenis lagi kata sifat, merujuk kepada sesuatu yang halus seperti mee, bihun atau 'finely chopped meat', maknanya daging yang dicincang halus.

Satu lagi 'fine' yang selalu buat orang bersedih, adalah apabila kita kena 'fine' atau denda/saman bila melakukan sesuatu kesalahan kecil.

Penggunaan 'fine' juga boleh digunakan apabila seseorang nak menggambarkan perasaan atau keadaan dirinya ketika itu.

Frasa "I am fine" bermaksud 'saya baik-baik saja.' Sementara 'FINE!' akan disebut bila kita dah menyampah dengan seseorang atau sesuatu situasi.

4. Row

istilah inggeris satu perkataan banyak maksud

"Row-row your boat, gently down the stream!"

Pasti ramai yang menyanyikan lagu ini masa kecil kan?

Perkataan 'row' dalam lagu tersebut adalah kata kerja yang mewakili perbuatan mendayung sampan. 'Row' juga boleh merujuk kepada corak barisan yang ada, seperti 'a row of books' atau 'that row of shopshouses.'

Selain itu, 'row' juga membawa makna pertengkaran yang berlaku di antara dua atau lebih individu.

Sebab itulah kita perlu tahu ayat 'I had a row today with the boss!' bukanlah bermaksud hari itu dia mendayung sampan dengan majikannya.

5. Object

perkataan bahasa inggeris yang banyak makna

Kita semua biasa menggunakan 'object' atau objek bagi mewakili sesuatu bahan atau benda berbentuk fizikal yang boleh kita pegang.

Bagaimanapun, 'object' juga dalam bahasa Inggeris boleh digunakan untuk merujuk kepada sasaran atau matlamat yang telah ditetapkan. Sebagai contoh 'the object of the game is to score more goals than your opponents.'

Yang jadi keliru, 'object' juga boleh digunakan sebagai kata kerja untuk membantah sesuatu dengan ayat contoh seperti 'I object to be wedded to her as I like someone else!'

6. Cool

lelaki kacak cuba perfume

'Kami sebagai penulis Iluminasi, merasakan diri kami cool.' Dalam contoh tersebut, istilah 'cool' digunakan sebagai slanga untuk menunjuk betapa hebatnya seseorang.

Walaupun begitu, makna di atas sebenarnya menyimpang sedikit dari segi makna asalnya disebabkan penggunaannya yang tidak rasmi.

'Cool' dalam bahasa Inggeris boleh merujuk kepada sifat seseorang yang tenang ('he is always cool dan calm'), tona warna ('let's paint our house with cool colours'), jenis pakaian ('always wear cool cotton during the summer') atau reaksi ('his singing had a cool reception').

'Cool' mempunyai banyak makna jadi pastikan anda menggunakannya dengan betul.

7. Left

suami tinggalkan isteri

Istilah 'left' mempunyai makna yang sangat jauh berbeza di antara kedua-duanya, jadi pastikan anda tidak terkeliru.

Kita biasa guna istilah 'left' untuk mewakili belah kiri kita atau sebagai penunjuk arah yang mewakili kiri.

Selain itu, 'left' juga bermakna ditinggalkan atau diabaikan seperti contoh 'she was left by her husband' atau 'my fiancee left me for another man.'

Nak tahu kenapa 'left' digunakan untuk menggambarkan insiden ditinggalkan? Baca artikel kami ini.

8. School

school malaysia

Jangan ingat 'school' hanya merujuk kepada sekolah saja ya! 'School' sebenarnya membawa beberapa makna berbeza.

'School' atau sekolah boleh merujuk kepada sekolah berbentuk fizikal, iaitu bangunan sekolah sendiri atau satu unifikasi persamaan yang berlaku di kalangan individu, biasanya digambarkan sebagai 'school of thoughts' atau 'school of idea.'

'School' juga merujuk kepada sekumpulan ikan yang berenang di lautan beramai-ramai ('school of fish.')

Istilah ini juga boleh digunakan sebagai satu bentuk kata kerja.

Ayat contohnya seperti 'he is being schooled by the teacher', diguna bagi menggambarkan perbuatan seseorang 'menyekolahkan' seseorang yang patut diajar.

Oleh sebab itulah kita di Malaysia pun akhirnya terbiasa menggunakan 'sekolah' sebagai slanga dengan ayat 'habislah dia, kena sekolah lagi dengan ayah dia!'




Hakcipta iluminasi.com (2017)