Sebuah filem bertemakan adiwira biasanya membawakan mesej positif, di mana baik haruslah berusaha keras mengatasi lawan jahat dan keselamatan orang ramai harus dijadikan keutamaan berbanding kepentingan sendiri.

Bagaimanapun dalam banyak mesej positif yang cuba dipaparkan dalam filem adiwira, terselit juga beberapa pengajaran tersembunyi yang jarang kita bincangkan secara terbuka - kerana kebodohannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada beberapa watak adiwira dalam filem popular, mempunyai mesej berlainan rupa sekiranya kita hendak melihat mesejnya daripada perspektif luar dari biasa.

1. Robocop kena kerja walaupun dah mati

robocop kerja sampai mati

Anda tahu siri filem Robocop? Bagi yang belum tahu, Robocop adalah seorang/sebuah robot anggota polis yang dibangunkan dengan bantuan teknologi untuk menangani masalah jenayah di Detroit City yang meruncing.

Detektif Alex Murphy adalah seorang polis handalan yang kecundang dalam satu serbuan, tetapi dilahirkan semula dengan bantuan mesin yang mampu menghubungkan otaknya dengan rangka besi - mewujudkan sebuah robot dengan kepintaran manusia yang efisien, cekap dan handal menangani sebarang bentuk jenayah.

Atas kertas, filem ini menonjolkan bagaimana seseorang layak diberikan peluang kedua dalam hidup. Dalam persepsi berbeza, filem ini membuktikan sekiranya anda cekap dan mahir dalam pekerjaan anda - syarikat anda berkhidmat sanggup melakukan apa saja untuk memastikan anda hadir bertugas.

Biarpun dah mati sekalipun, Detektif Alex Murphy dihidupkan kembali menggunakan teknologi yang menelan belanja jutaan dollar kerana dia seorang pegawai polis yang baik.

Oleh kerana badan polis dah mengeluarkan belanja besar, Robocop seharusnya sedia berkhidmat 24 jam sehari 7 hari seminggu melawan jenayah - kerana rugilah pelaburan yang dah dikeluarkan untuk 'membangunkan' dia.

Dan Robocop tidak ada kuasa pun untuk menghalang dia dihidupkan semula, untuk kembali bekerja secara sepenuh masa.

2. Sekaya mana pun Batman, dia lagi suka bergelumang dengan penjahat

the dark knight joker batman

Perasan tak, individu sebenar di sebalik Batman iaitu hartawan Bruce Wayne nyata kurang selesa berada dalam kelompok masyarakat elit lain sepertinya. Dia tidak gemar menghadiri majlis-majlis melibatkan orang kenamaan dan tidak suka urusan pejabat...

Sebaliknya Bruce Wayne lebih selesa memakai topeng, ke sana ke mari membanteras jenayah dan membelasah mana-mana penjahat yang cuba melakukan onar di kawasannya. Dia juga suka menyorok di kawasan-kawasan gelap, mengawasi aktiviti jenayah yang terjadi, berbanding duduk bersantai dan berehat di rumah macam orang biasa.

Apa pengajarannya di sini? Pengajarannya di sini adalah untuk kita terima harta dan kekayaan bukanlah patut dijadikan matlamat utama. Sebagai seorang yang sudah kaya, Bruce Wayne memilih untuk memencilkan diri dari kehidupan elit dan lebih gemar bergelumang dengan dunia gelap kota Gotham.

Sekaya mana pun kita, apa yang kita miliki tak akan dapat memberikan kepuasan yang kita hajati dalam hati. Jadi cari hobi anda sendiri dan berhentilah menjadikan kekayaan sebagai sasaran utama hidup kita ini.

3. Makhluk asing kalau hensem dan kuat, akan diterima macam Superman

superman versi alien sebenar

Sebut tentang 'makhluk asing' dalam kisah fiksyen, kita automatik akan membayangkan rupa makhluk yang menakutkan serta aneh dengan mata bulat besar dan kulit kehijau-hijauan.

Kita juga automatik menganggap makhluk asing sedemikian rupa harus diperangi dan dilawan, kerana kehadiran mereka sudah tentulah untuk menggganggu gugat tamadun manusia di bumi. Tetapi seandainya makhluk asing itu wajahnya kacak seperti Superman...mudah untuk kita menerima kehadiran mereka.

Siap ada gadis di bumi akan jatuh cinta dengan Superman dan sanggup mengandungkan anak dengannya, melahirkan keturunan separa manusia separa makhluk asing.

Dalam erti kata lain, makhluk asing boleh datang ke planet Bumi ini asalkan mereka kacak dan cantik. Kalau rupa mereka hodoh dan menakutkan, secara automatik penduduk Bumi akan menganggap mereka ini jahat.

4. Tidak ada siapa peduli jarak umur Captain America dengan awek dia

kapten america kawan gadis jauh lebih muda

Kalau kita dengar ada lelaki berusia lanjut mengahwini gadis yang berusia puluhan tahun lebih muda, pasti ramai yang akan merasa 'geli' dengan berita itu.

Tidak dalam dunia adiwira, kerana watak Captain America sudah membuktikan cinta tak mengenal usia...berulang-ulang kali.

Captain America atau Steve Rogers dalam dunia sinematik filem Marvel adalah seorang lelaki kelahiran tahun 1918 yang terjaga pada tahun 2011 selepas insiden kemalangan melibatkan dirinya, yang berlaku dalam dekad 1940-an menyebabkan usianya 'pegun', mengekalkan tubuhnya dalam usia 30-an.

Ini bermakna pada ketika Captain America sedar semula, usianya sudah menjangkau 93 tahun! Sama usia dengan Tun Mahathir ketika berlaku peralihan kerajaan!

Bagaimanapun tidak ada sesiapa pun mempersoalkan kenapa Captain America menjalinkan hubungan dengan wanita yang jauh lebih muda berbanding usia sebenarnya!

Jika nak diambil kira sekali dunia komik Marvel, memang lagi meloyakanlah untuk membayangkan bagaimana seorang lelaki 90-an boleh menjalinkan hubungan intim dengan wanita-wanita yang berdekad-dekad lebih muda daripada beliau.

Namun semua itu ditutup sebelah mata oleh kita...kerana dia kacak dan ada karisma.

5. Geli jadi pegawai keselamatan di lokasi Spiderman bekerja

spiderman sarang labah labah

Kami tidak tahu apa penjelasan sahih bagaimana Spider-Man menghasilkan sarang labah-labahnya.

Ada yang kata dia mencipta sebatian kimia, disimpan dalam bekas yang diikat di tangannya. Ada juga yang mendakwa cecair yang menghasilkan sarang labah-labah itu adalah cecair semulajadi yang terhasil sendiri dari tindakbalas tubuhnya.

Tetapi menjadi pegawai polis di kawasan Spider-Man berkawal pasti sukar. Penjenayah selalunya akan diikat dan disalut dengan sarang labah-labahnya, bagi memastikan pergerakan penjenayah terbatas.

Siapa yang bertanggungjawab membebaskan penjenayah itu daripada ikatan mereka?Berapa lama masa yang perlu dihabiskan bagi membuka ikatan?

Yang aneh, tidak ada pula persatuan pegawai polis dalam filem-filem Spider-Man merungut tentang perkara ini, meminta kenaikan gaji atau elaun tambahan masa untuk membebaskan penjenayah dari belenggu. Mesti pegawai polis baru berpangkat rendah jadi mangsa.

Bukan saja renyah nak dibebaskan, kadang-kadang ada penjenayah yang digantung pada kedudukan tinggi. Silap langkah, dek kerana Spider-Man, ada penjenayah DAN pegawai polis cedera atau lebih teruk meninggal dunia - kerana terjatuh tangga semasa mahu membantu menurunkan penjenayah.

Pengajarannya? Kalau ada kelihatan Spider-Man di tempat anda tinggal, halau dia ke tempat lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)