Cuaca adalah gabungan peristiwa yang berlaku setiap hari di atmosfera kita. Keadaan cuaca adalah berbeza di bahagian yang berlainan di dunia dan ia berubah mengikut minit, jam, hari dan minggu.

Kebanyakan cuaca berlaku di troposfera iaitu bahagian atmosfera Bumi yang paling hampir dengan tanah. Seperti yang diketahui ramai, Malaysia terletak berhampiran khatulistiwa. Ini menjadikan Malaysia dikategorikan sebagai negara khatulistiwa dan mempunyai iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Sebenarnya, banyak lagi fakta dan kejadian cuaca yang menarik di bahagian lain di dunia yang mungkin tidak diketahui ramai. Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai cuaca di seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tiupan angin terpantas dunia

Anda mungkin pernah merasai tiupan angin yang kuat sebelum turunnya hujan lebat. Namun, ia mungkin tidak setanding dengan tiupan angin yang direkodkan pada tahun 1996 ini.

Pada tahun 1996, fenomena taufan tropika yang dinamakan Taufan Olivia melanda pantai Pulau Barrow, Australia, dengan kekuatan luar biasa. Menurut The Weather Channel, taufan itu menghasilkan lima tiupan angin kuat sehingga mencecah kelajuan 408 km/jam.

Angin daripada Taufan Olivia itu telah memecahkan rekod sebelumnya iaitu tiupan angin selaju 371 km/jam yang direkodkan di Mount Washington, New Hamshire, pada tahun 1934.

2. Kemarau di Eropah terburuk selama 2,100 tahun

kemarau eropah

Benua Eropah telah mengalami musim kering dan panas melampau sejak tahun 2015 sehingga menyebabkan berlakunya kemarau besar. Perubahan cuaca ekstrem ini bertambah teruk dari tahun ke tahun dan ia adalah terburuk dalam tempoh 2,100 tahun.

Para penyelidik dari Universiti Cambridge telah melakukan penyelidikan dengan melihat isotop pada gelang pokok Oak Eropah lama yang terbentuk selama beribu-ribu tahun untuk menentukan punca kemarau ini.

Hasil penelitian, mereka mendapati bahawa musim kemarau yang berlaku adalah berpunca daripada perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia dan pergeseran dalam jet stream (jalur sempit angin kencang yang biasanya bertiup dari barat ke timur di seluruh dunia).

3. Perubahan iklim menyebabkan bunga berubah warna

lebah dan bunga

Jangan khuatir, bunga mawar merah kesayangan anda tidak akan bertukar warna dalam masa semalaman. Walau bagaimanapun, peningkatan sinaran UV akibat lapisan ozon yang semakin merosot sejak beberapa dekad yang lalu telah menyebabkan bunga di seluruh dunia berubah.

Dalam kajian pada tahun 2020 yang dijalankan oleh Clemson University, South Carolina, mereka mendapati bahawa pigmentasi UV dalam bunga telah meningkat dari semasa ke semasa dan menyebabkan degradasi terhadap debunga tumbuhan itu.

Walaupun manusia tidak dapat melihat perubahan ketara warna bunga dengan mata kasar, ia adalah masalah besar bagi pendebunga seperti lebah yang tertarik dengan warna terang yang dihasilkan oleh bunga.

4. Rekod suhu paling sejuk

antarctica

Mereka yang tinggal di negara beriklim sejuk mungkin sudah biasa dengan angin kencang, udara sejuk atau salji. Namun, musim sejuk yang biasa ini bukanlah apa-apa jika dibandingkan dengan hari paling sejuk yang pernah direkodkan.

Hari yang paling sejuk dalam sejarah telah direkodkan di Antartika dalam satu penyelidikan antara tahun 2004-2016 iaitu serendah -97.7 darjah selsius.

Hanya beberapa sedutan udara dalam suhu seperti itu akan menyebabkan pendarahan dalam paru-paru anda dan boleh menyebabkan kematian.

5. Ribut pasir boleh menelan seluruh bandar

ribut pasir 612

Ribut pasir berlaku apabila angin begitu kuat sehingga dapat mengangkat butiran pasir dari tanah dan meniupnya ke udara. Ia paling kerap berlaku di kawasan berpasir seperti padang pasir Gurun Sahara.

Ribut pasir yang biasanya berlaku ketika musim panas atau kemarau ini boleh berlaku dengan cepat tanpa banyak amaran. Kelajuan angin serendah 40 km/jam sahaja sudah boleh mencetuskan ribut pasir.

Pada pertengahan 2021, ribut pasir di wilayah Gansu di barat laut China setinggi 100 meter telah menelan seluruh bandar Dunhuang dalam masa hanya beberapa minit sahaja.

6. Pancuran air boleh menyebabkan hidupan laut jatuh dari langit

pancuran air

Waterspout atau pancuran air adalah lajur udara yang berputar di atas air seperti di lautan. Pancuran air terbahagi kepada dua kategori iaitu pancuran air cuaca cerah dan pancuran air tornadik.

Pancuran air tornadik adalah puting beliung yang terbentuk di atas air atau bergerak dari darat ke air. Ia mempunyai ciri-ciri yang sama seperti puting beliung di darat.

Fenomena pancuran air di laut boleh menyebabkan hidupan laut seperti ikan terangkat ke udara dan jatuh seperti air hujan.

7. Cuaca sejuk bekukan Sungai Thames selama dua bulan

sungai thames beku

Pada tahun 1683-1684, cuaca sejuk yang ekstrem melanda di seluruh England dan dilaporkan yang terburuk dalam sejarah. Kejadian itu dikenali sebagai The Great Frost of 1683-84.

Ketika itu, dilaporkan bahawa Sungai Thames yang terletak di London membeku sehingga kedalaman satu kaki dalam selama dua bulan lamanya.

Keadaan sungai membeku turut dilaporkan di seluruh England sehingga menyebabkan orang ramai mengadakan pelbagai pesta dan aktiviti di atas sungai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)