Baru-baru ini laman The Star melaporkan berita seorang gadis bernama Nur Syaronaraudhah yang diejek di sekolah kerana nama yang pelik dan pernah mendesak agar ibu bapanya menukar namanya kepada nama baru.
Kami berharap agar cik Nur Syaronaraudhah tidak akan menyaman ibu bapanya kerana memberikan nama tersebut. Secara peribadi, penulis rasa namanya biasa sahaja. Tidaklah tergeliat lidah untuk disebut ataupun mempunyai makna yang tidak baik.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa-apa pun, syukurlah ibu bapa Nur Syaronaraudhah tidak menggunakan nama seperti dalam kes #2 di bawah. Kami kongsikan 5 kes di mana anak kandung bertindak menyaman ibu bapa sendiri di mahkamah sebagai perkongsian dan pengajaran bersama:
#1 Muat naik gambar di Facebook
Ibu bapa kepada seorang gadis berusia 18 tahun dari Austria telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan memuat naik 500 gambar ke dalam laman Facebook sejak tahun 2009 tanpa kebenaran anak mereka itu. Remaja bernama Anna itu menjadi berang selepas ibu bapanya enggan membuang gambar-gambarnya yang memalukan sejak dia masih kecil.
Menurut Anna, walaupun segalanya bermula semasa dia berusia 11 tahun, namun kedua-dua ibu bapa Anna terus-menerus memuat naik gambarnya sejak dari kecil tanpa bertanya terlebih dahulu. Mereka tidak mempunyai rasa malu dan tiada batasan kerana berkongsi gambar Anna bertelanjang bulat di atas katil bayi atau berlatih membuang air besar di tandas. Setiap peringkat tumbesaran Anna dikongsikan dan dibiarkan untuk tontonan umum.
Anna mendapat tahu tentang perbuatan ibu bapanya apabila berusia 14 tahun di mana dia membuka sendiri sebuah akaun Facebook. Dia kemudian meminta mereka memadam atau menyembunyikan gambar-gambar tersebut namun mereka enggan. Setelah cubaan memujuk Anna gagal berterusan, dia tidak menemui jalan lain selain membawa kes itu ke mahkamah. (DailyMail UK)
#2 Salah pilih nama
Seorang wanita muda membawa kedua-dua ibu bapanya ke muka pengadilan kerana dikatakan telah menghancurkan hidupnya. Wanita yang mengalami masalah psikologi, masalah berat badan dan telah membuat cubaan membunuh diri sebanyak 12 kali dalam tempoh 5 tahun itu menyaman ibu bapanya yang menjadi punca trauma.
Ini semua gara-gara dia dinamakan Clamidya sejak lahir. Nama itu seakan-akan penyakit kelamin Chlamydia trachomatis yang lebih dikenali sebagai Chlamydia hingga menyebabkan dia menjadi sasaran kaki buli mudah sepanjang zaman persekolahan. (MagmaNews)
#3 Berhenti beri elaun
Sepasang suami isteri dari Sepanyol memberi pilihan kepada anak lelaki mereka yang berusia 25 tahun agar mula mencari kerja atau mereka akan berhenti memberikan elaun bulanan yang bernilai 400 euro. Setelah ibu bapa itu mengotakan kata-kata dan tidak lagi memberi elaun, si anak bertindak menyaman ibu bapanya.
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi anak kerana hakim telah menolak aduannya dan memberi perintah supaya dia berpindah dari rumah orang tuanya dan mula mencari kerja. (Telegraph UK)
#4 Tuntut hadiah wang tunai
Seorang lelaki berusia 20 tahun telah berjaya menang kes saman ke atas ibunya selepas menuntut hadiah yang dijanjikan oleh neneknya semasa majlis Bar Mitzvah ketika dia masih berusia 13 tahun.
Majlis Bar Mitzvah yang diadakan oleh kaum Yahudi menandakan kematangan anak lelaki dan boleh mula mengamalkan agama. Semasa mengadakan upacara itu, nenek Jordan Zeidman telah menyampaikan kepada ibu Jordan hadiah berupa wang tunai $5,000.
Sebenarnya kedua-dua ibu dan neneknya datang ke majlis tersebut tanpa diundang. Ini disebabkan ibu bapa Jordan telah berpisah pada tahun 1998 lagi dan mereka tidak pernah berhubung selepas itu.
Ibunya telah 'menyimpan' wang hadiah itu untuk dana kolej Jordan namun Jordan masih tidak memiliki wang tersebut sehinggalah dia mula memfailkan saman ke atas ibunya.
Menurut peguam Jordan, jika dikira faedah dan kos guaman, ibu Jordan perlu membayar hampir $10,000. (New York Post)
#5 Tak suka teman lelaki
Seorang pelajar dari New Jersey, Amerika Syarikat menyaman ibu bapanya kerana mengusirnya keluar dari rumah dan enggan menanggung yuran pengajian sekolah dan kolejnya. Dia juga menuduh mereka suka mendera, membenci teman lelakinya dan menyalahkan mereka atas masalah gangguan makan yang dialami.
Walau bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa Rachel Canning membela diri dengan menyatakan Rachel meninggalkan rumah dengan rela hati selepas enggan memutuskan hubungan dengan teman lelaki yang dilihat memberi pengaruh buruk kepadanya. Selain itu, Rachel juga tidak patuh dengan peraturan rumah yang telah ditetapkan.
Hakim kemudian telah menolak kes itu dan memerintahkan Rachel pulang ke rumah. Hakim juga berkata jika kes itu diteruskan, ia mungkin akan membuka peluang kepada "kanak-kanak 12 tahun menyaman ibu bapa untuk mendapatkan permainan Xbox".
Namun, pada akhirnya, Rachel tetap 'menang' kerana berjaya memperolehi biasiswa sebanyak $56,000 untuk melanjutkan pelajaran di Western New England University. (Independent UK)