Bangladesh adalah sebuah negara yang sering mengalami salah faham daripada orang ramai dan salah satu yang tidak menerima banyak pelancong.
Akibatnya, kebanyakan daripada kita tidak mengetahui fakta tentang negara ini.
Sebagai contoh, tahukah anda bahawa ibu negara Bangladesh iaitu Dhaka adalah salah satu daripada bandar yang paling ramai penduduk dan padat di dunia?
BESARKAN TEKS A- A+
Nama rasmi negara ini ialah Republik Rakyat Bangladesh dan mempunyai 163.2 juta penduduk, menjadikannya negara terpadat ke-8 di dunia. Disebabkan terlalu padat, kebanyakan kubur di Dhaka adalah sementara kerana ruang yang tidak mencukupi.
Bangladesh adalah sebuah republik parlimen yang bersatu dengan seorang presiden dan perdana menteri dan kumpulan utama terdiri daripada orang Bengali, yang mewakili 98% daripada keseluruhan populasi.
iluminasi.com kongsikan 7 fakta mengejutkan tentang Bangladesh yang ramai tak tahu.
1. “Bangladesh” tidak wujud sebelum tahun 1971
Bangladesh sebagai sebuah negara tidak wujud sebelum tahun 1971. Selama berabad-abad, wilayah Bengal ini diperintah oleh beberapa dinasti India, Turki, dan Mughal serta British.
Berikutan pertempuran Plassey pada tahun 1757, Syarikat Hindia Timur Inggeris secara rasmi menguasai wilayah Bengal dari Mughal yang memerintah pada masa itu dan menyatukannya di bawah syarikat yang memulakan tempoh 200 tahun pemerintahan British.
Syarikat ini mengeksport buluh, teh, tebu, rempah-rempah, kapas, muslin dan jut yang dihasilkan di ibu kota Dhaka dan daerah Rajshahi, Khulna, Kushtia dan Sylhet.
Syarikat itu kehilangan kawalan ke atas rantau Bengal, berikutan Pemisahan Sepoy tahun 1857 yang membawa kepada pemindahan kekuasaannya kepada Raj British yang pada awal abad ke-20 memerintah sebahagian besar sub-benua India.
Pada tahun 1947, Raj British melepaskan pemerintahannya di bawah sub-benua India berikutan beberapa dekad pergerakan kemerdekaan, yang menyebabkan penubuhan negara-negara India dan Pakistan (Pakistan Timur dan Barat).
Bangladesh adalah "Pakistan Timur" sehingga kemerdekaannya pada tahun 1971.
2. Satu-satunya negara yang berperang dan mengisytiharkan kemerdekaan kerana bahasa
Nama "Bangladesh" terdiri daripada dua perkataan iaitu "Bangla," nama asli bahasa Bengali, dan "desh," yang bermaksud negara.
Pada tahun-tahun selepas pembahagian sub-benua India, ketegangan meningkat antara Barat dan Timur Pakistan (Bangladesh) disebabkan oleh perbezaan termasuk eksploitasi ekonomi oleh Pakistan Barat terhadap Pakistan Timur, pembahagian politik, perbezaan budaya, pandangan mengenai fundamentalisme agama dan yang paling penting, bahasa.
Pakistan Barat, yang kebanyakannya penduduk berbahasa Urdu yang memandang bahasa Bengali dengan tidak puas hati kerana ia mewakili hubungan budaya yang mendalam antara penduduk Pakistan Timur dengan rantau India Bengal Barat.
Pada tahun 1948, Mohammad Ali Jinnah, pemimpin liga Muslim Seluruh India dan pengasas Pakistan mengisytiharkan di Dhaka bahawa hanya bahasa Urdu sahaja harus menjadi bahasa kebangsaan Pakistan.
Ini sangat ditentang oleh penduduk Pakistan Timur dan disusuli dengan kematian pelajar serta orang awam dalam demonstrasi menentangnya pada 21 Februari 1952.
Pakistan Barat mengenakan undang-undang tentera, menyebabkan kebencian terhadap Pakistan Barat terus memburuk sehingga pada 7 Mac 1971, Sheikh Mujibur Rahman pyang merupakan pengasas Bangladesh dalam ucapannya mendesak setiap isi rumah di Pakistan Timur untuk kekal sebagai "kubu kuat".
Pakistan Barat bertindak balas dengan ganas dengan pembunuhan yang disasarkan secara sistematik di Universiti Dhaka serta pembunuhan politik dan etnik di sekitar Pakistan Timur pada 25 Mac 1971.
Pada 26 Mac 1971, pengisytiharan kemerdekaan disiarkan di seluruh Pakistan Timur sebagai tindak balas terhadap pembunuhan dan peperangan yang tercetus.
Dengan bantuan India, pejuang pembebasan Pakistan Timur akhirnya menewaskan Pakistan Barat menjelang Disember 1971. Pakistan Barat menandatangani Instrumen Penyerahan pada 16 Disember 1971 dan dengan ini, Bangladesh dilahirkan.
3. Asal usul Muslin
Muslin adalah fabrik kapas ringan yang pertama kalinya ditenun di rantau Bengal (sekitar Dhaka pada hari ini). Nama "Muslin", dikatakan berasal dari bandar Mosul (sekarang Iraq) dari mana pedagang barat memperoleh bahan ini.
Muslin sangat berharga sepanjang sejarah di mana rekod menunjukkan bahawa fabrik itu digunakan pada zaman Mesir kuno untuk membungkus mumia dan dipakai oleh wanita bertaraf tinggi dalam Empayar Rom.
Ia juga sangat dicari oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris, dengan muslin Dhakai (dinamakan bersempena Dhaka) iaitu salah satu varian muslin yang terbaik dan dijual di London dengan margin keuntungan 75% pada abad ke-18 dan ke-19.
Penenunan muslin Dhakai menggunakan tangan masih diamalkan di Bangladesh sehingga ke hari ini dan lebih dikenali dengan nama Parsi iaitu Jamdani.
4. Kontroversi industri pakaian
Banyak jenama pakaian besar dari seluruh dunia kini mengeluarkan produk mereka dari Bangladesh, dengan anggaran 4,000 kilang pakaian yang sedang beroperasi.
Walaupun industri itu telah meningkatkan ekonomi Bangladesh dan membantu memperkasakan wanita, yang mana merangkumi 80% daripada pekerja kilang, namun banyak kontroversi berkaitan amalan dan piawaian keselamatannya.
Pada tahun 2013, keruntuhan Plaza Rana, sebuah kompleks yang mengandungi beberapa kilang pakaian berhampiran Dhaka menjadi tajuk utama di seluruh dunia apabila lebih daripada 1,000 pekerja kilang terbunuh dan lebih 2,500 pekerja cedera.
Bencana yang boleh dielakkan ini menyebabkan bahagian gelap industri mendapat perhatian antarabangsa
(Tragedi Plaza Rana pada tahun 2013)
Bangunan beberapa tingkat yang menempatkan kilang-kilang ini tidak mempunyai sebarang ciri keselamatan seperti tangga kecemasan dan terus diperkuat dengan bingkai besi serta rod di atas bumbung, dalam usaha untuk mengembangkannya bagi menempatkan lebih banyak jentera.
Bangunan di Bangladesh tidak tertakluk kepada pemeriksaan kerajaan dan pelanggaran keselamatan sering diabaikan oleh pegawai melalui rasuah serta ancaman.
Seiring dengan ini, juga wujud masalah melibatkan buruh kanak-kanak, jumlah jam bekerja, gaji yang rendah dan kurang peralatan keselamatan yang sesuai pada mesin yang berbahaya.
5. Rasuah sektor awam yang sangat berleluasa
Bangladesh sudah biasa tergolong di antara negara-negara yang paling korup di dunia, dan data terbaharu meletakkannya di kedudukan 145 dari 176 dalam ranking negara yang paling tidak korup. Denmark dan New Zealand berada di tempat pertama.
Rasuah wujud dalam semua jabatan sektor awam di Bangladesh dan sering melibatkan rasuah, penyelewengan, mencuri, tingkah laku tidak bertanggungjawab, kelewatan perkhidmatan, kelonggaran birokrasi dan amalan melobi yang berlebihan.
Kurangnya ketelusan kerajaan membantu rasuah dalam sektor awam dengan ketidakpatuhan peraturan yang kerap diabaikan.
Satu kajian terhadap 149 ahli parlimen Bangladesh yang dikendalikan oleh TI Bangladesh pada tahun 2012 menunjukkan bahawa 97% daripada ahli parlimen ini terlibat dalam aktiviti haram, termasuk 53.5% ahli terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah.
Rasuah juga wujud dalam sektor swasta dan sektor awam dengan sebahagian besar kontrak kerajaan sering menjadi subjek rasuah di mana hadiah sering dijangka untuk menjamin kontrak.
Kerjasama antara anggota parlimen dan ahli perniagaan swasta juga merupakan faktor dalam bencana Plaza Rana yang dibincangkan di atas.
6. Rompakan siber bank pusat terbesar dalam sejarah terkini
Pada Februari 2016, Bank Pusat Bangladesh merupakan sasaran salah satu rompakan bank terbesar dalam sejarah terkini.
Satu cubaan dibuat oleh penggodam untuk mencuri kira-kira RM4 bilion dalam 35 transaksi kecil melalui Rangkaian SWIFT, melalui Bank Rizab Persekutuan New York.
Daripada 35 transaksi itu, 5 daripadanya telah diluluskan yang bernilai RM418 juta dan baki 30 transaksi lagi telah ditandakan untuk semakan kakitangan di ank Rizab Persekutuan New York bernilai RM3.5 bilion.
Transaksi-transaksi yang ditandakan itu kemudian disekat atas permintaan Bank Pusat Bangladesh.
Penyiasatan selanjutnya terhadap rompakan ini mendapati bahawa terdapat kehadiran malware bernama Dridex dalam sistem Bank Sentral Bangladesh.
Malware ini tersebar melalui sistem e-mel dan menyusup masuk ke dalam komputer untuk mendapatkan maklumat sulit yang diperlukan untuk penggodam bagi mengakses rangkaian istimewa seperti SWIFT.
Daripada RM418 juta dicuri, RM83 juta dikesan ke Sri Lanka dan diperoleh semula, manakala RM335 juta lagi dikesan ke Filipina yang mana hanya RM75 juta sahaja berjaya diperoleh semula setakat ini.
Siasatan masih diteruskan dengan laporan media Amerika Syarikat bahawa FBI mengesyaki terdapat penglibatan dari Korea Utara.
7. Jurang kekayan dan kemiskinan yang dahsyat
Bangladesh masih dianggap sebagai salah satu negara termiskin di dunia dengan 31.5% daripada penduduk 164 juta orang, masih hidup di bawah garis kemiskinan.
Angka ini merangkumi kira-kira 51.7 juta orang, hampir 2 kali ganda penduduk Malaysia. Dan jurang kekayaan di Bangladesh juga sangat mengejutkan.
Data yang dikumpulkan dan diterbitkan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa 20% penduduk paling miskin hanya menguasai 8.9% daripada jumlah kekayaan negara pada tahun 2010 dan 20% penduduk terkaya menguasai 41.5%
Data juga menunjukkan bahawa pada 2010, 18.5 juta orang hidup dengan kurang daripada RM8 sehari.
Rujukan:
1. Nation Facts