Bangunan pencakar langit telah lama menjadi simbol kekuatan dan kebanggaan sesebuah negara. Di Malaysia, kita mempunyai Menara Berkembar Petronas (451.9 meter) dan pada masa akan datang kita bakal mempunyai 2 mercu tanda baru iaitu menara Exchange 106 Merdeka 118.
Perbelanjaan dan kos bagi membangunkan sesebuah menara pencakar langit juga bukanlah murah dan tempoh pembinaannya juga memakan masa beberapa tahun lamanya. Kos yang tinggi dan tempoh masa pembinaan yang panjang ini bermakna risiko untuk terbengkengkai juga amat tinggi.
BESARKAN TEKS A- A+
Di seluruh dunia, terdapat beberapa menara pencakar langit yang tidak disiapkan sepenuhnya dan terbengkalai. Lebih menyedihkan, menara yang sepatutnya menjadi lambang kebanggaan ini semakin reput strukturnya dimamah usia, dipenuhi sampah dan ada yang dijadikan tempat perumahan setinggan.
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 bangunan pencakar langit yang terbengkalai di seluruh dunia. Di harapkan perkara seperti ini tidak berlaku di Malaysia yang pastinya akan merugikan duit ramai pihak.
1. Ryugyong
Pada tahun 1988, Korea Utara menjadi tuan rumah Olimpik, dan itu menjadikan diktator Korea Utara Kim Il-Sung sangat gembira. Jadi setahun sebelum ianya berlangsung, Kim Il-Sung telah menghubungi rakan sejawatnya di Moscow dan meminta pinjaman wang untuk membina hotel tertinggi dunia.
Dengan dana yang diberikan oleh pihak Russia, maka usaha pembinaan bermula. Rancangan asalnya adalah untuk menyiapkan hotel tersebut pada 1989 namun tidak dapat direalisasikan. Namun kerja-kerja pembinaan tetap diteruskan.
Walau bagaimanapun, apabila Kesatuan Soviet jatuh pada tahun 1992 maka dan dana yang diberikan kepada Korea Utara terhenti dan proses pembinaannya juga terpaksa dihentikan. Selama 16 tahun lamanya, bangunan ini ditinggalkan sehinggalah pada tahun 2008 apabila sebuah syarikat telekomunikasi dari Mesir merancang untuk membina menara pemancar telekomunikasi di menara tersebut
Terdapat rancangan menara tersebut mahu dijadikan hotel pada tahun 2012 namun ianya tidak diteruskan. Pada tahun 2016 terdapat tanda-tanda kerja baru di menara ini dan pada tahun 2018 paparan LED besar telah diletakkan yang menunjukkan bendera Korea Utara muncul di bahagian atas menara ini.
2. Fontainebleau Resort
Siapa sangka di Las Vegas yang terkenal sebagai pusat hiburan dan perjudian, terdapat sebuah bangun tinggi yang terbengkalai. Resort ini gagal disiapkan memandangkan pada tahun 2009, telah berlaku kemelesetan ekonomi yang menyaksikan kadar pengangguran melonjak ke paras 14%.
Pembinaan dimulakan pada tahun 2007 untuk membangunkan bangunan bernilai $63 juta, menara 63 tingkat yang mempunyai 3,889 unit hotel dan kondo dan kasino seluas 9300 meter persegi (100,000 kaki persegi).
Ia hampir 70% selesai ketika Fountainebleau bangkrap pada tahun 2009. 6.000 pekerjaan yang sepatutnya diwujudkan dengan pembinaanya gagal direalisasikan. Yang tinggal hanyalah bangunan terbengkalai yang menyemakkan pemandangan bandar ini.
3. Torre David
Berdiri setinggi 190 meter, Torre David adalah peringatan yang ditinggalkan bahawa tidak ada yang baik yang kekal selamanya. Pada tahun 1980-an, seorang pegawai bank bernama David Brillembourg menerajui pembangunan Centro Financiero Confinanzas, sebuah kompleks perbankan di Caracas.
Kematiannya pada tahun 1993 dan kejatuhan sistem perbankan Venezuela pada tahun berikutnya bermakna projek pembinaannya menghadapi masalah kewangan sehingga memaksa pembinaannya dihentikan.
Kerajaan pernah berusaha melelong bangunan yang belum siap ini namun nampaknya tidak berhasil. Bangunan yang tidak lengkap itu dikenali sebagai Torre de David, atau Menara David dan dianggarkan bahawa lebih dari 5000 orang menjadikan bangunan terbengkalai ini sebagai rumah mereka, menjadikannya rumah setingga tertinggi di dunia.
4. Menara Sathorn Unique
Bangunan setinggi 185 meter yang terletak di Thailang terbengkalai ini sangat terkenal dalam kalangan penduduk setempat dengan kisah-kisah mistik. Ketika hujan lebat, anda dapat melihat batu dan debris daripada bangunan ini terjatuh ke bawah di bawa air hujan yang lebat.
Walau bagaimanapun, bangunan yang sudah 80% siap ini juga sering dikunjungi sekiranya anda hendak melihat pemandangan sekeliling bandar ini. Perlumbaan membina bangunan-bangunan pencakar langit terjadi pada tahun 1990-an ketika ekonomi sedang memuncak. Walau bagaimanapun, bangunan ini tidak bernasib baik kerana terbengkalai.
Pembinaan Sathorn Unique Tower terhenti pada tahun 1997 semasa krisis kewangan yang teruk di Asia Timur yang menjadikan mata wang Thailand dalam keadaan yang lebih teruk daripada Mark Jerman selepas Perang Dunia. Tidak lama kemudian, para gelandangan mula menghuni tempat ini.
5. Menara Plaza
Pada tahun 1964, iklan majalah-majalah tempatan menjangkakan bahawa Menara Plaza yang baru ketika itu bakal menjadi mercu tanda bandar tersebut. Ketika itu, bangunan ini adalah bangunan tertinggi di Louisiana, dan hingga hari ini tetap menjadi bangunan ketiga tertinggi di bandar tersebut.
Bangunan ini asalnya bakal menempatkan pejabat, pangsapuri penthouse, restoran, bank, kelab kesihatan, heliport dan dek pemerhatian. Malangnya, rancangan ini tidak dapat direncanakan.
Sebab pertamanya adalah kerana pemilik pertamanya jatuh muflis. Akibatnya, pembinaannya ditangguhkan, dan bangunan itu tidak selesai sehingga 1969. Namun kerana lokasinya yang kurang baik dan rekabentuk kurang menarik bangunan ini tidak mendapat permintaan ramai. Dari segi keluasan pula, ia hanya 7,000 kaki persegi setiap tingkat.
6. Menara Book
Sebuah lagi bangunan pencakar langit yang terbengkalai di Amerika Syarikat. Nama bangunan ini diberikan oleh syarikat Book Broters yang pada ketika itu mempunyai cita-cita untuk membuat transformasi bagi menukar kawasan Washington Avenue di Detroit menjadi sebuah bandar yang lebih moden.
Maka, bermulalah proses membeli tanah-tanah di kawasan itu untuk dibangunkan. Kesudahannya, mereka membeli 60% kawasan daripada bandar tersebut. Bagi merealisasikan idea pembinaan bangunan pencakar langit disitu, mereka telah mendapatkan khidmat seorang arkitek Louis Kamper. Malangnya, Louis Kamper bukanlah seorang arkitek yang berpengalaman merekabentuk pencakar langit.
Louis Kamper telah berjaya merekabentuk beberapa bangunan yang lebih rendah dengan rekabentuk yang menarik. Syarikat Book Brothers mahukan sesuatu yang lebih tinggi dan besar, maka lahirlah idea menara pejabat 81 tingkat namun tidak dapat direalisasikan apabila Great Depression melanda pada tahun 1929.
7. Menara Burj el Murr
Kisah Burj el Murr bermula pada tahun 1974 ketika pembinaan di Pusat Perdagangan 40 tingkat bermula. Idea ini berubah dengan cepat pada tahun berikutnya ketika Perang Saudara Lubnan bermula dan mengakibatkan pembinaannya terus dihentikan dan terbengkalai.
Lokasainya di atas bukit menjadikan menara ini terletak di titik strategik di tengah-tengah menara lain dan banyak lagi hotel. Ini menjadikannya titik panas untuk berperang dalam perang saudara antara tahun 1975 dan 1977 dalam apa yang dikenal sebagai "Pertempuran Hotel" kerana pejuang dari semua pihak mengambil posisi di berbagai bangunan mewah di kawasan itu dan mulai menembak ke arah menara ini.
Strukturnya yang kukuh juga menjadikan ramai penembak tepat menjadikannya lokasi strategik untuk menyorok dan melepaskan tembakan. Menara itu masih ada pada hari ini dengan kesan lubang dan kerosakan, tetapi masih berdiri walaupun terdapat banyak usaha untuk merobohkannya.
Kredit: