Oleh pada 04 Dec 2022 kategori

Kita di Malaysia semakin kerap menyaksikan pemain-pemain naturalisasi terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan bola sepak negara. 

Walaupun secara peribadi penulis masih merasa aneh melihat pemain seperti Mamadou Sumareh dan Guilherme de Paula menyarung jersi Malaysia, konsep ini semakin meluas diamalkan.

Dalam satu kategori berbeza, pemain bukan naturalisasi seperti La'Vere Corbin-Ong dan Matthew Davies yang terpilih kerana memang mempunyai susur galur keturunan di sini juga telah dikenali ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di kalangan skuad Piala Dunia 2022 pun, ada pemain yang mempunyai identiti yang tampak jauh berbeza identiti peribadi berbanding identiti negara yang diwakilinya disebabkan sukan sudah semakin majmuk, dibantu pergerakan manusia mudah merentas negara dan benua.

Walau bagaimanapun masih tetap seronok untuk kita bincangkan, pemain mana yang menonjol namanya kerana kelainannya berbanding rakan sepasukan senegaranya.

1. Sergino Dest (Amerika Syarikat) 

sergino dest usmnt piala dunia 2022

Mempunyai nama yang unik, Sergino Gianni Dest ketika ini mewakili kelab AC Milan sebagai pemain pinjaman daripada kelab asalnya Barcelona. 

Anak kepada pasangan berketurunan Surinam yang berbeza warganegara, Dest mewarisi 'kerojakan' identiti kedua ibu bapanya. Ayahnya mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat dan ibunya pula wanita Belanda. Dest lahir di tanahair ibunya.

Dia pernah dipanggil mewakili Belanda dalam peringkat bawah 17 dan 20 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pemain senior bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat.

Keputusan itu dibuat berikutan saranan ayahnya dan juga kepercayaan yang ditunjukkan jurulatih skuad USA, yang berusaha keras mahu memastikan Dest bersama mereka.

2. Haji Wright (Amerika Syarikat)

haji amir wright piala dunia 2022

Orang kita gemar menggelarkan seseorang Muslim sebagai 'Haji' selepas individu itu pulang dari menunaikan ibadah haji di Mekah.

Jarang penulis temui ada warga Malaysia nama rasminya memang Haji.

Haji Amir Wright adalah penyerang pasukan kebangsaan Amerika Syarikat yang bermain di Turkiye. Lahir di Los Angeles pada tahun 1998, Haji turut mempunyai seorang adik bernama Hanif dalam keluarga yang berakar umbi dari Liberia dan Ghana.

Dia memulakan karier dalam sukan bola sepak bersama kelab LA Galaxy, sebelum berpindah ke Jerman. Wright sejak usia muda telahpun mewakili Amerika Syarikat dalam peringkat usia bawah 15 sehinggalah mula bergelar pemain senior bermula tahun 2022.

3. Christian Pulisic (Amerika Syarikat)

christian pulisic captain america

Ramai pula pemain Amerika Syarikat dalam senarai ni? Mungkin itulah bukti kejayaan kemajmukan masyarakat yang berjaya diterap di sana.

Salah satu pemain yang menjadi simbol kepada kemajmukan ini, adalah Christian Pulisic; yang turut memegang gelaran 'Captain America' oleh peminat bola sepak negara itu.

Kini bermain dengan kelab Chelsea, Pulisic mempunyai nama keluarga yang nyata berbeza berbanding nama biasa orang Amerika Syarikat kan?

Lahir di Pennsylvania dalam sebuah pekan kecil , Pulisic dianggap pemain terbaik generasi beliau; menerima anugerah pemain muda terbaik dan pemain terbaik Amerika Syarikat bagi tahun 2016 dan 2017. Kedua-dua ibu bapanya Mark dan Kelley Pulisic adalah pemain bola pada peringkat kolej.

Menjadi cucu kepada seorang migran dari Croatia bernama Mate Pulisic, membolehkan Pulisic turut layak memegang dua kewarganegaraan sebagai orang Croatia.

Pernah ditawarkan untuk menganggotai skuad kebangsaan Croatia, Pulisic memilih untuk berbakti bersama skuad Amerika Syarikat dan terpaksa menyaksikan dari kaca televisyen bagaimana Croatia muncul naib johan Piala Dunia 2018. 

4. Nico Williams (Sepanyol)

nico williams sepanyol piala dunia

Satu ke dua dekad sebelum ini, penampilan pemain kulit hitam dengan pasukan kebangsaan negara seperti Sepanyol kurang dapat dilihat.

Lama kelamaan kemajmukan warna kulit mula memecah stigma masyarakat mereka, membolehkan lebih ramai pemain bukan kulit putih dipanggil bermain untuk negara.

Salah seorang pemain yang bernasib baik adalah Nico Williams, pemain kelab Athletic Bilbao dan kini antara tonggak pasukan kebangsaan Sepanyol.

Anak kepada pasangan pelarian perang dari Ghana, kedua ibu-bapanya nekad melarikan diri ke bandar Melila, Sepanyol dengan berjalan kaki semasa mengandungkan abangnya, Inaki.

Pasangan itu diberikan kebenaran untuk membina kehidupan baru di Bilbao, membesarkan dua orang anak yang memilih karier bola sepak tetapi mempunyai hala tuju berbeza.

Inaki Williams, si abang memilih untuk bermain dengan negara asal ibu bapanya Ghana, sementara adiknya Nico memilih Sepanyol - walaupun kedua-duanya memegang kerakyatan Sepanyol yang serupa.

5. Daniel Schmidt (Jepun)

daniel schmidt japon seleccion  1029256313

Nama orang Jepun memang unik dan mudah dikenali.

Kita juga rasanya dah tahu di kalangan masyarakat Jepun, wujud komuniti Brazil yang besar jadi orang Jepun dengan nama Brazil tak menghairankan.

Misterinya, kenapa ada seorang pemain kebangsaan Jepun bernama Daniel Schmidt?

Dengan nama penuh Daniel Yuji Yabuki Schmidt, penjaga gawang Jepun ini sebenarnya lahir di Amerika Syarikat, anak kepada pasangan lelaki Jerman dan seorang wanita Jepun. Oleh sebab itu, Schmidt memegang dua kerakyatan berbeza. 

Bagaimanapun Schmidt lebih banyak membesar di Jepun, menamatkan pengajian tinggi di sana serta membina karier sebagai pemain bola sepak bersama kelab-kelab di Jepun.

Dia melakukan penampilan pertama bersama Jepun dalam tahun 2018 dan menjadi satu-satunya pemegang nama yang nyata unik dan terlalu berbeza, dalam skuad Piala Dunia 2022 negara matahari terbit itu. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)