Negara-negara besar seperti China, India, Bangladesh dan Afrika biasanya menjadi pilihan bagi syarikat gergasi untuk mendapatkan tenaga kerja. Jumlah penduduk yang terlalu ramai bermakna terdapat lambakan pekerja yang sangat terdesak untuk bekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menyedari hakikat ini, syarikat-syarikat besar ini dapat mengeksploitasi golongan ini dengan membayar mereka dengan gaji yang kecil, seterusnya dapat meningkatkan keuntungan bagi setiap produk yang dihasilkan. Bukan sahaja dibayar gaji kecil, ada yang dilayan seperti hamba dan keselamatan ditempat kerja yang sering diabaikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sedar atau tidak, terdapat beberapa barangan harian yang kita sering gunakan sebenarnya dihasilkan oleh para pekerja ini. Menyedihkan namun itulah realitinya. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 barangan harian kita yang kebanyakannya dihasilkan oleh golongan pekerja yang dilayan seperti hamba zaman moden ini.

1.  Coklat

ladang koko

Coklat merupakan antara makanan yang popular di dunia. Bahan utamanya adalah serbuk koko yang biasanya dijadikan bar coklat ataupun bahan masakan. Malah, permintaan terhadapnya juga semakin meningkat setiap tahun.

Kebanyakan syarikat besar yang menghasilkan produk coklat pada hari ini mendapatkan sumber koko daripada negara Ivory Coast. Apa yang menyedihkan, terdapat banyak para pekerja yang terlibat dalam industri penanaman koko ini adalah kanak-kanak yang dibawa masuk daripada negara miskin seperti Mali.

Terdapat juga dakwaan yang mendakwa ada antara kanak-kanak ini diculik dan dipaksa bekerja. Kanak-kanak seawal umur 10 tahun dipaksa membawa bebanan yang sangat berat yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak ini. Menyedari hakikat ini, terdapat golongan aktivis mula bangkit dan menunjukkan tanda protes terhadap syarikat-syarikat besar pengeluar coklat yang dikatakan mengambil kesempatan atas kemiskinan orang lain ini.

2. Barangan elektronik

kilang foxconn

Tahukah anda, barangan elektronik yang berharga ribuan atau ratusan ringgit yang dimiliki kebanyakannya dihasilkan oleh para pekerja yang dilayan seperti hamba. Anda mungkin pernah mendengar mengenai syarikat Foxconn dari China, antara syarikat yang menghasilkan produk untuk syarikat Apple dan beberapa syarikat lain.

Selain tekanan bekerja lebih masa yang melampau, pekerja juga tidak dibayar dengan setimpal dan tempat kerja mereka digambarkan seperti sebuah penjara kerana terlalu padat. Keadaan ini memaksa banyak pekerja bertindak membunuh diri seperti yang pernah dilaporkan oleh akhbar.

Selain itu, terdapat dakwaan mengatakan setiap pekerja perlu menandatangani perjanjian yang menyatakan ahli keluarga mereka tidak dibenarkan menyaman majikan sekiranya mereka terbunuh akibat keadaan tempat kerja yang merbahaya.

3. Pakaian

industri pakaian bangladesh 281

Negara Bangladesh sememangnya terkenal sebagai negara pembuat pakaian. Banyak syarikat-syarikat luar sama ada syarikat kecil mahupun besar memilih Bangladesh kerana kos penghasilan pakaian yang jauh lagi rendah. Desakan mendapatkan pekerjaan menyebabkan banyak kilang pembuat pakaian mengambil kesempatan terhadap pekerja dengan membayar gaji yang rendah dan memberikan layanan yang buruk.

Pada tahun 2014, terdapat sebuah kilang yang mengalami kebakaran. Malangnya, majikan kilang tersebut mengatakan bahawa ianya hanya sebuah latihan kebakaran dan bertindak mengunci pintu daripada luar.  Hampir 100 orang terkorban dalam nahas tersebut.

Setahun sebelum itu, terdapat kejadian runtuhan bangunan yang dijadikan pusat penghasilan pakaian. Kira-kira 1000 orang terbunuh dan kejadian ini berlaku kerana jumlah pekerja yang terlampau padat sehingga tidak dapat ditampung oleh bangunan tersebut.

4. Berlian

lombong berlian zimbabwe

Negara Zimbabwe sememangnya merupakan sebuah negara yang bermasalah. Selain masalah hiperinflasi, pergolakan antara pihak pemerintah merumitkan lagi keadaan. Perjanjian pelik yang dipersetujui antara dua buah parti politik menyaksikan Robert Mugabe yang terkenal sebagai seorang diktator akan menjadi Presiden sementara Morgan Tsvangirai yang memenangi pilihan raya pula akan menjadi Perdana Menteri.

Ramai rakyat yang mengharapkan perkongsian kuasa ini akan membawa keharmonian kepada negara, namun sebaliknya pula berlaku. Sebelum perjanjian ini dipersetujui, Robert Mugabe dan parti politiknya Zanu-PF terlebih dahulu memiliki perancangan untuk mengeksploitasi kekayaan hasil bumi di sana.

Secara senyap, Robert Mugabe telah menjalankan operasi perlombongan yang menggunakan tenaga kerja daripada golongan hamba. Operasi perlombongan ini dikawal oleh tentera dan tindakan licik ini dilakukannya bagi memastikan segala kekayaan daripada aktiviti perlombongan ini akan membolehkannya mengekalkan kekayaan dan membayar gaji tentera yang melindunginya.

5. Minyak sawit

pekerja sawit dilayan seperti hamba

Gambar sekadar hiasan

Permintaan terhadap minyak sawit menunjukkan peningkatan kerana ramai pihak mula menyedari akan kualitinya. Walau bagaimanapun, minyak sawit sentiasa dipandang negatif akibat daripada pengaruh negara-negara Barat yang cuba memburuk-burukkannya memandangkan ianya hanya terdapat di negara-negara Asia.

Suatu ketika dahulu, syarikat Kuala Lumpur Kepong (KLK) pernah mendapat perhatian akhbar kerana didakwa menekan dan mengambil kesempatan terhadap pekerja. Syarikat ini memiliki hampir 70 buah ladang di seluruh Indonesia. Kerana keperluan mendapatkan tenaga kerja yang banyak, mereka terpaksa menggunakan khidmat kontraktor luar untuk mendapatkan tenaga kerja.

Malangnya, kontraktor yang dilantik sering memberikan janji palsu kepada pekerja. Pekerja juga dikehendaki menandatangani perjanjian yang mengarut dan berat sebelah. Pekerja dibayar gaji yang sedikit dan mereka  yang cuba melarikan diri akan dipukul. Setelah kes ini mendapat perhatian, syarikat KLK telah bertindak memberhentikan syarikat kontraktor tersebut dan mula mengambil pekerja baru secara terus.

Kredit:

  1. Fortune
  2. The Guardian
  3. BBC News
  4. Reuters
  5. Bloomberg



Hakcipta iluminasi.com (2017)