Banjir besar boleh terjadi dimana-mana sahaja dan ianya berlaku akibat kombinasi oleh pelbagai faktor antaranya musim tengkujuh, air pasang, aktiviti manusia (seperti pembalakan dan perancangan bandar yang teruk) dan banyak lagi.
Negeri-negeri Pantai TImur umumnya akan mengalami musim banjir setiap kali musim hujan pada penghujung bulan setiap tahun. Namun, banjir besar yang melanda Selangor dan beberapa kawasan Pantai Barat di Malaysia pada tahun 2021 lalu cukup membuka mata kita betapa bahayanya banjir besar seperti itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Kali ini, mari lihat beberapa banjir paling dahsyat yang pernah berlaku di muka Bumi ini berdasarkan jumlah mangsa korban yang direkodkan. Jangan terkejut, ada kejadian banjir yang pernah meragut jutaan nyawa manusia satu ketika dahulu!
7. Banjir Hanoi dan Sungai Merah (1971) - Kematian: 100,000+
Dibayangi oleh tindakan ketenteraan yang berlanjutan di negara itu, banjir ini merupakan salah satu bencana alam yang paling teruk dalam sejarah Vietnam. Banjir ini diselubungi misteri, kerana tiada siapa yang benar-benar pasti puncanya. Banjir ini melanda Vietnam Utara komunis dan sekurang-kurangnya 100,000 orang mati.
Disebabkan konflik antara Amerika dan Vietnam Utara, maklumat dari Utara amat terhad. Berkemungkinan hujan lebat membebani benteng Hanoi, mengakibatkan banjir besar. Banjir ini telah memburukkan lagi isu kebuluran dan penyakit di negara yang sudah dilanda perang itu ketika itu.
6. Banjir St. Felix (1530) - Kematian: 100,000+
Peristiwa banjir St. Felix masih dianggap sebagai bencana banjir terburuk dalam sejarah Eropah. Banjir ini memusnahkan sepenuhnya sebuah bandar dihuni orang Reimerswaal, yang merupakan sebahagian daripada Empayar Rom pada masa itu. Sebanyak 18 kampung lagi turut dimusnahkan pada hari yang akhirnya dikenali sebagai "Evil Saturday".
Reimerswaal terletak sedikit di atas paras laut dan banjir telah menjadikan bandar itu sebuah pulau. Selama bertahun-tahun, banjir yang berulang-ulang akhirnya menyebabkan beberapa orang yang berhijrah keluar dari bandah itu untuk selamanya. Hari ini bandar telah tenggelam sepenuhnya di dalam laut.
5. Banjir Sungai Yangtze (1935) - Kematian: 145 ribu
Kira-kira 70 hingga 75 peratus daripada banjir China adalah disebabkan oleh Sungai Yangtze, sungai terpanjang di negara ini. Tahun 1930-an merupakan masa yang amat sukar bagi penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Yangtze, kerana dekad itu telah menyaksikan dua daripada banjir terburuk dalam sejarah manusia.
Walaupun tidak seteruk banjir 1931, peristiwa ngeri itu masih segar apabila banjir 1935 melanda. Berjuta-juta orang menderita dan sekurang-kurangnya 145,000 orang kehilangan nyawa. Penyakit dan kebuluran dikatakan sebagai penyebab utama yang telah menyebabkan jumlah tinggi kematian penduduk kawasan setempat.
4. Kegagalan Empangan Banqiao (1975) - Kematian: 171 - 230 ribu
Empangan Banqiao, yang terletak di Sungai Ru di China, mengalami kegagalan fungsi pada malam 8 Ogos 1975. Taufan besar telah menurunkan jumlah hujan yang luar biasa dimana jumlah hujan dikatakan lebih banyak dalam satu hari daripada yang biasa mereka dapat dalam setahun.
Apabila empangan itu pecah, ia menghantar gelombang air pasang setinggi 20 kaki ke seluruh wilayah itu. Kegagalan besar-besaran empangan ini mencetuskan tindak balas berantai dan membawa kepada pecahnya 62 empangan tambahan selepas itu. Banjir itu membawa malapetaka dan membawa kepada kebuluran dan wabak setempat.
3. Banjir Sungai Hwang Ho (1938) - Kematian: 500 - 800 ribu
Walaupun kebanyakan banjir boleh dianggap sebagai bencana alam, kejadian banjir pada tahun 1938 ini adalah tindakan peperangan yang disengajakan. Orang Cina ketika itu sedang melawan pencerobohan Jepun yang yang mengancam untuk menamatkan beribu-ribu tahun sejarah China.
Sebagai usaha terakhir, Komander Chiang Kai-shek mengarahkan untuk memusnahkan sistem tebing sungai. Ini mencetuskan gelombang air banjir yang akan merebak ke seluruh negara selama sembilan tahun. Perbuatan itu dipercayai sebagai serangan alam sekitar yang paling dahsyat sepanjang zaman, baik dari segi kemusnahan alam sekitar mahupun kehilangan nyawa manusia.
2. Banjir Sungai Hwang Ho (1887) - Kematian: 900 ribu - 2 juta
Hwang Ho, yang lebih dikenali sebagai Yellow River dalam bahasa Inggeris, adalah sungai paling banyak meragut nyawa manusia dalam rekod sejarah. Malah ia telah mendapat jolokan "Kedukaan China" kerana kesan besar yang telah ditanggung penduduk tempatan. Aliran sungai sepanjang 3,000 batu merentasi China Utara dari sumbernya di pergunungan Qinghai, jauh di atas paras laut.
Pada bulan September 1887, hujan lebat menyaksikan sungai naik ke atas benteng yang bertujuan untuk melindungi penduduk tempatan daripada peningkatan air banjir. Limpahan air sungai menyebabkan banjir pada tanah seluas 50,000 batu persegi, menyebabkan 2 juta orang kehilangan tempat tinggal, dan membunuh 900,000 dalam sekelip mata.
Kebuluran dan penyakit berjangkit kemudiannya telah meragut nyawa manusia dan tragedi ini dianggap salah satu krisis kemanusiaan yang paling teruk sepanjang zaman.
1. Banjir Sungai Yangtze (1931) - Kematian: Sekitar 3.7 juta
Dianggap sebagai salah satu bencana alam terburuk dalam sejarah manusia, banjir besar Sungai Yangtze pada tahun 1931 merupakan salah satu peristiwa yang meragut begitu banyak nyawa manusia. Selepas tempoh hujan yang melampau, lembangan Sungai Yangtze yang berpenduduk ramai mula banjir. Air mula melimpah ke kawasan seluas kira-kira 500 batu persegi, memaksa setengah juta orang berpindah.
Walau bagaimanapun, pembunuh terbesar banjir ini bukanlah air. Kebanyakan kematian berlaku akibat kebuluran dan penyakit. Sawah padi telah musnah sepenuhnya oleh banjir, menyebabkan kebuluran besar-besaran di banyak bandar. Air sungai yang tercemar turut menyebarkan penyakit berjangkit seperti demam kepialu.
Lebih malang, kerajaan China ketika itu langsung tidak bersedia untuk menanganinya kerana perang saudara yang berterusan.
Kredit: