Oleh pada 28 Feb 2023 kategori

Jika anda ada kenalan yang bertugas sebagai guru, cuba anda tanya pada mereka apa masalah yang sedang melanda ramai anak murid mereka sekarang.

Ramai guru akan menyebut anak murid zaman sekarang sukar untuk dididik kerana beberapa faktor utama; biasanya berkait tentang kurangnya imaginasi serta dah biasa hidup senang. 

Sukar kita membentuk sistem pendidikan mampan dalam persekitaran sekarang, disebabkan pengaruh luaran yang kuat serta kelihatan lebih penting pada hemat pelajar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima kekangan utama yang sedang merantai pelajar berdasarkan kepada pemerhatian kami. Anda setuju atau tak dengan perkongsian kami ini?

1. Mereka jarang guna imaginasi kerana fantasi dah jadi norma

kurang penggunaan imaginasi dikalangan kanak kanak

Teknologi memang memudahkan tetapi era sekarang menyaksikan kita sangat ada kebergantungan kepada teknologi.

Kesan ini dapat kita lihat daripada perkembangan mentaliti anak murid, kerana ramai di antara mereka sukar untuk berimaginasi. 

Sekiranya sebuah kelas diminta melukis gambar pemandangan, kami yakin ramai di antara mereka meminta rujukan gambar untuk ditiru.

Ramai pelajar zaman sekarang susah untuk berfantasi, kerana fantasi dalam media yang mereka tonton sudah realistik sehinggakan garis pemisah fantasi dan realiti sudah tidak ada lagi.

Pelajar jadi sukar untuk membayangkan sesuatu yang tidak ada - kerana bagi mereka semuanya 'ada.'

2. Mereka tak perlu belajar DIY

mainan moden siap sedia

Kita menghargai tawaran produk permainan yang dijual di kedai-kedai bajet, kerana membantu kita mampu memilikinya memenuhi permintaan anak masing-masing. 

Tetapi dengan adanya kemudahan permainan dijual pada harga berpatutan ini jugalah, anak-anak kita tidak lagi ada keperluan untuk membina sesuatu sendiri. Sebagai contoh - senapang getah mainan buatan kayu kanak-kanak dulu.

Buat apa nak bina sendiri kalau dengan RM2 dia boleh dapat senapang dengan bentuk realistik? Layang-layang atau wau? Ada dijual RM2. Tak perlu dibuat. Nak main masak-masak? Dengan RM2, dia dah boleh dapat set masak-masak lengkap dapur mainan, sayur dan pisau.

Tiada keperluan untuk pelajar jadi kreatif menggunakan apa saja yang ada di sekeliling untuk mereka mainkan.

3. Mereka tak faham nilai sesuatu

tidak tahu erti susah remaja

Bertitik tolak daripada mudahnya mendapatkan sesuatu, ramai kanak-kanak zaman sekarang alah dengan keperluan berusaha dan berpayah dalam mendapatkan sesuatu.

Perangai ini diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang berpandangan anak-anak patut disenangkan, bukan ditimpakan kepayahan. Apabila sesuatu benda dah jadi terlalu murah untuk diperolehi, benda itu juga akan jadi mudah untuk diabaikan.

Rasa sayang barang milik sendiri sukar dipupuk, kerana sejak awal kanak-kanak kita diajar bahawa apabila sesuatu itu hilang, seolah benda itu mudah diganti.

Tak ada masalah untuk ibu bapa belikan set mainan baru kerana kerugian yang dihadapi tak besar. Kita sendiripun yang dah dewasa ni, kalau bercakap pasal RM2...apa la sangat kan? 

Takkanlah pasal RM2 pun kita kedekut nak beli anak mainan! Sikap sebegitulah yang bahaya jika disemai kepada anak-anak kita.

Seolah-olah RM2 tu tak ada nilainya pula.

4. Mereka dilimpahi rezeki wang ringgit

mewah belanja duit mudah

Penulis lahir dalam generasi dapat duit raya RM20 atau RM30 pun, dah rasa happy gila.  Kanak-kanak zaman sekarang tidak melihat RM20 atau RM30 itu besar.

Masyarakat kita sendiri sudah ramai yang mampu bagi RM10, RM20 untuk seorang anak buah. Apa yang kanak-kanak zaman dulu kutip selama 2 minggu beraya, kanak-kanak kini kumpul amaun sama dengan sumbangan seorang dua sahaja.

Anda tak rasa itu adalah sesuatu yang menakutkan ke? 

Memang tak dinafikan dari aspek kemampuan kewangan,masyarakat kita memang sudah lebih mampu. Berbelanja besar untuk derma hari raya kepada kanak-kanak juga satu tindakan mulia tetapi kita juga mendidik anak generasi masa depan, bahawa duit mampu diperoleh dengan mudah.

Tak mengejutkan pun kalau kanak-kanak dah mampu beli telefon pintar sendiri hanya dengan kutipan duit raya. Smartphone makin murah, duit makin banyak mereka terima kan? 

Namun situasi itu menyebabkan kesukaran untuk ibu bapa atau guru membendung kemahuan nafsu kanak-kanak dan anak muda, untuk berbelanja.

Situasi ini diburukkan lagi dengan keselesaan kita menggunakan sistem bayaran nirtunai. Bayangkan lagi 5, 10 tahun - generasi akan datang adalah generasi yang mungkin tak pernah lihat duit kertas dan syiling.

Nak ajar mereka menyimpan sesuatu yang digital, memang adalah satu perkara yang cukup sukar. Mak ayah zaman sekarang dapat lihat tabung makin berat, masa mereka masih kecil. Anak-anak kita pula nak diajar menyimpan sesuatu yang mereka tak nampak apa yang mereka simpan.

5. Mereka dibesarkan tanpa tahu rasa bosan

remaja kanak kanak perlu rasa bosan

Dalam era dimana teknologi memudahkan komunikasi dan komunikasi memudahkan sebaran media, generasi muda zaman sekarang sudah tidak ada masa bosan kalau dibekalkan dengan internet. Masa mereka setiap detik diisi sesuatu; kalau tak menelaah media sosial atau internet mereka akan memenuhkan masa lapang dengan melayan berjuta-juta video yang 'ke udara' 24 jam. 

Mereka tidak jelas apa itu konsep masa lapang dan kurang mengalami rasa bosan; mengakibatkan generasi akan datang ini terlalu mudah bosan apabila tidak ada sesuatu untuk dilakukan. Kenapa situasi ini bahaya?

Ini kerana selama ini kita beranggapan kebosanan timbul apabila kita tidak ada benda untuk dilakukan. Pendapat ini salah.

Kebosanan sebenarnya timbul bila kita tidak ada aktiviti YANG KITA SUKA LAKUKAN. 

Generasi muda mempunyai terlalu banyak pilihan jenis aktiviti yang mereka suka lakukan dalam dunia maya, sehinggakan jarang dalam hidup mereka tiada benda yang mereka mahu lakukan.

Kajian penyelidiksejak tahun 2011 menunjukkan 'kebosanan' sebenarnya perlu dalam hidup kita; kerana apabila kita tidak ada sesuatu yang kita gemar lakukan, situasi itu merangsang kreativiti seseorang untuk mencari sesuatu yang berbeza.

Daripada rangsangan itu, seseorang akan mencuba perbuatan baru, termasuklah berimaginasi atau mencipta idea yang boleh difikirkan bagi mengisi masa yang ada. Imaginasi yang aktif dilihat sebagai orang tengah, menghubungkan rasa bosan dengan daya kreativiti seseorang individu. 

Sekiranya seseorang sudah biasa memenuhkan masa mereka dengan aktiviti yang mereka suka - kecenderungan sebegitu menghalang pembentukan kreativiti dalam minda. Fikiran mereka jarang mencapah keluar dari kebiasaan cuba mencari atau mengejar sesuatu yang berlainan daripada apa yang biasa mereka lakukan.

Masalahnya, isu ini bukan saja berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. Mak ayahnya pun sama, lebih gemar menatap skrin 6 inci depan mata.

Kerana internet dan media sosial sudah dianggap sebagai lokasi di mana idea, imaginasi dan kreativiti bergabung; sedangkan realitinya anda akan lebih kreatif bila anda tak ada langsung benda yang nak dibuat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)