(Central Park, New York City)

Pada 19 April 1989, sekitar 30 orang remaja melepak di Central Park (CP), New York di mana sebilangan daripada mereka mencetuskan masalah termasuklah memukul orang dan mengganggu gelandangan.

Pada malam yang sama, seorang wanita berkulit putih berusia 28 tahun, Trisha Meili, sedang berjoging di taman tersebut. 

Malang tidak berbau, Trisha diserang, dirogol dan dipukul dengan begitu teruk, lalu dibiarkan dalam keadaan berlumuran darah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Empat jam kemudian, dia ditemui di Central Park, yang membawa kepada pemburuan secara besar-besaran oleh pihak polis.

Akibat kecederaan serius termasuklah patah tulang tengkorak dan kehilangan darah yang banyak, Trish koma selama 12 hari.

lima suspek dalam kes central park five 2

(5 suspek Central Park Five, Antron McCray, Kevin Richardson, Korey Wise, Yusef Salaam dan Raymond Santana)

Siasatan yang dilakukan membawa kepada penahanan 4 remaja berkulit hitam dan seorang remaja Hispanik berusia di antara 14 dan 16 tahun.

Kelima-lima mereka dituduh melakukan jenayah tersebut dan didapati bersalah.

Namun, apa yang membingungkan adalah lima remaja berkenaan tidak bersalah dan langsung tiada kaitan dengan kejadian tersebut.

Dikenali sebagai "Central Park Five", mereka adalah Kevin Richardson, 14, Raymond Santana, 14, Antron McCray, 15, Yusef Salaam, 15 dan Korey Wise, 16.

Kevin dan Raymond adalah yang pertama ditangkap berdasarkan laporan tingkah laku menakutkan dan samun, manakala Antron, Yusef dan Korey ditahan sehari kemudian.

korey wise 263

(Korey Wise)

Lebih mengejutkan adalah tiga daripada mereka tidak langsung tidak kenal antara satu sama lain, kecuali Yusef dan Korey yang merupakan sahabat baik.

Korey tidak dianggap sebagai suspek dalam kes ini namun hadir ke balai polis hanya untuk memberikan sokongan kepada Yusef.

Namun, dia terjerat dalam perangkap polis apabila dituduh terlibat sama dalam insiden pada malam tersebut.

anton mccray 693

(Anton McCray)

Kelima-lima mereka disoal siasat selama sekurang-kurangnya tujuh jam tanpa kehadiran peguam atau ibu bapa mereka, sebelum empat orang daripadanya membuat pengakuan rakaman video kepada detektif.

Mereka kemudiannya menarik balik kenyataan awal yang diberikan dan mendakwa mereka telah dipaksa oleh pihak polis untuk memberikan pengakuan palsu.

Remaja-remaja ini mendakwa mereka telah digertak, dipukul dan dimanipulasikan untuk menceritakan apa yang mahu didengari oleh detektif.

Detektif yang terlibat menggunakan gertakan dengan mengatakan si A menuduh si B melakukan serangan seksual, lalu menuduh si B melakukan jenayah itu yang disaksikan oleh si C, dan seterusnya.

Akibatnya, kesemua mereka mengaku terlibat hanya kerana dijanjikan akan dibenarkan pulang selepas membuat pengakuan.

Disebabkan rasa takut dan letih, lima remaja naif yang hanya mahu pulang ke rumah ini menurut sahaja kata-kata pihak berkuasa.

Kesemua mereka mengaku menyentuh atau menahan Trisha, manakala seorang atau lebih mengaku melakukan serangan seksual terhadap wanita itu.

Perbicaraan dijalankan secara berasingan di mana Yusef, Antron dan Raymond dibicarakan bersama-sama manakala Korey dan Kevin dalam perbicaraan yang lain.

Disebabkan oleh bukti DNA dari air mani yang ditemui di tempat kejadian tidak sepadan dengan lima suspek berkenaan, pihak pendakwa hanya bergantung kepada soal siasat awal. 

Pihak pendakwa masih mahu mendakwa remaja-remaja ini walaupun tanpa bukti DNA dan fizikal, dengan berkata bahawa "walaupun tidak berjaya mendakwa semua yang terlibat tidak bermakna kita tidak boleh mendakwa sesetengah daripada mereka".

yusef salaam central park five 603

(Yusef Salaam)

Dalam satu temuramah pada tahun 2016, Yusef Salaam berkata, "Saya dengar mereka belasah Korey Wise di bilik sebelah. Mereka kemudian datang dan memandang saya sambil berkata bahawa "Lepas ini giliran kau".

Ketakutan itu membuatkan Yusef berasakan bahawa dia tidak akan selamat.

Berasakan bahawa mereka akan tewas, para peguam bela perbicaraan Yusef, Antron dan Raymond cuba untuk mendapatkan hukuman seringan yang mungkin dengan meminta anak guam mereka untuk mengaku bersalah.

Yusef Salaam dalam dokumentari The Central Park Five berkata dia masih ingat memberitahu peguam pada ketika itu: "Jika saya lakukan sesuatu saya akan mengaku dan bekerjasama serta mahukan hukuman seringan yang mungkin atas apa yang saya lakukan. Tetapi jika saya tidak lakukannya, anda boleh penjarakan saya sepanjang hayat,".

kevin richardson 564

(Kevin Richardson)

Walau bagaimanapun selepas dua perbicaraan, kelima-lima mereka yang juga disebut sebagai "Wolf Pack" didapati bersalah atas pelbagai kesalahan termasuk menyerang, merompak, merogol dan cubaan membunuh.

Oleh kerana Kevin, Raymond, Antron dan Yusef adalah bawah umur, mereka dijatuhkan hukuman tahanan juvana lima hingga 10 tahun iaitu hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh undang-undang AS.

Kevin menjalani hukuman selama 7 tahun dari tahun 1990 hingga 1997, Raymond dan Yusef selama 6 tahun dan 8 bulan dari 1990 hingga 1996, dan Antron selama 6 tahun dari 1990 hingga 1996.

Namun Korey yang berusia 16 tahun ketika kejadian berlaku dibicarakan sebagai dewasa yang membawa kepada hukuman penjara lima hingga 15 tahun. Dia menjalani hukuman tersebut selama 13 tahun dan 8 bulan di beberapa penjara berlainan sehingga tahun 2002.

Peranan Donald Trump

donald trump central park five

New York pada tahun 1980an dan 90an adalah jauh lebih berbahaya daripada hari ini di mana hubungan di antara kaum sangat tegang terutama ketika berhubungan dengan polis.

Dalam pada itu, Donald Trump yang merupakan mogul hartanah New York seolah-olah yakin bahawa lima remaja tersebut sememangnya bersalah.

Dia dilaporkan membelanjakan $85,000 (RM758,783 hari ini) ke atas empat halaman penuh iklan di akhbar New York bertajuk "Kembalikan Hukuman Bunuh, Kembalikan Polis Kita".

perbicaraan sedang dijalankan central park five 625

(Perbicaraan Central Park Five)

Trump juga menulis bahawa dia membenci pembunuh dan akan terus berperasaan sedemikian. "Saya bukan mahu psikoanalisis atau memahami mereka, saya mahu menghukum mereka,".

Dalam satu temubual dengan CNN pada ketika itu, Trump berkata "Mungkin kita perlukan kebencian jika mahu selesaikan sesuatu,".

Ini seolah-olah menambahkan lagi suasana kadar jenayah yang tinggi dan hubungan kaum yang buruk di New York ketika itu.

Penjenayah sebenar

matias reyes penjenayah rogol

(Matias Reyes)

Matias Reyes mendapat nama julukan "East Side Slasher" kerana jenayah rogol dan menyerang, sehinggalah dia ditangkap pada 5 Ogos 1989.

Pada petang berkenaan, Matias memecah masuk ke dalam apartment seorang wanita berusia 24 tahun sebelum merogol dan menggeledah rumahnya.

Namun, wanita berkenaan berjaya melarikan diri ke lobi apartment tersebut lalu menjelaskan tentang insiden yang berlaku kepada beberapa orang lelaki yang juga merupakan penyewa di situ.

Ketika Matias mengikuti wanita itu menuruni tangga, lelaki-lelaki tersebut menahannya dan menunggu sehingga polis tiba.

Setelah disiasat, pihak polis berjaya menghubungkan Matias dengan satu siri jenayah yang lain di kawasan tersebut. Matias kemudiannya mengaku melakukan satu pembunuhan, lima jenayah rogol dan dua cubaan merogol.

Selepas dibicarakan, Matias mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun hingga sepanjang hayat.

matias reyes jenayah rogol central park five 1989

(Matias Reyes mengaku merogol Trish Meili di Central Park pada tahun 1989)

Dalam semua soal siasat awal sebelum didapati bersalah, Matias tidak pernah menyebut kaitannya dengan kes di Central Park.

Ketika menjalani hukuman penjara, Matias pernah terserempak dengan salah seorang daripada Central Park Five iaitu Korey Wise. Malah, ia berlaku sebanyak dua kali.

Pada pertemuan kedua pada tahun 2002, setahun selepas pertemuan pertama, Matias memberitahu polis bahawa dia adalah individu yang menyerang dan melakukan jenayah seksual terhadap Trish di Central Park pada April 1989.

Matias yang berusia 17 tahun pada ketika itu mengaku bertindak bersendirian.

Malah, Matias memberitahu pihak polis butiran tentang serangan itu yang tidak diketahui umum dan DNA nya sepadan dengan yang ditemui di tempat kejadian.

yusef salaam central park five

(Yusef Salaam diiring polis ke mahkamah)

Matias kemudian memberitahu bahawa dia tahu amat sukar untuk orang memahami mengapa seseorang itu mahu mengaku bertanggungjawab melakukan jenayah selepas 12 tahun.

"Pada mulanya saya takut, namun akhirnya saya rasa ia sesuatu yang patut dilakukan," kata Matias Reyes.

Akhirnya, kelima-lima remaja malang itu dibebaskan dari semua pertuduhan setelah menjalani hukuman penuh.

Dan disebabkan oleh had undang-undang, Matias tidak pernah didakwa atas jenayah yang dituduh ke atas Central Park Five dan kekal di penjara bagi hukuman seumur hidup walaupun bakal dibicarakan untuk pembebasan bersyarat dijadualkan pada 2022.

Selepas dibebaskan, kelima-lima mangsa ketidakadilan undang-undang ini mengemukakan saman sivil terhadap New York City dan menerima pampasan $41 juta atau RM250 juta hari ini. 

central park five hari ini

(Central Park Five kini, dari kiri Kevin Richardson, Antron McCray, Raymond Santana, Korey Wise dan Yusef Salaam)

Ia merupakan pampasan tertinggi dalam sejarah Amerika Syarikat.

Korey menerima bahagian tertinggi iaitu $12 juta (RM73 juta hari ini) kerana hanya dia yang dijatuhkan hukuman sebagai pesalah dewasa dan menerima hukuman paling lama di penjara.

Bercakap dalam sebuah dokumentari pada tahun 2012 tentang kes ini, Korey berkata "Saya boleh memaafkan tetapi tidak untuk melupakan. Saya tak akan lupa apa yang saya hilang. Wang tidak boleh kembalikan masa, wang tidak boleh kembalikan hidup saya yang hilang,".

Kes ini di dokumentarikan pada tahun 2012 bertajuk The Central Park Five dan mini siri Netflix "When They See Us".

when they see us netflix central park five

Rujukan:

1. NY Times

2. GHK

3. Central Park Five

4. ABC




Hakcipta iluminasi.com (2017)