Negara-negara dunia yang berjaya menyertai kejohanan Piala Dunia adalah pasukan-pasukan yang telah terbukti berkelayakan, berikutan kejayaan mereka mengharungi pusingan kelayakan setiap benua.
Menubuhkan sebuah pasukan kebangsaan yang mantap menjadi matlamat kesemua negara dengan kejayaan dapat bertanding di Piala Dunia, sudah dianggap sebagai satu kejayaan yang besar apatah lagi apabila melibatkan negara-negara yang kecil penduduknya.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda negara manakah yang sedang bertanding Piala Dunia mempunyai jumlah penduduk paling rendah? Berikut adalah lima negara yang mempunyai jumlah populasi paling sedikit, tetapi tidak menjadi penghalang untuk negara tersebut melayakkan diri bertanding dalam kejohanan berprestij ini.
5. Denmark
Denmark bukanlah nama asing dalam sejarah sukan bola sepak dunia. Pernah memenangi kejohanan Piala Eropah 1992, kejayaan pasukan Denmark sebelum ini agak terbatas kerana satu syarat yang pelik. Hanya pemain bertaraf amatur dibenarkan menyertai pasukan kebangsaan mereka. Pada tahun 1971, syarat tersebut dihapuskan dan pemain-pemain professional Denmark mula mewakili pasukan kebangsaan mereka.
Dengan hanya jumlah penduduk seramai 5.7 juta orang, pasukan Denmark mungkin bukan setanding dengan Brazil, Perancis, Argentina dan pasukan-pasukan elit lain. Namun setiap kali kejohanan, pasukan Denmark berjaya mencipta kejutan sendiri dan bukanlah sekadar menjadi pelengkap kumpulan semata-mata kerana ramai pemain mereka, sebenarnya bermain dalam banyak liga professional Eropah.
4. Costa Rica
Costa Rica adalah pasukan kebangsaan paling berjaya di benua Amerika Tengah dengan kejayaan memenangi kejohanan Piala Emas CONCACAF sebanyak 3 kali dan 8 kali kejuaraan Copa Centro Americana. Menjadi negara yang terkenal sebagai pengeksport pemain dengan ramai pemain mereka bermain dalam liga-liga di Mexico dan liga serata Eropah.
Jumlah penduduk Costa Rica pula hanyalah seramai 4.8 juta orang namun tidak menghalang Costa Rica menyertai Piala Dunia untuk kali keempat, selepas kemunculan pertama pada tahun 1990, disusuli kemunculan pada tahun 2002 dan 2005 sebelum kembali bersaing pada tahun 2014 yang menjadi kejayaan pertama mereka layak ke peringkat suku akhir.
3. Panama
Membuat kemunculan sulung dalam kejohanan Piala Dunia 2018, kejayaan besar negara Panama ini disokong oleh sorakan 4 juta warga mereka yang sudah tentu bangga melihat kejayaan pasukan kebangsaan mereka. Panama berjaya memintas pasukan yang lebih ternama iaitu Amerika Syarikat, dalam perebutan tempat kelayakan selepas menang ke atas Costa Rica dengan keputusan 2-1 yang memastikan tempat Panama di Russia.
Berdepan laluan sukar selepas diletakkan bersama Belgium, England dan Tunisia, nasib Panama dalam penyertaan pertama Piala Dunia mereka belum lagi diketahui namun untuk negara kecil ini yang terletak dalam dua benua berbeza, berjaya layak saja sudah semestinya layak untuk dianggap sebagai satu kejayaan negara mereka.
2. Uruguay
Gergasi bola sepak Amerika Selatan ini sebenarnya sangat kecil jumlah populasinya. Dengan hanya 3.44 juta orang penduduk, kejayaan Uruguay melahirkan pemain-pemian bertaraf dunia seperti Luis Suarez dan Edinson Cavani perlu diberikan perhatian lebih lanjut. Pemain-pemain Uruguay bukan sekadar berjaya menjadi pasukan yang kuat diperingkat kebangsaan malahan pemain-pemain mereka juga menjadi watak penting di kelab-kelab sekitar Eropah.
Pernah memenangi Piala Dunia sebanyak dua kali selepas menewaskan Brazil dan Argentina, setakat ini Uruguay adalah negara paling kecil populasinya yang pernah memenangi Piala Dunia; dengan kejayaan itu dilakar pada tahun 1930 semasa populasi mereka hanya berjumlah 1.75 juta orang. Selain Piala Dunia, Uruguay juga sudah memenangi Copa America sebanyak 15 kali. Antara semua negara dalam senarai ini, Uruguay adalah negara paling berjaya - kecil dalam populasi, gergasi dalam bola sepak.
1. Iceland
Diisytiharkan sebagai negara paling kecil populasi melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, Iceland bukan sekadar datang hanya untuk bersaing. Rekod mereka 10 tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan. Tewas dalam pusingan kalah mati pada Croatia semasa pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 tidak menghalang Iceland untuk bangkit.
Mereka berjaya layak ke Piala Eropah 2016 dan menjadi negara terkecil layak dalam kejohanan tersebut. Layak ke pusingan kalah mati, Iceland menewaskan England sebelum dikecewakan Perancis pada peringkat suku akhir. Ketika ini, Iceland menduduki kedudukan ke 22 dunia dan yang manisnya, semua kejayaan ini dapat dicapai dengan sokongan 334,252 orang penduduk sahaja.
Sekiranya stadium paling di dunia mampu memuatkan 110 ribu orang, ini bermakna 1/3 penduduk Iceland mampu ditempatkan di stadium tersebut dalam satu-satu masa.