Sudah 16 tahun berlalu tragedi yang menggemparkan dunia satu ketika dahulu. Bangunan kebanggan Amerika Syarikat, Pusat Dagangan Dunia telah hancur menyembah bumi akibat serangan pesawat oleh pengganas.
Seramai 2,996 kematian dilaporkan dan 6,000 yang lain cedera dalam tragedi yang telah mencetuskan "Islamophobia" di Amerika Syarikat. Namun, terdapat ramai individu yang bernasib baik secara kebetulan tidak berada di bangunan tersebut yang biasanya mereka hadir menyebabkan mereka terselamat.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com ingin berkongsi 7 individu terkenal yang terselamat dari tragedi ini secara tak sengaja.
1. Ian Thorpe
Siapa tak kenal dengan atlet renang dari Australia ini. Ian Thorpe adalah atlet Australia yang paling banyak memenangi pingat di Sukan Olimpik iaitu 5 pingat emas. Beliau juga telah memenangi 11 pingat emas di Kejohanan Dunia.
Ketika hari kejadian 11 September 2001, Ian Thorpe berada di luar untuk ber-jogging di sekitar New York, dan sampai di Pusat Dagangan Dunia. Kemudian Ian membuat keputusan untuk melawat bangunan tersebut untuk mengambil gambar dari dek pemerhati di atas bangunan pencakar langit tersebut.
Namun, beliau menyedari bahawa beliau terlupa untuk membawa kamera, menyebabkan atlet yang ketika itu berusia 18 tahun, terpaksa kembali ke hotel dengan menaiki teksi. Dan ketika beliau sampai di hotel, beliau terlihat Menara Utara bangunan Pusat Dagangan Dunia sedang terbakar, melalui televisyen.
2. Mark Wahlberg
Pelakon Hollywood yang berasal dari Boston, Massachusetts yang popular dengan filem Transformers ini juga terselamat dalam tragedi 9/11. Beliau dan beberapa orang rakan dijadualkan untuk berlepas ke Los Angeles dari Boston, menaiki Pesawat 11 American Airlines.
Namun, mereka telah menukar keputusan di saat-saat akhir untuk menyewa pesawat peribadi bagi menghadiri festival filem di Toronto, Canada. Dan daripada Toronto, mereka kemudiannya berlepas ke Los Angeles. Mark berkata beliau mungkin akan cuba untuk mematahkan cubaan pengganas untuk mengambil alih pesawat jika beliau berada dalam pesawat tersebut.
"Jika saya berada di atas pesawat tersebut bersama-sama anak saya, tragedi itu takkan berlaku. Akan berlaku pertumpahan darah di kabin kelas pertama dan saya akan berkata 'Okay kita akan mendarat dengan selamat, jangan risau'" - Mark Wahlberg
3. Seth MacFarlane
Seth MacFarlane adalah seorang penghasil animasi, penulis, pengarah, penerbit dan pelakon alih suara yang terkenal seperti "Family Guy" dan "Ted". Dan jika beliau tidak terselamat dalam tragedi itu, pastinya animasi "American Dad" tidak akan wujud.
Beliau, seperti Mark Wahlberg, juga dijadualkan menaiki Pesawat 11 American Airlines untuk pulang ke Los Angeles bagi menghadiri majlis di Rhode Island School of Design, tempat belajarnya satu ketika dahulu. Agen penerbangan Seth tersilap memberitahu bahawa pesawat tersebut akan berlepas pada jam 8.15 pagi, padahal ia dijadualkan berlepas jam 7.45 pagi.
Ketika sampai di lapangan terbang, beliau tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana lewat dan diarahkan untuk menunggu pesawat seterusnya. Sejam kemudian, pesawat malang tersebut telah dibenamkan ke Menara Utara Pusat Dagangan Dunia menyebabkan kesemua penumpang mati. Seth berterima kasih kepada agen penerbangannya atas kesilapan itu yang telah menyelamatkan nyawanya.
4. Gwyneth Paltrow
Walaupun bukan Gwynet Paltrow yang terselamat dalam tragedi ini, namun beliau dianggap sebagai penyelamat. Pada pagi tragedi tersebut, seorang wanita, Lara Lundstorm Clarke, sedang berjalan untuk ke tempat kerja. Dan ketika ingin melintas jalan di West Village, Lara telah melanggar lampu merah untuk melintas jalan. Pada masa yang sama Gywneth Paltrow yang sedang memandu untuk pulang ke rumahnya melalui jalan tersebut, hampir-hampir terlanggar Lara.
Lara kemudianya berdiri di jalan, sambil melihat ke arah SUV tersebut, dan mendapati individu tersebut adalah pelakon Hollywood. "Pertemuan" itu telah membuatkan Lara terlepas tren untuk ke tempat kerja, membuatkan beliau lambat untuk masuk ke pejabatnya yang terletak di Pusat Dagangan Dunia. Beliau tiba di stesen berdekatan pejabatnya pada jam 8.47 pagi, dan mendapati bangunan tersebut telah terbakar.
4 daripada rakan sekerja Lara terkorban pada hari tersebut.
5. Michael Lomonaco
Michael Lomanco adalah seorang chef di sebuah restoran terkemuka dunia iaitu Windows on the World yang terletak di tingkat 106 dan 107 Pusat Dagangan Dunia. Ketika beliau ingin menaiki ke restoran tersebut kira-kira jam 8.15 pagi, beliau teringat bahawa beliau mempunyai temujanji untuk membetulkan cermin matanya tengahari tersebut di Lens Crafter yang terletak di loby Bangunan 1 Pusat Dagangan Dunia.
Beliau kemudiannya menuju ke Lens Crafter untuk mencuba nasib jika dapat membaiki cermin matanya lebih awal. Ia membuatkan Michael lambat 30 minit untuk sampai ke restoran tersebut, yang telah menyelamatkan nyawanya.
Beliau menceritakan detik-detik cemas ketika tragedi itu berlaku. Beliau keluar daripada bangunan tersebut dan melihat restoran tersebut sedang terbakar. Beliau cuba untuk membantu dengan menuju ke pintu kecemasan dan ketika itu, beliau terlihat kapal terbang kedua terbenam ke dalam bangunan kedua. "Saya tidak menonton melalui TV, saya berada di situ, dan saya tak akan pernah melupakan saat-saat itu," jelas Michael.
6. Larry Silverstein
Seorang pembina dan pemilik hartanah yang kaya raya, Larry Silverstein yang memegang sewa di bangunan WTC itu perlu menghadirkan diri ke tempat kerja pada pagi tersebut. Syarikat miliknya, Silverstein Properties mempunyai pejabat sementara di tingkat 88 bangunan tersebut.
Namun, pada pagi tersebut beliau juga mempunyai temujanji bersama dermatologis dan beliau tidak boleh terlepas temujanji dengan doktor kerana isterinya akan marah. Dan disebabkan itu beliau tidak hadir ke pejabat ketika WTC diserang. Selain itu, kedua-dua anaknya Roger dan Lisa yang kerap menghadiri mesyuarat bersama klien penting di restoran Windows on the World juga tidak hadir pada hari tersebut.
Mereka dikatakan terlewat pada hari kejadian. Ketiga-tiga anak-beranak ini terselamat daripada tragedi tersebut membuatkan ramai yang beranggapan mereka tahu lebih awal mengenai kejadian tersebut. 4 daripada kakitangannya terkorban yang mana 2 daripadanya baru sahaja diambil bekerja.
7. Jim Pierce
Jim Pierce adalah pengarah urusan AON Corporations yang berpangkalan di New York. Beliau juga merupakan sepupu kepada Presiden Amerika Syarikat George W. Bush. Jim dijadualkan menghadiri konferens perniagaan pada 11 September 2001 di tingkat 105 di Menara Selatan bangunan Pusat Dagangan Dunia.
Namun disebabkan terlalu ramai orang yang ingin menghadiri konferens tersebut, lokasi konferens telah ditukarkan ke Hotel Millennium di seberang jalan Pusat Dagangan Dunia. Bangunan yang sepatutnya Jim berada merupakan yang kedua dihentam oleh pesawat kedua. 11 daripada 12 individu yang berada dalam bilik tersebut terkorban.