Menjadi pemimpin atau pemerintah bagi sesebuah kerajaan negara mahupun negeri bukanlah sesuatu yang mudah dan bukan semua orang mampu melakukanya. Jawatan tertinggi sesebuah kerajaan itu memerlukan seseorang yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu untuk membolehkannya memimpin dengan baik.
Antaranya termasuklah kebijaksanaan, kepintaran, pengalaman, kejujuran dan banyak lagi. Di antara kesemua kriteria ini, pengalaman adalah sesuatu hanya boleh diperolehi dengan melalui liku-liku cabaran kepimpinan dan memerlukan masa yang agak lama.
BESARKAN TEKS A- A+
Tanpa pengalaman, agak sukar untuk seseorang pemimpin itu untuk membezakan sesuatu yang baik atau buruk bagi kepimpinannya yang boleh memberikan kesan yang tidak baik.
Dengan itu iluminasi.com ingin kongsikan antara pemimpin-pemimpin yang paling berpengalaman di dunia, yang juga merupakan 5 pemimpin paling tua di dunia yang masih memegang jawatan.
5. Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah - Kuwait
Sheikh Sabah IV Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dilahirkan pada 16 Jun 1929, merupakan pemimpin ke-5 paling tua di dunia yang masih berkuasa iaitu berusia 89 tahun. Beliau adalah pemerintah ke-15 dan juga Emir Kuwait yang ke-5, serta Panglima Angkatan Tentera Kuwait.
Sheikh Sabah dilantik memegang jawatan ini pada 29 Januari 2006 selepas mendapat pengesahan oleh Dewan Negara. Sebelum dilantik menjadi Emir Kuwait, beliau merupakan Menteri Luar Negeri Kuwait selamat 40 tahun dari tahun 1963 hingga 2003.
Semasa menjadi Menteri Luar Negeri, Sheikh Sabah telah memulihkan hubungan antarabangsa Kuwait selepas Perang Teluk. Beliau juga merupakan tunggak dalam memulihkan negara selepas Pencerobohan Iraq.
Beliau juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Pertama semasa berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri.
4. Kim Yong-nam - Korea Utara
Lahir pada 4 Februari 1928 dan kini berusia 90 tahun, Kim Yong-nam adalah pemimpin ke-4 tertua di dunia. Beliau memegang jawatan Presiden Presidium Majlis Tinggi Korea Utara sejak tahun 1998.
Presidium adalah jawatankuasa eksekutif di negara komunis. Sebelum itu, Kim berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri Korea Utara dari tahun 1983 hingga 1998. Beliau dipilih sebagai anggota Presidium Parti Pekerja Korea (WPK) pada tahun 2010.
3. Beji Caid Essebsi - Tunisia
Pemimpin ke-3 paling tua di dunia adalah Presiden Tunisia, Mohamed Beji Caid Essebsi, yang berusia berusia 91 tahun (lahir 29 November 1928). Sebelum dilantik sebagai Presiden Tunisia ke-5 pada Disember 2014, beliau telah berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri dari tahun 1981 hingga 1986.
Selain itu, Beji Caid juga merupakan Perdana Menteri Tunisia yang ke-18 dari Februari 2011 hingga Disember 2011. Beliau adalah pengasas parti politik Nidaa Tounes yang telah memenangi majoriti dalam pilihanraya parlimen 2014.
Pada Disember 2014, beliau telah memenangi pemilihan presiden yang biasa selepas Revolusi Tunisia, menjadikannya sebagai Presiden pertama yang dipilih secara bebas dan langsung dalam sejarah Tunisia.
2. Ratu Elizabeth II - England
Ratu England, Ratu Elizabeth II yang dilahirkan pada 21 April 1926 merupakan pemimpin kedua tertua di dunia ketika ini, dengan usia 92 tahun. Ratu Elizabeth II yang lahir di London, England merupakan anak pertama dari Raja George VI dan Ratu Elizabeth.
Raja George VI menaiki takhta selepas abangnya, Raja Edward VIII mencetuskan krisis perlembagaan pada Disember 1936, yang menjadikan Ratu Elizabeth II sebagai pewaris takhta.
Pada tahun 1947, Ratu Elizabeth II mengahwin Putera Phillip (Duke of Edinburgh), yang juga merupakan bekas putera Greece dan Denmark. Pasangan ini dikurniakan 4 orang anak iaitu Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.
Apabila bapanya meninggal dunia pada Februari 1952, Ratu Elizabeth II telah diangkat sebagai Ketua Komanwel dan ratu bagi 7 negara Komanwel bebas iaitu United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Pakistan dan Ceylon.
1. Mahathir Mohamad - Malaysia
Dan pemimpin tertua di dunia ketika ini, dan juga yang yang tertua ketika dilantik adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. Tun Dr Mahathir lahir di Alor Setar, Kedah.
Ketika dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei 2018, Tun Mahathir berusia 92 tahun dan 305 hari, menjadikan beliau berada di tangga pertama senarai ini.
Sebelum menjadi perdana menteri ke-7, Tun Mahathir telah memberikan perkhidmatan dalam jawatan yang sama bermula pada 16 Julai 1981 sehingga perletakkan jawatannya pada 31 Oktober 2003.
Beliau yang memimpin Pakatan Harapan telah memenangi majoriti kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 menewaskan parti pemerintah Barisan Nasional yang memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara sejak merdeka daripada pihak British pada tahun 1957.