Kita hari ini amat beruntung dapat membaca al-Quran yang siap dikompilasikan dalam bentuk yang amat mudah dibaca.

Penerbit-penerbit zaman sekarang turut sama menyisipkan terjemahan serta kisah sejarah di sebalik penurunan ayat tersebut, dalam setiap helaian al-Quran yang ada.

Al-Quran telah mengalami pelbagai penambahbaikan daripada segi sistem penulisannya serta diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Uniknya, kandungannya tetap terpelihara walaupun hampir 1500 tahun lamanya. Dalam tempoh panjang itu, telah wujud beberapa versi format Quran awal yang berbeza dengan al-Quran yang kita kenali sekarang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda tahu tentang 5 versi awal al-Quran yang dipercayai tertua di dunia setakat ini?

5. Manuskrip Topkapi

al quran manuskrip lama

Manuskrip dikenali sebagai Manuskrip Topkapi ini di simpan di Istana Topkapi, Istanbul, Turki.

Dipercayai ditulis sekitar seratus ke dua ratus tahun selepas permulaan kalendar Hijrah, kandungan manuskrip ini ditulis atas lembaran bersaiz 41 cm x 46 cm - mengandungi hampir keseluruhan kandungan al-Quran kecuali keciciran dua muka surat.

Tidak diketahui siapakan penulis asal manuskrip Quran ini. Namun kajian menunjukkan manuskrip ini dipercayai ditulis semasa zaman Khalifah Umayyah.

Versi Topkapi yang dijaga rapi sekarang merupakan hadiah daripada Muhammad Ali Pasha al-Mas'ud ibn Agha - ketika itu memegang jawatan Gabenor Mesir yang juga dianggap salah seorang pengasas kerajaan Mesir moden bersama Sultan Mahmud II, seorang Sultan semasa zaman Empayar Uthmaniyah sekitar tahun 1811.

4. Codex Parisino-Petropolitanus

al quran yang bukan resam uthmani

Manuskrip ini ditemui secara tidak sengaja dalam longgokan helaian laman al-Quran dalam Masjid Amr ibn al-As atau lebih dikenali dengan nama Masjid Amir di Fustat, Mesir, terus disimpan di situ sehingga penghujung abad ke 19.

Dua orang pengkaji Perancis bernama Jean Marcelo dan Louis Cherville yang bertugas di Mesir ketika itu membeli lembaran tersebut untuk kajian, berjaya mengenalpasti bukti yang mendakwa lembaran itu ditulis sekitar penghujung abad pertama kalendar Hijrah.

Banyak pandangan berasaskan kajian seterusnya mengatakan tempoh manuskrip itu ditulis adalah awal abad ke 8, sedikit sebanyak menyokong pandangan awal.

Mempunyai lembaran dengan ukuran 33 cm x 24 cm, 98 lembaran lengkap dianggarkan menyimpan lebih 45% keseluruhan isi kandungan al-Quran, ditulis oleh 5 orang penulis berbeza.

Ketika ini, kesemua helaian kandungan manuskrip ini sudah dipisahkan dan disimpan di lokasi yang terletak di Perancis, Russia, London serta perpustakan rasmi Bandar Vatican.

3. Manuskrip Sana'a

al quran kuno zaman purba

Pernah memegang jolokan sebagai al-Quran tertua dunia satu masa dulu, manuskrip Sana'a baru saja ditemui sekitar tahun 1972 semasa proses membaik pulih Masjid Besar Sana'a di negara Yaman.

Proses ukuran radiokarbon berjaya mengenalpasti usia sebenar manuskrip ini; ditulis pada tahun 671, 50 tahun selepas peristiwa Hijrah yang berlaku pada tahun 622 dan 40 tahun selepas kewafatan baginda Rasulullah saw.

Ada kisah menarik bagaimana manuskrip ini ditemui.

Berikutan kerja membaik pulih yang dilakukan terhadap struktur masjid, pekerja binaan menemui longgokan manuskrip lama dalam keadaan lusuh.

Tidak nampak kegunaannya, semua manuskrip ini  dikumpulkan dalam beberapa guni lalu ditinggalkan saja untuk pihak pengurusan masjid menguruskannya.

Nasib baiklah ada di kalangan pengurusan masjid tersebut memeriksa kembali apa yang telah ditinggalkan; menemui manuskrip ini yang sebenarnya sangat berharga dalam sejarah umat Islam.

2. Lembaran Tubingen

al quran paling lama di dunia

Pandangan majoriti berpendapat lembaran ini ditulis 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw, dianggarkan ditulis di antara tahun 649 hingga 675.

Walaupun begitu malangnya lembaran ini tidak lengkap. Lembaran ini hanya bermula dengan ayat ke 37 surah al-Israa sebelum diakhiri dengan ayat ke 57 surah Yasin, mengandungi hanya 77 muka surat kesemuanya dengan anggaran 26.2% isi kandungan keseluruhan al-Quran di dalamnya.

Lembaran ini kini disimpan di Universiti Tubingen, Jerman selepas dibeli oleh seorang pengumpul bernama Johann Gottfried Wetzstein yang dikenali cukup meminati sebarang jenis artifak atau manuskrip lama yang berkait dengan al-Quran.

1. Manuskrip Birmingham

al quran tertua di dunia

Pada awalnya, dua lembaran ini disertakan sekali bersama dengan beberapa manuskrip berbeza, bagi membolehkan seorang penyelidik bernama Alba Fedeli dari Universiti Birmingham melakukan kajian ke atas kumpulan manuskrip tersebut.

Fedeli mendapati wujud beberapa perbezaan ketara pada dua helai lembaran manuskrip itu berbanding lembaran yang lain.

Pihak Universiti Birmingham mengambil langkah menghantar manuskrip itu kepada penyelidik lain bagi mengesahkan usianya.

Sejarahnya, koleksi manuskrip itu asalnya milik seorang pengumpul dari Iraq bernama Alphonse Mingana, terkenal sebagai seorang pengumpul bahan-bahan manuskrip dan artifak dari kawasan Asia Barat. Manuskrip itu sering bertukar tangan sebelum pemiliknya yang tidak dinyatakan menyerahkannya ke Universiti Birmingham, untuk diarkibkan.

Keputusan ujian radiokarbon ke atas dua helaian yang berbeza itu yang dikenalpasti ditulis di atas kulit kambing, menunjukkan helaian itu berkemungkinan besar ditulis semasa Rasulullah saw. masih lagi hidup.

Walau bagaimanapun, pendapat ini disangkal penyelidik Pusat Kajian Raja Faisal yang berpusat di Riyadh, Arab Saudi.

Ini disebabkan cara tulisannya yang mempunyai kaedah berbeza dengan tulisan awal berbentuk Hijazi yang digunakan, selain daripada proses radiokarbon yang dijalankan ke atas kulit kambing itu sendiri tidak berjaya membuktikan dengan jelas usia tulisan yang digunakan.

Hujah kumpulan penyelidik dari Arab Saudi ini, adalah menjadi satu amalan biasa masyarakat Arab membasuh kembali kulit yang sudah digunakan sebagai untuk tulisan, digunakan kembali untuk tujuan serupa.

Hujah lebih kukuh, penemuan ini sedikit sebanyak bercanggah dengan sejarah pembentukan sistem tulisan dan tanda baca yang digunakan dalam al-Quran format sekarang.

Tulisan dalam lembaran ini mempunyai titik dan tanda yang diketahui hanya diperkenalkan kemudian - bukan sewaktu Rasulullah saw. masih ada. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)