Apabila melihat gambar seseorang model di majalah, laman sesawang ataupun sesuatu pertunjukan fesyen, kita pasti kagum dengan kecantikan yang diperagakan mereka. Kita pastinya menyangka model tersebut memiliki kebahagian dalam hidup kerana rupa paras dan kemewahan yang dikecapi.
Secara umumnya, dunia peragaan fesyen dilihat sebagai industri yang menjanjikan populariti, wang dan kemewahan hidup. Sesetengah wanita muda melihat dunia permodelan ini sebagai impian mereka sehingga mereka sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk sentiasa kelihatan cantik di hadapan lensa kamera.
BESARKAN TEKS A- A+
Realitinya, menjadi seorang model bukanlah satu pekerjaan yang senang. Setiap inci penampilan diri mereka akan diperhatikan. Malah, apa yang berlaku dalam industri ini juga tidak seindah yang disangka. Perkara ini didedahkan sendiri oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini.
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa sisi gelap industri permodelan ini yang mungkin tidak diketahui ramai. Artikel ini sekadar bertujuan berkongsi realiti sebenar industri. Diharapkan apa yang didedahkan ini tidak berlaku di Malaysia.
1. Bayaran tidak sebanyak disangka
Ramai melihat bahawa seseorang model yang berjaya dapat mengecapi kemewahan hidup. Mereka seringkali dilihat melancong ke luar negara dan memiliki rumah yang besar. Perkara ini memang tidak dapat dinafikan. Namun, perlulah diketahui bahawa hanya segelintir kecil sahaja model yang mencapai taraf tersebut dan kebiasannya mereka ini sudah dianggap sebagai seorang supermodel.
Kehidupan sebahagian model terutamanya yang masih baru sebenarnya sangat sukar. Bayarannya tidaklah begitu lumayan dan mereka selalunya terpaksa mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk ke pelbagai lokasi dan set penggambaran. Ada juga agensi permodelan yang lebih kejam dimana mereka hanya membayar model setelah mereka menerima bayaran daripada klien.
2. Ramai Terlibat skandal seks
Dov Charney, pengasas jenama American Apparel
Dunia permodelan pernah gempar dengan pendedahan skandal seks dimana pengasas jenama American Apparel, Dov Charney telah ditudung melakukan gangguan seksual terhadap model dan pekerja wanitanya semasa sesi penggambaran di studionya. Beliau didakwa telah memaksa modelnya untuk mengambil gambar secara berbogel atau separa berbogel dan memujuk mereka melakukan seks sebagai tukaran pekerjaan yang ditawarkan.
Akibat skandal ini, beliau telah diarahkan untuk meletakkan jawatannya sebagai CEO daripada syarikat yang diasaskannya itu. Paling mengejutkan, beliau mengatakan perkara seperti itu sebenarnya merupakan kebiasaan dalam industri ini.
Model-model yang masih muda selalunya menjadi mangsa gangguan seksual memandangkan mereka masih lagi baru dalam industri dan sesetengahnya sangat terdesak untuk mendapatkan tawaran kerja sehingga menyebabkan terdapat segelintir orang atasan yang mengambil kesempatan.
3. Pembedahan plastik merupakan perkara normal
Di Korea Selatan, adalah menjadi kebiasaan para model akan melakukan pembedahan bahagian mata bagi memastikan mata mereka kelihatan seperti model dari barat. Malah, kaum wanita disana juga sudah didedahkan mengenai pembedahan plastik sejak daripada kecil lagi.
Dalam program televisyen Keeping Up With The Kardashians, dua model popular Kendal dan Kylie Jenner mendedahkan bahawa mereka berdua telah melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan lebih menawan. Antara pembedahan plastik yang biasa dilakukan adalah bahagian mata, hidung, punggung, dada dan perut.
4. Ketagihan dadah
Terdapat stereotaip bahawa seseorang model akan mengambil dadah kokain untuk membantu mereka sentiasa kurus. Realitinya, ia memang benar-benar dilakukan oleh sebahagian kecil model. Mengikut sumber Majalah Vague, pengedar dadah akan muncul lebih ramai ketika acara Fashion Week kerana mereka tahulah itulah waktu puncaknya seseorang model akan mencari bahan terlarang itu.
Salah seorang model bagi jenama Calvin Klein, Kayley Chabot memulakan kariernya sebagai model seawal usia 13 tahun. Agensi yang menguruskannya memaksanya membuang 2.5 inci daripada ukuran pinggangnya sehingga menyebabkannya takut untuk makan.
Beliau mendedahkan bahawa beliau akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti daripada industri ini pada usia hanya 17 tahun kerana cara hidupnya menyebabkan beliau menjadi seorang penagih dadah dan mengalami gangguan makan yang teruk.
5. Tempoh laku yang sekejap (Amat singkat)
Dunia permodelan sentiasa memerlukan model-model muda bagi memperagakan sesuatu fesyen. Kebiasaanya, model-model muda yang dibawa masuk ini mengambil keputusan drastik berhenti daripada persekolahan dan pengajian kerana gelap mata dengan tawaran wang ringgit yang diberikan oleh pihak agensi.
Malangnya, apabila sudah mencapai umur tertentu mereka dianggap sudah tua dan tidak lagi diperlukan sebagai model. Tanpa kelayakan akademik atau kemahiran lain, bekas-bekas model ini biasanya mengalami kesukaran untuk meneruskan hidup kerana tidak mampu mencari pekerjaan lain.
Dalam indsutri ini, ada kalanya model yang berumur 30 tahun pun sudah dianggap terlalu tua dan akibatnya mereka tidak lagi diberikan tawaran baru daripada pihak agensi.
Kredit: