Salah satu kedai yang penulis gemar untuk berkunjung adalah kedai gunting rambut.

Apabila kerajaan kerajaan Malaysia mengumumkan keputusan membenarkan operasi tukang gunting membuka perniagaan, sedikit sebanyak memberikan keceriaan pada penulis. Bagaimanapun, kenyataan terbaru kerajaan menarik balik kebenaran itu atas nasihat Kementerian Kesihatan kembali membuat penulis muram.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ternyata keputusan itu adalah berdasarkan kepada risiko jangkitan yang boleh berlaku. Jadi apa caranya untuk kita di rumah kekal bergaya? Berikut adalah lima kaedah dan langkah yang diamalkan individu seluruh dunia dalam membantu memastikan 'style' rambut masing-masing tetap terjaga.

1. Gunting rambut sendiri

new phototastic collage 295

Penulis sudah banyak kali sebenarnya menggunting rambut sendiri, tetapi lebih kepada mencukur kepala sendiri dengan menggunakan mesin.

Bagaimanapun, beberapa laporan media menunjukkan semakin ramai individu di seluruh dunia cuba menggunting rambut sendiri, dengan hasil yang bercampur-aduk. Kebanyakan orang berjaya menggunting dengan baik bahagian depan, tetapi malangnya gagal sekali di bahagian belakang.

Di antara kelima-lima kaedah yang disenaraikan, kaedah ini merupakan kaedah paling berisiko tinggi - bukan disebabkan risiko jangkitan. Tetapi anda perlu berhadapan risiko kepala anda terpaksa dibotakkan.

Hanya cuba jika anda sanggup membotakkan kepala anda. Kalau cubaan anda gagal, anda mesti menyesal. Apatah lagi seandainya anda perempuan.

2. Suruh rakan atau ahli keluarga potongkan

minta ahli keluarga guntingkan rambut

Bagi menghadapi masalah penutupan kedai gunting rambut dan salon, beberapa negara khasnya Kanada sudah mula menggiatkan usaha 'melatih' tukang gunting rambut di kalangan keluar, melalui siaran media dalam usaha membantu orang ramai.

Antara tips yang dikongsikan adalah sekiranya ada rasa ragu-ragu bagi lelaki, gunakan pemotong nombor 4 semasa menggunakan mesin. Dengan itu, anda masih lagi ada rambut yang cukup panjang untuk diperbaiki seandainya ada terjadi kesilapan selepas perintah kawalan ditarik balik.

Bagi wanita pula, tukang gunting menyarankan agar kaum wanita faham bahawa rambut wanita lebih sukar untuk digunting dan digayakan, serta memerlukan tahap kelembapan yang betul semasa digunting.

Tips utama yang perlu diberikan perhatian - seandainya bimbang, jangan biarkan ahli keluarga gunting. Nipiskan saja di bahagian hujungnya agar nampak sekata, tidak terlalu panjang guntingannya. Paling penting - gunakan gunting yang sesuai, bukan gunting dapur.

3. Tukang gunting buat lawatan rumah ke rumah

perkhidmatan guntingan di rumah

Di taman yang diduduki penulis, seorang tukang gunting kreatif sudah mula menjalankan perniagaan guntingan rambut rumah ke rumah, dengan kadar bayaran yang sama saja seperti hari biasa.

Trend ini rupa-rupanya sudah diamalkan di serata dunia, dengan seorang tukang gunting di Winchester, Amerika Syarikat turut sama menggunakan model perniagaan serupa - menawarkan perkhidmatan gunting di rumah pelanggan, kebiasaannya di ruangan laman. Kami tidak tahu apakah kadar risiko yang boleh berlaku sekiranya model perniagaan ini dijalankan.

Bagaimanapun, seandainya di kawasan anda ada disediakan perkhidmatan sama, pastikan tukang gunting anda memakai topeng muka serta menggunakan sarung tangan.

Bagi tukang gunting pula, adalah lebih baik dihadkan bilangan pelanggan setiap hari agar risiko dapat dikurangkan.

Kami tidak tahu sama ada perniagaan ini dibenarkan atau tidak dalam tempoh PKP di negara kita.

4. Kelas menggunting secara maya

tutorial gunting rambut sendiri

Yakin dengan kemampuan tangan sendiri? Berani mencuba tetapi perlukan guru untuk membantu? Beberapa pusat rambut di seluruh dunia sudah memulakan apa yang dinamakan sebagai 'tutorial gunting rambut langsung secara maya' di mana pelanggan perlu membayar yuran kelas dan akan diajar melalui skrin langkah demi langkah.

Sama ada melalui aplikasi Whatsapp atau Facetime, tukang-tukang gunting akan mengajar anda satu per satu cara menggunting, memperbetulkan teknik anda serta menasihatkan anda mana yang perlu. Perkhidmatan yang ditawarkan bukan sekadar tutorial maya langsung menggunting, malahan anda boleh juga diajar mewarnakan rambut.

Jika anda pelanggan yang tidak mahu video secara langsung tetapi mahu turut belajar, di laman web Youtube semakin banyak video memaparkan tutorial cara untuk menggunting rambut sendiri. Hasilnya, terpulang kepada kemahiran anda atau individu yang anda berikan tanggungjawab menggunting rambut anda.

Risiko rambut buruk, tanggung sendiri ya. Wang tidak akan dikembalikan seandainya hasil tidak memuaskan.

5. Guntingan jarak jauh

gunting rambut jarak jauh china2 33

Di antara semua teknik yang disenaraikan, teknik terakhir ini memerlukan anda ke kedai gunting. Tetapi tukang gunting anda pula menggunakan teknik berbeza, memasang kesemua alat yang biasa digunakan pada batang kayu bagi membolehkan jarak selamat antara anda dan tukang gunting dikekalkan.

Trend yang dimulakan di China ini mendapat liputan gemuruh banyak pihak kerana keunikannya, namun perkongsian yang ditunjukkan nyata hanya sesuai untuk guntingan lelaki - kerana memerlukan penggunaan potongan mesin.

Bagi rambut wanita yang lebih halus serta memerlukan gunting, teknik unik mirip kung-fu yang diamalkan sudah pastilah tidak boleh digunakan. Pada penulis, nampak sedap juga kalau kepala kita disyampu menggunakan span yang dilekatkan pada batang kayu. Adakah kerajaan Malaysia boleh membenarkan kaedah ini dilakukan di kedai-kedai gunting kita?




Hakcipta iluminasi.com (2017)