Rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana memiliki Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang boleh dianggap antara yang terbaik di dunia. Dibuka pada tahun 1998, pada tahun 2017 lapangan ini menduduki tempat ke 23 lapangan terbang paling sibuk di dunia berdasarkan jumlah penumpang.

Walaupun sudah 20 tahun dibina, rekabentuk lapangan terbang ini masih tidak jauh ketinggalan berbanding rekabentuk lapangan-lapangan terbang yang baru dibina. Tahukah anda, dalam pembinaan sesebuah lapangan terbang, sebenarnya terdapat banyak elemen penting yang dititikberatkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekiranya anda sudah banyak melancong ke luar negara, cuba perhatikan dan amati rekabentuk lapangan-lapangan terbang yang pernah anda sampai. Mungkin anda akan dapati terdapat beberapa elemen yang sama dimana-mana sahaja lapangan terbang di seluruh dunia. Sebenarnya, itu bukanlah satu kebentulan sebaliknya dibuat berdasarkan kajian.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 6 rahsia rekabentuk lapangan terbang seluruh dunia yang tidak diketahui ramai.

1. Rekabentuk papan tanda penunjuk arah (signboard)

papan tanda penunjuk arah

Lapangan terbang merupakan satu tempat yang sangat sibuk. Maka, adalah sangat penting bagi memastikan ianya mempunyai penanda-penanda arah yang bukan sahaja betul, tetapi mudah dilihat. Sekiranya anda tidak tahu, 75% tulisan penting di papan tanda penunjuk arah di lapangan terbang adalah menggunakan jenis tulisan Helvetica, Frutiger dan Clearview yang merupakan daripada jenis keluarga sans-serif.

Pemilihan jenis font ini adalah kerana ketiga tulisan ini lebih jelas untuk dilihat daripada jauh berbanding font tulisan yang lain. Secara kiraan mudah, setiap inci ketinggian tulisan menambahkan jarak penglihatan pada jarak 40 kaki. Oleh itu, huruf yang mempunyai ketinggian 3 inci dapat dilihat daripada jarak 120 kaki.

Selain itu, sekiranya anda perasan setiap papan tanda penunjuk arah di lapangan terbang mempunyai skema dan trend tertentu. Perkara ini dilakukan bagi memudahkan penumpang hendak mengenenalpasti sekiranya mereka tersilap arah. Sebagai contoh, sekiranya anda sedang mengikuti papan tanda penunjuk arah berwarna kuning dan tiba-tiba penunjuk arah di hadapan anda berwarna biru, besar kemungkinan anda sudah tersilap arah.

2. Penggunaan cermin yang banyak

rekabentuk lapangan terbang 598

Antara ciri utama lapangan terbang yang dapat diperhatikan pada majoriti lapangan terbang adalah penggunaan cermin yang sangat banyak. Sebagai contoh, pada ruang berlepas, cermin besar akan digunakan sebagai dinding. Begitu juga ketika berada di ruang menunggu pesawat, dari tempat duduk anda boleh melihat pesawat berlepas daripada cermin besar di hadapan anda.

Adakah persamaan ini sekadar kebetulan? Tidak, sebenarnya lapangan terbang sengaja menggunakan cermin yang banyak bagi memudahkan pengcahayaan semulajadi daripada luar. Secara umum dan semulajadinya, manusia sukakan pencahayaan semulajadi kerana ianya begitu lembut dan tidak menyakitkan mata.

Selain itu, menurut satu kajian pencahayaan semulajadi sebenarnya mewujudkan mood yang baik kepada manusia. Cahaya semulajadi dipercayai memberi ketenteraman kepada manusia dan oleh itu menggalakkan mereka berbelanja lebih banyak di lapangan terbang.

3. Golden hour

kedai bebas cukai

Istilah Golden Hour ini merujuk kepada masa atau tempoh menunggu sebelum menaiki pesawat selepas selewai urusan dengan pegawai kastam dan pihak sekuriti. Pihak lapangan terbang sememangnya memanfaatkan tempoh Golden Hour ini bagi menggalakkan penumpang berbelanja lebih.

Sebagai contoh, sekiranya anda perasan kedai pertama yang akan dilalui selepas urusan bersama pegawai kastam dan sekuriti adalah kedai bebas cukai. Dalam kedai bebas cukai ini pula, kebiasaannya barangan mahal seperti minyak wangi, minuman alkohol dan coklat kebiasaannya berada pada bahagian paling hadapan kerana keduanya mempunyai margin keuntungan yang lebih besar.

Selain itu, sepanjang laluan ke ruang menunggu pesawat, anda akan dapati terdapat banyak kedai dan juga restoran. Sambil menunggu, kebiasaannya penumpang akan berjalan ke kedai-kedai ini bagi menghilangkan kebosanan. Bagi yang kelaparan, penumpang juga kebiasaannya tidak berapa kisah untuk membayar makanan pada harga yang lebih mahal di restoran yang terdapat berhampiran ruang menunggu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

4. Ruang menunggu dan berlepas

ruang berlepas klia

Secara umumnya, kebanyakan lapangan terbang baru mempunyai kedudukan ruang menunggu dan ruang berlepas yang sama iaitu ruang berlepas berada di bahagian atas sementara ruang menunggu pula berada di bahagian bawah.

Terdapat beberapa sebab mengapa rekabentuk sebegini dipilih antaranya kerana apabila kapal terbang sampai ke lapangan terbang, maka beg-beg bagasi akan dipindahkan ke tempat mengambil bagasi. Secara umum, adalah lebih mudah untuk memindahkan beg-beg bersaiz besar dan berat ini ke bahagian bawah berbanding mengangkatnya ke bahagian atas.

Selain itu, ruang berlepas juga biasanya terletak di bahagian atas yang lebih luas kerana kebanyakan penumpang akan meluangkan lebih banyak masa di ruang berlepas berbanding ruang ketibaan. Ruang balai berlepas yang luas ini juga boleh menempatkan lebih banyak kedai dan restoran agar penumpang akan berbelanja lebih.

Jika perlu, ruang berlepas ini juga boleh diperluas pada masa akan datang untuk menampung pertambahan penumpang. Sementara itu, ruang ketibaan biasanya terletak di bahagian bawah yang lebih sempit kerana kebanyakan penumpang tidak akan berada lama di ruang ketibaan. Kebiasaanya mereka akan mengusung beg keluar dan segera beredar daripada lapangan terbang kerana sudah keletihan dan ingin segera ke destinasi yang dituju.

5. Kewujudan mesin layan diri

mesin layan diri airport

Lapangan terbang juga kini sudah banyak memanfaatkan penggunaan teknologi bagi memudahkan penumpang, antaranya penggunaan mesin layan diri. Dengan mesin ini, penumpang boleh mendaftar masuk tanpa perlu menghabiskan masa yang panjang untuk beratur.

Penggunaan mesin layan diri juga bermaka pihak lapangan terbang dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia, seterusnya mengurangkan kos pengurusan. Bagi penumpang pula, mereka tidak perlu membazir masa untuk beratur panjang dan mengelakkan stress, seterusnya menggalakkan mereka untuk berbelanja di kedai-kedai yang terdapat dalam lapangan terbang.

6. Rekabentuk lantai

ruang menunggu pesawat

Percayakah anda, jurutera rekabentuk dalaman juga membuat kajian mengenai jenis-jenis lantai yang sesuai untuk digunakan di lapangan terbang. Sebahagian besar lapangan terbang menggunakan lantai marmar berwarna putih atau cerah pada sebahagian besar lantai untuk meningkatkan kadar pengcahayaan dalam lapangan terbang.

Walau bagaimanapun, pada bahagian tertentu seperti kaunter mendaftar masuk, lantai berwarna kelabu akan digunakan. Lantai berwarna kelabu ini digunakan kerana secara psikologinya, warna kelabu melambangkan keadaan yang formal dimana penumpang perlulah menyelesaikan urusan mendaftar masuk dengan segera.

Contoh lain, diruang menunggu kebiasaannya karpet akan digunakan berbanding lantai marmar. Lantai karpet dan kewujudan kerusi sebenarnya akan mewujudkan suasana yang tenang dan mendamaikan, seterusnya menggalakkan setiap penumpang untuk berehat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)