Walaupun sukar untuk dipercayai, tetapi ada pembunuh upahan profesional di kalangan kanak-kanak bawah umur. Sama seperti orang dewasa, mereka dilatih untuk menjadi mahir.
Ada antara mereka yang sudah membunuh puluhan orang sebelum ditangkap atau terbunuh. Kebanyakan orang tidak menyangka seorang kanak-kanak itu mampu melakukan pembunuhan, memudahkan lagi pembunuh upahan bawah umur untuk melakukan tugasan mereka. Berikut adalah beberapa pembunuh upahan bawah umur yang terkenal.
BESARKAN TEKS A- A+
Edgar Jimenez Lugo
Edgar Jimenez Lugo (aka El Ponchis) adalah seorang pembunuh upahan yang kejam dari Kartel di Pasifik Selatan, Mexico. Dia dikenali kerana sering menculik dan menyeksa mangsanya sebelum memotong leher mereka menggunakan pisau.
Lugo disyaki telah mengambil bahagian dalam lebih daripada 300 pembunuhan setelah melakukan pembunuhan pertamanya pada usia 11 tahun. Segalanya berakhir pada tahun 2010 apabila dia dan kakaknya ditangkap di lapangan terbang Mexico.
Dia yang berusia 14 tahun ketika ditangkap, ingin terbang ke Tijuana sebelum ke Amerika untuk menemui ibunya di San Diego. Lugo hanya dihukum penjara selama tiga tahun kerana bersalah memenggal kepala empat orang ahli kumpulan lawan dan membuang mayat mereka di bawah jambatan.
Setelah dibebaskan, dia melarikan diri ke Amerika Syarikat kerana dia telah menjadi sasaran bunuh oleh kumpulan musuhnya di Mexico. (sumber)
The Wolf Boys
Gabriel Cardona dan Rosalio Reta
The Wolf Boys adalah pasukan kecil yang terdiri daripada dua orang remaja iaitu Gabriel Cardona dan Rosalio Reta. Kedua-duanya adalah warganegara Amerika tetapi bekerja untuk kartel dadah Los Zetas di Mexico.
Cordona telah menyertai kartel itu pada 2004 ketika berusia 17 tahun. Dia menerima latihan tempur dari anggota kartel dan tentera upahan Colombia sebelum diajar menjadi pembunuh upahan profesional.
Menggunakan kelebihan sebagai warganegara, Cardona sering mengembara ke Amerika untuk melakukan serangan terhadap musuh kartelnya. Dia memperoleh gaji asas sebanyak USD 500 (RM 2037) seminggu dan dibayar sehingga USD 10,000 (RM 40,750) bagi setiap pembunuhan.
Di Mexico, Cardona telah dinaikkan pangkat menjadi komander. Menggunakan kedudukannya itu, Cardona merekrut Reta, rakan baiknya sejak zaman kanak-kanak. Reta lebih kejam berbanding Cardona kerana pernah membunuh seorang lelaki di hadapan isteri dan anaknya. Ketika ditangkap, Reta dengan bangga memberitahu bahawa pernah memberi makan musuhnya kepada seekor harimau putih.
Cardona akhirnya ditangkap di Laredo, Texas, pada tahun 2006. Tidak lama selepas itu Reta pula ditangkap di Mexico dan diekstradisi ke Amerika untuk dibicarakan. Caedona dijatuhkan hukuman 80 tahun penjara kerana bersalah membunuh empat orang manakala Reta pula dikenakan hukuman 70 tahun penjara. Reta disyaki telah membunuh lebih daripada 30 orang. (sumber)
Little Bean
Seorang remaja lelaki yang hanya dikenali sebagai Frijolito (bermaksud "Kacang Kecil") adalah pemimpin geng dadah Los del Ave di Colombia. Dia juga disyaki bertanggangjawab ke atas lebih daripada 30 kematian di negara itu.
Frijolito juga obses tentang menjadi seorang pembunuh upahan. Gelaran Frijolito itu diinspirasikan oleh sebuah novel di mana plot kisahnya berkisarkan tentang seorang pembunuh bersiri di Colombia.
Pada 2 Februari 2017, pihak polis Colombia telah berjaya menangkap seorang budak lelaki berusia 17 tahun yang disyaki adalah Frijolito. Budak lelaki itu adalah seorang pembunuh kejam yang memulakan karier membunuhnya seawal usia 12 tahun.
Dia telah dihantar ke pusat tahanan remaja dan akan ditahan di sana sehingga mencapai usia 18 tahun sebelum dipindahkan ke penjara yang lebih sesuai. (sumber)
Santre Sanchez Gayle
Pada tahun 2010, seorang peniaga ganja berusia 15 tahun iaitu Santre Sanchez Gayle (aka Riot) telah menembak mati Gulistan Subasi yang berusia 26 tahun. Gayle pergi ke rumah Subasi di Hackney, London Timur dan menembak wanita itu ketika dia sedang membuka pintu. Ketika kejadian Subasi sedang bersiap untuk menyambut hari jadi anak lelakinya.
Gayle melarikan diri dari tempat kejadian tetapi kejadian itu berjaya dirakam CCTV. Pada mulanya, pihak polis gagal mengecam pelaku yang menembak Subasi. Akan tetapi, Gayle terlalu bangga dan menceritakan tentang pembunuhan itu kepada seorang rakan yang lain.
Rakannya itu kemudian telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan Gayle diberkas dengan segera. Tidak lama selepas itu lelaki yang mengupah Gayle iaitu Izak Billy turut ditahan.
Apa yang lebih malang lagi ialah Gayle hanya menerima bayaran sebanyak £ 200 dari £ 2000 yang dijanjikan oleh Billy. Mereka berdua telah dipenjarakan seumur hidup. Gayle mesti berada di penjara selama 20 tahun sebelum layak diberikan parol sementara Billy pula selama dijatuhkan hukuman selama 22 tahun. (sumber)
Gakirah Barnes
Gakirah Barnes (aka K.I) berusia 14 tahun ketika dia melakukan pembunuhan pertamanya. Remaja perempuan itu disyaki membunuh mangsanya yang kedua sebelum dia sendiri dibunuh pada April 2014. Kedua-dua pembunuhan yang dilakukannya itu bertujuan membalas dendam atas kematian rakan-rakan kumpulan samsengnya.
Barnes adalah ahli geng Fly Boy dan sering terlibat dalam pergaduhan kawasan antara Tookaville (gelaran wilayah yang dikuasai Fly Boy) dan O'Block, wilayah pesaing mereka yang terletak di Chicago.
Tookaville dan O'Block dinamakan sempena Shondale "Tooka" Gregory dan Odee Perry, dua anggota geng yang terbunuh semasa perebutan kawasan. Odee Perry telah dibunuh oleh Barnes sendiri.
Pada 11 April 2014, Barnes sedang berjalan kaki seorang diri apabila seorang individu tidak dikenali muncul dan menembaknya hingga mati. Ketika itu dia berusia 17 tahun. Sebelum ini, dia dikenali sebagai seorang yang suka menghebahkan kejayaannya membunuh dan meratap kematian rakan gengnya di media sosial.
Dia juga pernah disebut dalam salah satu video rap sebagai "Young Killa". Selepas kematiannya, rakan-rakan Barnes telah memperingatinya dengan memaparkan beberapa gambarnya memegang senjata dalam media sosial mereka. (sumber)
Jorge Armando Moreno Leos
Pada 4 Februari 2013, pihak berkuasa Mexico telah menahan Jorge Armando Moreno Leos yang berusia 13 tahun kerana terlibat dalam aktiviti geng jenayah. Moreno Leos merupakan seorang pembunuh upahan dan telah mengaku terlibat dalam 10 pembunuhan.
Walau bagaimanapun, dia tidak boleh didakwa kerana masih di bawah umur. Dia kemudian dihantar ke pusat juvana tetapi dibebaskan kerana berusia di bawah 14 tahun.
Akan tetapi, kebebasan Moreno Leos itu tidak bertahan lama kerana dia telah dibunuh kurang daripada sebulan selepas dibebaskan. Pembunuh yang tidak dikenali telah membawanya dan lima orang lagi (empat wanita dan seorang lelaki) ke tepi lebuh raya dan ditembak mati.
Identiti lima orang mangsa bersamanya tidak dapat dikenali dengan segera, namun salah seorang daripada wanita yang mati itu disyaki ibu kepada Moreno Leos. (sumber)