Peribahasa lama ada mengatakan bahawa wang tidak boleh membeli kebahagian. Namun, ramai yang menganggap kebahagian itu boleh dibeli dengan wang ringgit. Adalah menjadi perkara biasa bagi sesetengah golongan orang kaya untuk menunjuk-nunjuk dan menayangkan kekayaan mereka.
Golongan ini bukan sahaja berbelanja besar untuk barangan mahal tetapi mereka juga sanggup menghabiskan duit hanya untuk membeli objek kegunaan harian yang terbaik dari segi mutu dan kualitinya. Berikut adalah beberapa barangan biasa yang mahal harganya dan mungkin tidak pernah anda dengar sebelum ini.
BESARKAN TEKS A- A+
8. Berus gigi titanium Reinast - RM 17,390
Jika anda seorang yang sangat kaya dan memiliki segala barangan mewah, berus gigi termahal ini mungkin sesuai dengan anda. Berus gigi keluaran Reinast ini diperbuat daripada titanium dan disaluti oleh lapisan cecair antibakteria.
Tidak seperti berus gigi murah yang hanya dibuang setelah dipakai, berus gigi titanium ini mempunyai bahagian kepala yang boleh dicabut berusnya setelah lama dipakai. Berus gigi Reinast ini datang dengan pakej lengkap termasuk pemegang titanium, pad anti-gelincir, enam berus gantian dan satu bekas penyimpan berus gigi.
Syarikat Reinast juga menawarkan tiga pelan penggantian bulu berus yang berbeza kepada pelanggannya iaitu pelan lima tahun (RM 1,656), pelan tujuh tahun (RM 3,312) dan pelan 11 tahun (RM 6,624). (sumber)
7. Papan Kekunci Happy Hacking HG Japan - RM 17,545
Untuk merayakan ulang tahun ke-10 mereka, Fujitsu telah melancarkan Happy Hacking Keyboard (HHKB) pada tahun 2003. Papan kekunci ini direka oleh Fujitsu dengan kerjasama dari Daitetsu-Yatsui Urushi Workshop.
Papan kekunci yang mempunyi 60 kunci ini digilap menggunakan Urushi iaitu sejenis pengilat khas Jepun. Selain itu, berus yang digunakan untuk mengilap papan kekunci ini diperbuat daripada rambut dara (rambut manusia daripada penderma tunggal yang bebas daripada penggunaan bahan kimia seperti pewarna, bleach, perm dan sebagainya) dan kemudiannya disaluti dengan debu emas. (sumber)
6. Uncang Teh Berlian PG Tips - RM 57,932
Terdapat pelbagai jenis teh yang diminum di seluruh dunia. Ada yang murah dan ada juga yang bernilai sehingga jutaan ringgit sekilo. Harganya bergantung kepada rasa, keunikan dan kualiti daun teh itu sendiri. Akan tetapi, bagaimana pula dengan uncang teh?
Pada tahun 2005, pengeluar teh Brooke Bond PG Tips telah menghasilkan uncang teh edisi khas yang dihiasi dengan 280 berlian sempena meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-75.
Uncang teh mewah itu dihasilkan untuk meraih sumbangan untuk Hospital Kanak-kanak Manchester di England. Kaedah menderma ini dipilih sendiri oleh para pekerja PG Tips di Trafford Park. Uncang teh termahal dunia ini bukan sekadar untuk hiasan tetapi boleh digunakan untuk membancuh teh sebenar. Pastikan anda tidak membuang uncang teh ini selepas menggunakannya! (sumber)
5. Kanta lengkap berlian - RM 62,000 sepasang
Minat manusia terhadap aksesori adalah perkara biasa. Seperti mana yang diketahui, terdapat pelbagai jenis aksesori untuk hampir setiap bahagian badan kecuali bahagian sensitif seperti mata manusia.
Walau bagaimanapun, kini ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Seorang pakar optik dari India, Chandrashekhar Chawan, telah menemui cara menghasilkan aksesori untuk mata manusia. Selepas diinspirasikan oleh gigi palsu bertatahkan berlian yang dipakai isterinya, Chawan telah mencipta kanta sentuh berlian pertama di dunia.
Kanta lengkap itu diselaputi dengan 18 berlian dan dipasang pada plat emas. Kanta lengkap ini terdapat dalam dua pilihan iaitu emas putih dan emas kuning. Setiap pasang kanta lengkap ini mempunyai berat kira-kira 5 gram. Menurut Chawan, kanta ini selamat digunakan kerana berlian yang dipasang itu berada kira-kira 6mm hingga 9mm dari kornea mata. (sumber)
4. Tetikus emas Bullion - RM 152,520
Ia mungkin tetikus PC tanpa wayar yang paling mahal pernah dihasilkan di dunia. Tetikus ini kelihatan seperti bongkah emas mini dengan tiga butang yang berfungsi untuk digunakan termasuk scroll wheel seperti tetikus biasa.
Apa yang membuatkan tetikus tanpa wayar ini begitu mahal kerana ia diperbuat daripada emas tulen 18 karat. Bagi mereka yang mampu membeli tetikus ini, ia mungkin bukanlah satu pembaziran kerana ia dapat dijual semula dengan harga yang tinggi. Namun, berhati-hati membelinya kerana banyak tetikus tiruan yang menyerupai tetikus emas Bullion ini dijual pada harga puluhan ringgit sahaja.
3. Kepala tali pinggang Roland Iten - RM 2.1 juta
Tidak hairanlah mengapa kepala tali pinggang jenama Roland Iten dari Switzerland ini begitu mahal sekali kerana penghasilannya adalah begitu rumit dengan ketepatan tinggi, sama seperti jam tangan yang terkenal buatan Switzerland.
Kepala tali pinggang mekanikal berketeparan tinggi Roland Iten ini biasanya diperbuat daripada emas tulen dan memerlukan masa sekitar 9 hingga 10 bulan untuk menghasilkannya. Bermula dari harga puluhan ribu ringgit, kepala tali pinggang edisi khas jenama ini boleh mencecah hingga jutaan ringgit.
Kepala tali pinggang termahal Roland Iten ialah edisi khas 'The Calibre R822 Predator'. Dengan harga jualan mencecah RM 2.1 juta, hanya tiga unit kepala tali pinggang 'Predator' sahaja yang pernah dihasilkan. (sumber)
2. Diamante oleh Aurora Pen - RM 5.38 juta
Ramai orang meminati barangan tertentu yang mempunyai 'bling-bling' padanya, terutamanya kaum wanita. Namun, sekiranya sesuatu barang itu terlalu banyak 'bling-bling' juga boleh memeningkan kepala. Sebagai contoh ialah pen paling mahal di dunia ini.
Pen yang dikenali sebagai The Aurora Diamente ini disaluti dengan lebih daripada berlian De Beers 30 karat pada laras platinum padat. Pen ini mempunyai dua tona warna, dirawat dengan rhodium, logam emas 18 karat dan dihalusi pula dengan ukiran tangan yang halus.
Pen termahal dunia dan satu-satunya yang disaluti dengan berlian 30 karat ini begitu ekslusif sehingga hanya sebatang sahaja pen model ini yang dihasilkan setiap tahun. (sumber)
1. Tisu tandas emas 22 karat - RM 5.7 juta
Sekiranya anda seorang yang amat kaya dan memiliki semua barangan termahal di dunia, apa lagi yang anda inginkan? Mungkin persoalan ini membuatkan sebuah syarikat Australia iaitu Toilet Paper Man untuk menghasilkan tisu tandas termahal dunia ini.
Mereka telah menghasilkan tisu tandas yang dijual pada harga RM 5.7 juta segulung. Ia begitu mahal kerana tisu tiga lapisan yang berkualiti ini disaluti dengan serpihan emas 22 karat.
Tisu tandas emas termahal dunia ini selamat untuk digunakan dan ia dijual bersama hadiah sebotol champange percuma. (sumber)