Laman eBay merupakan antara laman web popular sekiranya anda hendak membeli barangan secara dalam talian. Berlainan daripada laman web lain seperti Amazon, Lazada, Lelong dan seumpanya, pembeli boleh membeli barang yang diingini dengan membuat bidaan harga terhadap barangan yang ingin dibeli.

Walaupun terdapat laman eBay untuk pasaran Malaysia, laman web ini kurang popular di Malaysia. Di Amerika Syarikat, UK dan kebanyakan negara Eropah, eBay merupakan antara laman web menarik untuk membeli barangan baru dan terpakai pada harga yang jauh lebih murah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, iluminasi ingin berkongsi beberapa fakta dan info menarik mengenai eBay.

1. Fungsi "Buy Now" 

Walaupun laman web eBay lebih popular dengan konsep lelongan dimana pembeli boleh membuat bidaan harga, kira-kira 70% daripada barang yang dijual sebenarnya boleh dibeli terus melalui fungsi "Buy Now". Walau bagaimanapun, pembeli haruslah bijak dan tahu harga pasaran barangan yang ingin dibeli. Sekiranya harga "Buy Now" itu lebih mahal daripada harga pasaran, maka bolehlah mencuba nasib dengan membuat bidaan harga terlebih dahulu.

2. Barang paling mahal dijual

Sehingga kini, rekod barangan yang pailng mahal dijual adalah $168 juta, iaitu sebuah kapal layar yang dibeli oleh jutawan Rusia, Roman Abramovich. Roman Abramovich juga merupakan pemilik pasukan bola sepak Inggeris, Chelsea.

3. Jualan hartanah

buford

Sebuah pekan kecil, Buford pernah dijual melalui lelongan di eBay pada harga $900,000. Pekan kecil ini diasaskan oleh Don Sammons semasa zaman pembinaan projek kereta api satu ketika dahulu. Setelah kematian isteri dan anaknya berpindah keluar ke Colorado, Don Sammons yang pada ketika itu sudah berusia 61 tahun bercadang untuk meninggalkan pekan tersebut dan tinggal bersama anaknya.

Lelongan tersebut mendapat bidaan daripada pembida dari 46 buah negara. Dalam masa 11 minit sahaja, akhirnya ia berjaya dijual kepada 2 orang pembeli daripada Vietnam yang memang bercita-cita memiliki hartanah di Amerika Syarikat.

4. Nama asal eBay

ebay sebelum ini dikenali sebagai auctionweb

Diawal kemunculannya, eBay dikenali dengan nama AuctionWeb. Ianya dibina oleh seorang usahawan, Pierre Omidyar yang tinggal di California. AuctionWeb adalah salah satu laman web miliknya yang diletakkan di bawah syarikatnya yang bernama eBay Internet. Idea penukaran nama AuctionWeb kepada eBay telah dibuat pada tahun 1997.

Keputusan tersebut dibuat kerana pengguna dan pihak media lebih gemar memanggil laman web tersebut eBay berbanding nama sebenarnya, AuctionWeb. Selain penukaran nama, Pierre juga telah mempekenalkan logo baru eBay dan rekabentuk laman web yang lebih menarik pada tahun yang sama. Perkataan eBay itu adalah idea spontan pengasasnya. Pada mulanya, beliau bercadangan menggunankan nama Echo Bay malangnya alamat echobay.com sudah dimiliki orang lain maka beliau menggabungkan kedua perkataan tersebut menjadi eBay.

5. Barangan pertama dijual

Percaya atau tidak, barangan pertama yang berjaya dijual di eBay adalah sebuah mesin cetak laser terpakai yang sudah rosak. Ianya dijual pada harga $22.40. Pengasas eBay, Pierre Omidyar telah menghantar emel kepada pembeli tersebut untuk meminta kepastian daripadanya sama ada beliau mengetahui mesin cetak tersebut sudah rosak.

Pembeli tersebut membalas emel tersebut dan mengatakan beliau sememangnya seorang pengumpul mesin cetak laser yang sudah rosak. Antara barangan terawal yang dijual adalah seluar dalam yang ditandatangani oleh Mark Wahlberg, iaitu seorang artis terkenal dan juga kereta Toyota Tercel.

6. Pengguna eBay paling ramai 

Walaupun eBay berasal daripada Amerika Syarikat, statistik menunjukkan eBay lebih popular di Britain daripada Amerika Syarikat sendiri. DIanggarkan 20 juta rakyat Britain mengunjungi laman web eBay setiap bulan, melebihi jumlah pengguna daripada negara lain per kapita.

7. 800 juta barangan disenaraikan setahun

Dianggarkan 800 juta barangan disenaraikan di eBay. eBay menjadi pilihan kerana pengguna bebas menjual barangan peribadi mereka sama ada baru atau lama. Malah, anda juga berkemungkinan menjumpai barangan pelik yang tidak mungkin dijual di tempat lain.

Pihak NASA juga dikatakan akan menggunakan eBay untuk membeli barang-barang perkakasan lama seperti disket dan cakera padat yang tidak lagi dijual dan dihasilkan dimana-mana. Barang-barang ini diperlukan pihak NASA bagi membolehkan sesebuah teknologi lama yang masih berfungsi terus digunakan.

Kredit:

  1. Mashable
  2. The Telegraph



Hakcipta iluminasi.com (2017)