Pulau merupakan salah satu lokasi pelancongan yang menjadi pilihan kebanyakan orang atas beberapa sebab. Antaranya adalah pemandangan yang cantik dan boleh melakukan pelbagai aktiviti air.
Namun, terdapat beberapa pulau di atas muka bumi ini yang mempunyai misteri tersendiri dan masih kekal misteri sehingga kini. Misteri-misteri ini telah membuatkan pulau-pulau ini menjadi semakin menarik untuk dikunjungi.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com ingin berkongsi dengan pembaca antara 5 pulau yang mempunyai misteri paling pelik di dunia.
5. Pulau Gempa Bumi, Pakistan
Ramai masih ingat akan gempa bumi yang sangat dahsyat berlaku di Pakistan pada tahun 2013 yang telah mengorbankan 39 nyawa. Namun, apa yang tidak diketahui orang ramai adalah gempa bumi yang sama ini telah menghasilkan sebuah pulau secara tak sengaja.
Ia tidak berada dalam peta sebelum ini dan para saintis percaya bahawa ia terhasil akibat kuasa yang begitu kuat yang telah "mengumpulkan" tanah pulau ini dan memaksa ia untuk timbul.
Ia mempunyai ukuran 100 meter panjang dan 9 meter tinggi yang menjadi tanda tanya penduduk sekitar.
Namun pendapat itu masih belum dapat disahkan yang kekal menjadi misteri. Dan disebabkan pulau ini belum mempunyai nama, penduduk berdekatan menggelarkanya sebagai Pulau Gempa Bumi.
4. Pulau Socotra, Yaman
Terletak di pantai Yaman, ia kelihatan sangat aneh dan seperti bukan di bumi kerana terdapat banyak tumbuhan yang sangat jarang ditemui. Dikatakan satu pertiga daripada tumbuhan di Pulau Socotra tidak dapat ditemui di tempat-tempat lain di dunia.
Dan disebabkan ini, 70% daripada pulau ini dilindungi di bawah undang-undang untuk generasi akan datang. Punca kehidupan tumbuhan yang sangat aneh ini dianggap berlaku akibat keadaan yang gersang dan suhu yang sangat melampau di pulau ini.
Antara pohon-pohon yang sangat jarang ditemui termasuklah pokok Dragons Blood. Kayu pokok ini berwarna merah terang dan daunnya pula tubuh pada bahagian hujung cabangnya.
Orang yang datang ke pulau ini bukan sahaja kerana ingin melihat pohon-pohon pelik tetapi juga koloni kelawar dan gua-gua batu kapur yang sangat menarik untuk diterokai. Ia juga mendapat nama jolokan "Pulau Makhluk Asing".
3. Pulau Mata Terapung, Argentina
Pulau ini adalah yang paling menarik sekali dalam senarai ini yang terletak di Argentina. Dinamakan sebagai Pulau Mata Terapung, ia dijumpai oleh penerbit filem iaitu Sergio Neuspiller pada tahun 2016.
Apa yang menarik dan misteri mengenai pulau ini adalah bentuknya yang hampir betul-betul bulan dengan saliran air di satu bahagian.
Ia membuatkan pulau ini kelihatan seolah-olah seperti mata manusia, dan diberikan nama bersempena ini. Ia dikatakan berputar pada paksi sendiri yang mana sangat menakjubkan dan tidak pernah dijumpai di mana-mana tempat.
Sergio yang sangat gembira dengan penemuan ini membuat keputusan untuk menghasilkan filem berkenaan pulau ini bagi memberitahu dunia akan kewujudan pulau mata ini.
2. Pulau Partridge, Kanada
Pulau ini dijumpai berdekatan dengan Kanada iaitu di luar pantai Pelabuhan Saint John. Disebabkan pulau ini ditutup kepada orang sejak 1941, ia menimbulkan rasa misteri terhadap dunia yang tertanya-tanya apa kegunaan pulau ini.
Ketika ia masih dibuka kepada orang ramai, ia merupakan stesen kuarantin rasmi bagi pendatang asing yang ingin memasuki Kanada.
Bagi mengelakkan sebarang penyakit berjangkit, seperti cacar masuk ke negara ini, pihak berkuasa Kanada mengarahkan semua imigran untuk tunggal di pulau ini untuk tempoh tertentu sebelum dibenarkan memasuki Kanada.
Jika berlaku kematian di antara pendatang-pendatang asing ini, mayat mereka akan ditanam di pulau ini. Terdapat khabar angin mengatakan adanya kubur besar yang digunakan untuk tujuan penanaman mayat pada satu ketika.
1. Pulau Easter, Polynesia
Kebanyakan orang yang mengenali pulau ini adalah disebabkan patung-patung yang terdapat di pulau ini sendiri. Banyak misteri menyelubungi patung-patung ini dan juga apa yang dilakukan oleh orang asli pulau ini, iaitu Rapa Nui, ketika mereka wujud di pulau ini.
Rapa Nui dikatakan satu bangsa darigolongan petani yang mengukir, serta memindahkan patung-patung ini sendiri sekitar tahun 1770. Namun persoalan yang paling besar adalah, apa yang berlaku kepada Rapa Nui?
Penyelidik masa kini beranggapan bahawa mereka telah diculik oleh kumpulan yang menyerang pulau ini dan dijual sebagai hamba, manakala sebilangan yang tinggal mati disebabkan oleh usia tua atau penyakit.
Ia membuatkan pulau tidak berpenghuni dan menjadi misteri sehingga kini.
Rujukan:
1. The Planetd
3. Emost