Oleh pada 12 Jun 2018 kategori

Ketika ini negara kita sedang memfokuskan pandangan kita kepada siasatan skandal 1MDB yang didakwa mencatatkan jumlah kerugian terbesar melibatkan kewangan di negara kita.

Walaubagaimanapun, 1MDB bukanlah skandal pertama yang pernah berlaku mencatatkan kerugian berjuta-juta malahan berbilion ringgit duit pembayar cukai. Sebelum ini juga banyak berlaku kes-kes kerugian yang dialami sehingga memerlukan kerajaan menggunakan dana-dana awam bagi menampung kos hutang yang perlu ditanggung, akibat kecuaian pihak-pihak tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda berkenaan skandal-skandal ini? Berikut adalah 5 skandal kewangan antara yang melibatkan kerugian terbesar, pernah berlaku di negara kita.

1. Skandal Maminco (1981)

malaysia pengeluar timah terbesar

Satu ketika dulu, negara kita adalah pengeluar timah terbesar di dunia dengan tahap pengeluaran 31% bekalan seluruh dunia. Industri timah menjadi penyumbang peluang pekerjaan kepada lebih 40,000 serta menyumbangkan dana untuk pembangunan negara.

Dalam memastikan harga timah dapat dikekalkan, sebuah syarikat bernama Maminco Sdn. Bhd. ditubuhkan untuk mengawal harga melalui pembelian 'olok-olok' secara kontrak, dalam mewujudkan permintaan tinggi. Untuk membolehkan pembelian dilakukan, Maminco melakukan pinjaman dengan Bank Bumiputera Berhad (nama lama CIMB) dalam amaun yang agak besar.

Pada mulanya manipulasi harga Maminco berjaya menaikkan harga timah namun tiada kawalan pada harga diperkenalkan, menyebabkan bekalan dari negara lain pada harga lebih rendah mula menjadi tumpuan pembeli. Akhirnya harga timah Malaysia jatuh menjunam mengakibatkan Maminco Sdn. Bhd. gagal membayar jumlah pinjaman yang diambil. Akhirnya, pihak-pihak tertentu terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan bernilai RM660.5 juta. (rujukan)

2. Skandal Perwaja Steel (1992)

perwaja steel kilang skandal kerugian

Perwaja Steel bermula sebagai kerjasama di antara kerajaan Malaysia dan sebuah syarikat Jepun iaitu Nippon Steel Corporation, sebagai satu usaha kerajaan untuk melaksanakan dasar perindustrian di negara kita.

Bagi menjayakan usahasama ini, kerajaan Malaysia membina sebuah kilang besi bernilai lebih RM1 billion di Terengganu bagi membekalkan keperluan produk besi. Bagaimanapun, masalah operasi menimbulkan banyak isu dan Perwaja mula menghadapi masalah membayar hutang yang ditanggung.

Pada tahun 1987, Nippon Steel menarik diri daripada usahasama tersebut dan Perwaja terpaksa meneruskan operasi sendirian, sambil berdepan masalah hutang yang pada ketika itu pada tahap RM1 billion. Yang memeritkan lagi keadaan, pinjaman bagi menubuhkan Perwaja dibuat dalam matawang Yen. Ini menyebabkan jumlah hutang tidak terkawal berikutan kekukuhan nilai matawang tersebut berbanding Ringgit Malaysia.

Kerajaan melantik seorang pengurus baru yang diberikan autonomi bagi mengawal operasi kilang tersebut. Dana daripada Bank Bumiputera sebanyak RM860 juta dan KWSP sebanyak RM130 juta disalurkan bagi menyelamatkan keadaan. Bagaimanapun, Perwaja gagal diselamatkan berikutan banyak berlaku kesilapan pengurusan dan masalah salah guna dana.

Akhirnya kerajaan Malaysia perlu menanggung beban hutang dianggarkan melebihi RM10 billion. Walaupun mula mencatatkan keuntungan pada 2006-2008, beban hutang yang ditanggung terlalu besar menyebabkan banyak operasi Perwaja terganggu. Pada 2013, bekalan air dan elektrik kepada kilang tersebut terpaksa dipotong berikutan tunggakan yang terlalu tinggi dan pada Mac 2018, aset-aset Perwaja Steel mula dilupuskan untuk menampung pembayaran hutang syarikat.

3. Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang

pkfz skandal kos meningkat

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang atau lebih dikenali dengan nama Port Klang Free Zone Scandal atau PKFZ, merupakan sebuah skandal kewangan yang bermula hasil cetusan idea Menteri Pengangkutan ketika tahun 1997 iaitu Dr. Ling Liong Sik. Rancangan membangunkan PKFZ diluluskan oleh Kabinet Malaysia pada tahun 1999.

Dibina dengan tujuan untuk menambahkan lagi kemasukan kargo ke Pelabuhan Klang, dengan harapan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi, PKFZ di atas kertas tampak baik ideanya. Selepas pembukaannya pada 1 November 2007, berpuluh-puluh pelabur dari dalam dan luar negara mula menggunakan fasiliti pelabuhan yang disediakan serta telah menggandakan jumlah kargo dan kontena yang ditempatkan di situ.

Bagaimanapun, apa yang menimbulkan spekulasi adalah kos projek itu yang meningkat berkali-kali ganda berbanding kos awalnya yang dikatakan hanya bernilai RM1.1 billion. Selepas siap pada tahun 2007, keseluruhan kos yang digunakan bagi mempersiapkan PKFZ dianggarkan berjumlah RM4.6 billion. Dalam satu kajian audit yang dilakukan pada tahun 2008, anggaran keseluruhan kos PKFZ termasuklah jumlah faedah hutang yang perlu ditanggung berada pada tahap RM12.5 billion.

4. Skandal Bumiputera Malaysia Finance

jalil ibrahim mangsa skandal bmf

Nama Bank Bumiputera Berhad (BBMB) banyak disebut dalam senarai ini, namun skandal ini melibatkan anak syarikat kepada bank tersebut iaitu Bumiputera Malaysia Finance (BMF). BMF pernah terlibat dengan salah satu skandal antarabangsa yang mengejutkan dunia. Berlaku pada tahun 1983, BMF didapati memberi pinjaman sejumlah dalam amaun yang besar kepada sebuah syarikat berdaftar di Hong Kong yang bernama Carrian Group, untuk digunakan untuk membeli hartanah di Hong Kong.

Selepas berlakunya kejatuhan nilai hartanah Hong Kong, Carrion Group mula mengalami masalah membayar hutang kepada BMF. Mengesyaki ada kesalahan dilakukan, BBMB mula bertindak menyiasat urusniaga di antara BMF dengan Carrion. BBMB menghantar auditor mereka yang bernama Jalil Ibrahim ke Hong Kong bagi melakukan semakan. Bagaimanapun, Jalil didapati dibunuh di Hong Kong dan ini menyebabkan skandal ini menjadi hangat di seluruh negara.

jalil ibrahim mangsa bunuh skandal bmf

Siasatan seterusnya mendapati BMF bukan sahaja memberi pinjaman kepada Carrion Group malahan menjadi pemodal kepada operasi Carrion dalam membeli hartanah. Berikutan kegagalan Carrion membayar semula wang yang 'dipinjam' kepada BMF, ini menyebabkan BBMB sebagai syarikat utama perlu menampung operasi dan kerugian yang ditanggung BMF.

Pemegang saham terbesar BBMB adalah Permodalan Nasional Berhad. Bagi menyelamatkan BMF dan seterusnya menyelamatkan BBMB, PNB terpaksa menggunakan dana daripada sumbangan Amanah Saham Nasional, bagi menutup kerugian yang telah dilakukan oleh Carrion Group yang dianggarkan berjumlah RM2.5 billion. Kes tersebut dibicarakan selama 17 tahun di Hong Kong menjadi kes terpanjang melibatkan skandal kewangan dibicarakan di sana. (rujukan)

5. Skandal perdagangan matawang Bank Negara Malaysia

skandal forex bank negara

Dengan anggaran kerugian RM30 billion, siasatan ke atas skandal Bank Negara Malaysia (BNM) atas percubaan meniagakan matawang masih lagi sedang berjalan sehingga kini selepas dibuka semula. Berlaku dalam tempoh 1987 sehingga tahun 1992, mana-mana individu yang terlibat menyalahkan situasi tidak terkawal sehingga menyebabkan kerugian besar perlu ditanggung negara kita.

Dilakukan bagi menjana keuntungan lebih besar dan menstabilkan ringgit, Bank Negara yang bertindak sebagai sebuah bank pusat kebiasaannya tidak melibatkan diri dengan aktiviti perdagangan wang. Kaedah yang digunakan BNM adalah amat mudah, kerana mereka mempunyai modal pelaburan yang jauh lebih besar berbanding pelabur-pelabur matawang lain.

BNM akan membeli matawang negara lain melalui proksi-proksi yang dilantik, pada nilai yang amat besar beberapa kali dalam sehari. Ini akan mempengaruhi pelabur-pelabur lain supaya turut sama membeli matawang sama. Permintaan yang tinggi mendorong nilai matawang itu meningkat dan semasa harga sedang tinggi, BNM akan menjual semula matawang yang telah dibeli dengan pulangan keuntungan.

Walau bagaimanapun, seorang lagi pelabur yang mampu menyaingi BNM adalah George Soros. Dalam satu 'pertarungan', BNM menjangkakan nilai pound sterling akan meningkat sementara George Soros pula berpendapat sebaliknya. Tekaan George Soros benar dan BNM ketika itu telah membeli terlalu banyak matawang pound, mengalami kerugian serta merta RM23.63 billion.

Hasil 'perjudian' matawang oleh BNM dalam tempoh beberapa tahun menyebabkan negara mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM25-RM35 billion sehingga BNM diisytiharkan berstatus insolvensi. Kementerian Kewangan akhirnya menyuntik modal dari dana sedia ada bagi menyelamatkan BNM ketika itu, bagi menyelamatkan operasi Bank Negara Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)