Sedar atau tidak, kita menggunakan bahan galian minyak dimana-mana sahaja. Daripada petrol yang digunakan pada kenderaan sehinggalah shampoo dan tar atas jalan raya, kesemuanya diperbuat daripada minyak.
Hari ini, produk petroleum banyak digunakan sebagai bahan bakar untuk pengangkutan dan juga untuk pemanasan dan penjanaan elektrik. Minyak juga digunakan sebagai bahan dalam pembuatan plastik, bahan kimia dan sebilangan besar bahan sintetik lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Banyak negara memperoleh manfaat besar hasil galian minyak termasuklah Malaysia. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi sennarai negara-negara yang mempunyai rizab simpanan minyak paling banyak di dunia.
Satu perkara yang menarik untuk diteliti adalah walaupun industri minyak dan gas menjanjikan pulangan yang lumayan, jumlah rizab simpanan minyak yang dimiliki tidak berkadaran secara langsung dengan kekayaan sesebuah negara itu. Ada negara yang mempunyai rizab minyak yang sangat banyak tapi tetap menghadapi masalah ekonomi yang buruk.
7. Emiriah Arab Bersatu (UAE) - 97 bilion tong
Daripada segi geografi, UAE sedikit lebih kecil daripada negeri Maine tetapi negara ini merupakan pemain kuat dalam industri minyak global kerana jumlah rizab simpanannya yang cukup banyak.
Terletak di Teluk Arab, negara ini merupakan sebuah persekutuan tujuh negeri yang terdiri daripada Abu Dhabi yang berfungsi sebagai ibu negara, Ajman, Dubai, Fujairah, Ras Al Khaimah, Sharjah dan Umm Al Quwain. Sebelum minyak dijumpai di negara ini pada tahun 1950-an, penangkapan ikan dan penjualan mutiara merupakan sumber utama ekonomi negara.
Bandar Dubai yang merupakan bandar dengan populasi penduduk paling tinggi di UAE menjadi bandar yang sangat pesat membangun dek kerana tempias industri minyak dan gas. Di bandar ini, pasukan polisnya dilihat memakai kereta-kereta mewah yang dianggap sudah menjadi kebiasaan disana antaranya Aston Martin One-77, Lykan HyperSport, Audi R8d dan Bentley Continental GT.
6. Kuwait - 101 billion tong
Terletak di Teluk Parsi yang terletak di sebelah Iraq dan Arab Saudi, Kuwait memiliki simpanan minyak (termasuk gas) menyumbang sekitar 92% dari hasil eksportnya. Penggalian minyak bermula di negara ini pada tahun 1938 dan eksport komersial pula pada tahun 1946.
Industri petroleum di Kuwait adalah industri terbesar di negara ini, merangkumi hampir separuh daripada KDNK negara. Oleh kerana pemerintah Kuwait memiliki industri minyak, ia mempengaruhi sebahagian besar ekonomi negara. Secara keseluruhan, pendapatan daripada industri ini merangkumi kira-kira 43 peratus daripada pendapatan KDNK negara.
Eksport minyak Kuwait berbeza-beza bergantung pada keperluan dalaman dimana hampir semua tenaga Kuwait dijana dari minyak dan berdasarkan permintaan antarabangsa dan harga dan kuota pengeluarannya ditetapkan oleh OPEC di mana Kuwait merupakan anggotanya.
5. Iraq - 145 bilion tong
Iraq adalah pengeluar minyak ke-5 terbesar di dunia pada tahun 2009 dan mempunyai simpanan petroleum kelima terbesar di dunia. Hanya sebilangan kecil kawasan minyaknya yang dieksplorasi dan sedang dalam pembangunan dan Iraq mungkin merupakan salah satu dari beberapa negara mempunyai rizab yang luas tetapi hampir tidak dapat dieksploitasi keranna pelbagai faktor.
Sektor tenaga Iraq banyak bergantung pada minyak dengan kira-kira 94 peratus keperluan tenaganya dipenuhi dengan minyak. Selain itu, pendapatan eksport minyak mentah menyumbang lebih dua pertiga daripada pendapatan KDNK pada tahun 2009.
Sektor minyak Iraq telah menderita sejak beberapa dekad terakhir kesan daripada sekatan dan perang selain infrastruktur minyaknya memerlukan pemodenan dan pelaburan besar. Kini perniagaan petroleum negara ini dijalankan terutamanya oleh syarikat swasta dan dikuasai oleh firma yang berpusat di luar negara.
4. Iran - 155 bilion tong
Iran mempunyai rizab simpanan minyak yang cukup banyak namun akibat kontroversinya dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain, negara ini menghadapi kesukaran untuk memajukan induustri ini.
Negara ini mempunyai banyak rizab minyak dan banyak lagi yang baru ditemui. Pada tahun 2019, Iran melaporkan menemui 53 bilion tong minyak mentah di wilayah Khuzestan di sebelah barat.
Sekatan AS yang dikenakan ke atas negara ini sejak 2018 adalah kerana Iran didapati tidak menghormati perjanjian mengenai pengeluaran nuklear di Iran.
3. Kanada - 167 bilion tong
Agak mengejutkan Kanada berada di tempat ke 3 dalam senarai ini. Kanada mempunyai simpanan minyak yang besar di wilayah barat Alberta. Rizab Petroleum ini terletak di kawasan berpasir yang kontroversial di negara ini.
Pihak National Geographic melabelkan operasi minyak di Kanada sebagai "yang paling merosakkan dunia" kerana proses pengekstrakan dari pasir memerlukan tenaga yang sangat banyak.
Sebilangan besar pengeluaran petroleum Kanada dieksport. Kanada merupakan sumber import minyak tunggal terbesar ke Amerika Syarikat, menyediakan 43% daripada import minyak mentah AS pada tahun 2015.
2. Arab Saudi - 267 bilion tong
Terletak di Timur Tengah, Arab Saudi sememangnya sinonim dengan industri pengeluaran minyak. Syarikat AS Standard Oil adalah yang pertama menggerudi petroleum di Arab Saudi pada tahun 1933.
Arab Saudi memiliki sekitar 17 peratus rizab simpanan minyak dunia. Sektor minyak dan gas menyumbang sekitar 50 peratus daripada produk domestik kasar dan sekitar 70 peratus dari pendapatan eksport.
Hari ini, Saudi Aramco, syarikat pengeluar minyak milik kerajaan adalah syarikat yang paling menguntungkan di dunia dan pengeluar minyak terbesar di dunia.
1. Venezuela - 303 bilion tong
Venezuela adalah negara dengan banyak konflik dan dibelenggu kemiskinan. Ironinya, negara ini juga memiliki rizab simpanan minyak terbesar di dunia, menyumbang sekitar 18% dari jumlah rizab global.
Tidak hairanlah, petroleum menyumbang lebih dari 90% eksport negara ini. Walau bagaimanapun, infrastruktur pengekstrakan minyak yang semakin ketinggalan menyebabkan kemerosotan pengeluaran minyak tahunan di negara Amerika Selatan ini.
Sila rujuk artikel kami yang bertajuk Mengapa Venezuela Miskin Walaupun Mempunyi Rizab Minyak Terbesar Dunia? untuk mengetahui lebih lanjut mengapa Venezuala masih miskin walaupun mempunyai rizab simpanan minyak paling banyak di dunia.
Kredit: