Oleh pada 08 Sep 2023 kategori

Sudah beberapa tahun penulis setia menggunakan telefon jenama China, meninggalkan jenama Korea Selatan yang sebelum itu dekat di hati. Telefon jenama China sudah diketahui lebih murah harganya berbanding keluaran lain.

Spesifikasi setiap telefon pintar mereka juga jauh lebih baik berbanding jenama bukan China, dalam kelas yang sama dengan harga lebih mesra poket.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun selepas kembali menggunakan peranti Korea Selatan untuk beberapa bulan, penulis dapat menghakimi perbezaan produk telefon pintar keluaran China berbanding yang lain.

Ini 6 keburukan utama menggunakan telefon jenama China yang tidak dialami penulis, beberapa bulan kebelakangan ini.

1. Banyak iklan dalam sistem

iklan dalam sistem operasi telefon china

Sekiranya anda pengguna setia tegar jenama Korea Selatan atau jenama Amerika Syarikat, anda mungkin belum menyaksikan bagaimana iklan-iklan yang mengganggu diadunkan ke dalam menu sistem peranti dari China.

Bayangkan, anda hendak melakukan penyeliaan atau maintenance telefon anda pun, anda boleh dihadapkan dengan iklan. Iklan-iklan ini pula datang dalam pelbagai variasi. Ada iklan permainan video, ada iklan produk, kadangkala iklan beli-belah on-line pun keluar.

Satu ketika dulu, fungsi ini boleh dimatikan tetapi selepas beberapa kemaskini...fungsi mematikan iklan sudah dipadamkan.

Jangan salah faham pula ya. Iklan ini bukan dalam aplikasi pihak ketiga, tetapi hadir dalam menu sistem operasi atau aplikasi keluaran pihak pengeluar utama. Memang sakit hati.

2. Aplikasi pre loaded yang banyak

aplikasi pre loaded telefon pintar

Selain iklan, telefon dari China milik penulis pelbagai jenama mempunyai kepadatan aplikasi siap terpasang (pre-loaded) yang tinggi.

Yang buat pemasangan sebegini tak best, aplikasi yang dipasangada yang berorientasikan pengguna di China walaupun ROM-nya untuk pasaran dunia. Masalahnya, nak buang bukan proses senang.

Nak kena guna PC untuk muat turun aplikasi lain yang boleh memintas sistem operasi telefon. Telefon perlu dihubungkan dengan komputer menggunakan kabel dan barulah aplikasi tidak bermanfaat ini boleh dinyah keluar...kalau kita faham bagaimana nak membuangnya.

Situasi ini berbeza dengan pesaing mereka, yang lebih gemar memasang siap aplikasi dibangunkan mereka sendiri ke dalam setiap model mereka kecuali aplikasi popular seantero dunia. 

3. Menu yang kucar-kacir

english bahasa menu telefon china

Satu kelemahan paling annoying menggunakan telefon China yang pernah penulis lalui, adalah bagaimana ada antaramuka aplikasi atau menu sistem boleh bercampur baur tulisan rumi dan Cina.

Macam mana perkara sebegitu boleh berlaku?

Entahlah. Walaupun ralat sebegini biasanya diperbetulkan selepas proses kemaskini atau nyala semula, sangat annoying tau bila kita tengok di paparan telefon kita terpapar huruf yang kita tak boleh baca.

Satu lagi kelemahan ketara dalam telefon keluaran China, adalah terjemahan menu yang lemah.Istilah yang digunakan mengelirukan. Seakan broken English pun ada.

Kalau baca ayat yang digunakan untuk menerangkan sesuatu fungsi yang terpasang dalam telefon pintar kita, memang boleh pening kepala nak memahamkannya.

4. Sistem sokongan kurang 

sistem sekuriti telefon china lemah

Perbezaan ketara dalam membandingkan peranti dari China dengan peranti bukan China, adalah pada tahap kemaskini sistem operasinya.

Telefon China kalau yang berharga bajet, biasanya hanya dikemaskini dalam tempoh lebih singkat berbanding keluaran bukan China; menyebabkan telefon milik anda cepat terkebelakang berbanding standard pasaran.

Begitulah juga dengan sokongan pada kemaskini sekuriti.

Berbanding telefon China, produk bukan dari China biasanya menawarkan sokongan sekuriti dan penambahbaikan sistem operasi yang lebih panjang sela masanya - sepadanlah dengan harga produk yang diminta.

5. Pengeluar China berlumba keluarkan model baru

terlalu banyak varian produk china

Satu benda yang sukar kami fahami adalah kenapa pengeluar China laju sangat nak update lineup produk mereka?

Pengeluar China seakan gemar melambakkan pasaran dengan produk-produk dalam pelbagai varian berbeza, dengan hanya sedikit perbezaan pada spesifikasi. Kita baru beli model terbaru, 6 bulan lepas tu dah ada model penggantinya.

Sudahlah berlaku lambakan model, yang lebih menyenakkan pilihan adalah bagaimana jenama smartphone China biasanya mempunyai terlalu banyak varian berbeza dengan harganya dekat-dekat sahaja bezanya.

Mungkin terlalu gelojoh mengeluarkan varian dan model inilah, yang menjadi punca kenapa sistem operasi dan sokongan sekuriti dari China selalunya setengah masak.

Mereka beranggapan pembeli akan menggantikan peranti milik kita, sepantas mereka mengeluarkan varian baru sepanjang masa menjadikan tiada lagi keperluan mengemaskini OS ke tahap semasa.

6. Banyak aplikasi pengintip dan pengumpul data

pengeluar china telefon pintar

Semua pengguna telefon pintar sedar, mana-mana syarikat pengeluar dan pembangun sistem operasi yang kita gunakan memang mengumpul data kita, baik maklumat peribadi atau tabiat penggunaan kita.

Apa yang membezakan produk dari China dengan produk keluaran lain, adalah bagaimana pengguna diberikan pilihan membenar atau menghalang informasi dikumpul.

Bagi model China yang digunakan penulis, perkara ini bukan saja tidak dimaklumkan bahkan disembunyikan secara sulit. 

Hanya selepas menyambungkan telefon milik penulis kepada komputer dan memuat turun aplikasi khas, barulah penulis mendapati banyak aplikasi-aplikasi tersembunyi yang tidak diketahui dipasang; mengumpul dan menghantar data berkait tabiat penggunaan kita, rekod carian internet dan sebagainya tanpa diketahui.

Model keluaran negara lain pun melakukannya tetapi sekurang-kurangnya, mereka ada juga rasa hormat privasi kita. Kita akan dimaklumkan terlebih dahulu dan fungsi itu akan dimatikan selagi mana kita tidak setuju.

Peranti China pula rata-rata mengamalkan tahap etika berbeza.

Hanya dengan menggunakan telefon itu, anda secara automatik dianggap bersetuju data anda dikumpulkan dan hanya selepas anda melakukan bantahan, barulah anda dikeluarkan.

Itupun kalau benar-benar dimatikanlah. Pengalaman penulis? Memang ditamatkan pengumpulan data. Bila berlaku kemaskini perisian atau sistem sekuriti, secara magic semuanya diaktifkan semula tanpa pemberitahuan kepada kita.

Kitalah juga yang kena cari balik satu per satu untuk menafikan kebenaran data kita dikumpul dan diguna. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)