Perubahan iklim yang berlaku pada hari ini adalah sesuatu yang agak membimbangkan. Sejak beberapa dekad yang lalu, kajian menunjukkan berlakunya perubahan suhu dan corak cuaca yang agak ketara.
Perubahan ketara pada suhu dan cuaca seperti ini boleh menyebabkan kejadian bencana alam seperti kemarau panjang atau banjir besar yang berlaku di negara kita baru-baru ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, kita masih bernasib baik kerana cuaca di Bumi tidaklah begitu ekstrem jika dibandingkan dengan cuaca di planet lain. Apabila bercerita tentang cuaca angkasa lepas, tiada apa yang "normal" bagi manusia di Bumi.
Berikut adalah beberapa fakta mengenai cuaca unik yang berlaku di planat lain.
1. Hujan kaca
Jika anda mempunyai teleskop, perhatikan pada satu bintang yang dinamakan Exoplanet HD 189773B. Planet berwarna biru bercahaya ini ditemui oleh ahli astronomi Perancis pada tahun 2005 dan terletak kira-kira 65 tahun jarak kelajuan cahaya dari Bumi.
Apa yang membuatkan exoplanet (planet di luar sistem suria) ini berwarna biru adalah disebabkan hujannya. Sebenarnya, exoplanet ini dihujani dengan serpihan kaca mendatar pada kadar 4,349 batu sejam.
Apabila hujan kaca ini turun pada kadar yang sangat laju, pantulan cahayanya menjadikan planet ini kelihatan seperti diliputi air. Ia merupakan salah satu cuaca angkasa lepas yang menakutkan.
2. Hujan batu permata
Selama lebih 40 tahun, saintis hanya mengesyaki bahawa sesetengah planet mempunyai hujan baru permata. Satu-satunya misi angkasa lepas iaitu Voyager 2 hanya mampu mendedahkan sebahagian daripada misteri itu.
Saintis kini mendapati hujan batu permata seperti berlian mungkin berlaku di beberapa planet seperti Jupiter, Saturn, Neptune dan Uranus. Namun, bagaimana ia boleh berlaku?
Sebenarnya, panahan kilat di planet-planet yang dimaksudkan ini menukarkan gas metana kepada karbon. Apabila karbon itu mengeras, ia akhirnya akan membentuk berlian. Namun, suhu panas Jupiter dan Saturn akan mencairkan batu permata itu. Hujan berlian ini akan kekal di planet yang lebih sejuk seperti Neptune dan Uranus.
3. Ribut yang tidak berhenti selama 400 tahun
Terdapat ribut yang berlaku di planet Jupiter yang dikenali saintis sebagai Bintik Merah Besar. Ia merupakan ribut terbesar dalam sejarah sistem suria yang pernah direkodkan.
Bintik Merah Besar ini dipercayai sudah bermula hampir 400 tahun lalu dan masih berterusan. Asalnya, ribut ini adalah dua kali saiz Bumi tetapi menjadi semakin kecil dari masa ke masa. Ia berputar pada arah lawan jam selaju 300 batu sejam.
Saintis mempunyai beberapa teori saintifik mengapa ia berlaku. Ribut ini telah memanaskan atmosfera di atasnya menjadi 1300 darjah selsius. Ini menjawab persoalan mengapa planet yang lebih jauh daripada matahari mempunyai suhu yang panas.
Saintis mempunyai teori bahawa haba dari ribut ini memanaskan seluruh planet Jupiter.
4. Taufan sebesar Bumi
Neptune adalah planet ke-8 daripada Matahari dan merupakan rumah kepada ribut taufan yang besar. Corak cuaca ini mula diperhatikan pada 1989 apabila kapal angkasa Voyager 2 mengesan "The Great Dark Spot" atau Bintik Hitam Besar.
Saintis pada waktu itu tidak mengkaji cuaca Neptune dengan begitu teliti. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini saintis mendapati bahawa terdapat taufan sebesar Bumi di planet itu.
Ia mengambil masa beberapa tahun untuk terbentuk dan biasanya bermula daripada pengumpulan awan metana putih. Taufan ini biasanya berlangsung selama dua hingga enam tahun lamanya.
5. Salji logam
Suhu di planet Venus (Zuhrah) adalah setinggi 482 darjah selsius dan ia sangat kering. Apa yang menakjubkan, berlakunya fenomena "salji" di planet ini. Bagaimana ia boleh terjadi?
Saintis menyesyaki bahawa suhu panas cari di tanah pamah Venut mengewapkan bahan pirit (galian rapuh, berwarna kuning dan digunakan dalam pembuatan asid sulfurik) dan mengubahnya menjadi sejenis kabus logam yang menapis melalui atmosfera.
Kabus logam ini kemudian jatuh ke atas pergunungan di planet Venus menjadikan puncak gunung ini disaluti bahan logam berkilat. Ia merupakan satu pemandangan yang menakjubkan bagi mana-mana peminat angkasa lepas.
6. Perubahan ekstrem suhu di Marikh
Kita telah membuktikan bahawa manusia boleh bertahan ketika musim panas atau musim sejuk yang luar biasa atau ekstrem seperti yang berlaku di beberapa bahagian dunia.
Namun, kita mungkin tidak dapat bertahan dengan kedua-duanya sekali dalam masa yang singkat. Begitulah keadaan yang berlaku di planet Marikh yang dikatakan sesuai untuk didiami manusia.
Secara puratanya, suhu pada waktu siang di Marikh adalah sekitar 21 darjah selsius tetapi boleh bertukar secara mendadak pada waktu malam iaitu sekitar -73 selsius di bawah tahap beku. Perubahan ketara ini boleh membawa maut jika tidak dilengkapi dengan peralatan yang betul.
7. 10 panahan petir dalam sesaat
Anda mungkin pernah melihat kejadian panahan petir selang beberapa saat berlaku ketika hujan lebat. Namun, keadaan yang lebih ekstrem berlaku di planet Saturn (Zuhal) di mana kilat menyambar sebanyak 10 kali dalam hanya satu saat!
Saintis menggelarkan keadaan ini sebagai Great White Spot yang dikesan pada permukaan planet itu berlaku sekali dalam tempoh kira-kira dua dekad. Namun, ribut besar ini hanya berlaku untuk waktu yang agak singkat.
Menyaksikan ribut besar dengan panahan kilat yang berterusan amat menakutkan tetapi ia menarik minat saintis kerana ia boleh menjadi bukti kewujudan air di planet itu. Jika sesuatu planet itu tiada air, ribut yang berlaku boleh berterusan sehingga berabad-abad lamanya.