Kecacatan anggota badan seringkali melibatkan perbincangan tentang anggota-anggota tubuh yang kelihatan, seperti mata, tangan dan kaki sebagai contoh tetapi jarang sekali masyarakat berani untuk membicarakan tentang kecacatan melibatkan anggota sulit.
Kes-kes seperti ini boleh dikategorikan sebagai 'disorder of sex development' atau 'kecacatan pada anggota seks,' yang berlaku sejak lahir. Ada juga kes yang lebih rumit serta berada di luar skop kategori yang ada, mungkin aneh pada kita tetapi sesuatu yang sudah diketahui pakar perubatan seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah kes-kes abnormaliti atau kecacatan anggota sulit yang boleh berlaku pada seseorang manusia? Jom kita baca.
1. Kemaluan tidak jelas
Kes-kes seperti ini dikategorikan sebagai 'ambiguous genitalia' di mana seseorang bayi itu lahir dengan alat sulit atau alat kelaminnya tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada berbentuk lelaki atau wanita. Boleh dikenalpasti sejak dari dalam rahim lagi, kes seperti ini boleh berlaku dalam dua cara.
Seorang bayi perempuan boleh mempunyai bentuk organ clitoris yang menyerupai zakar dan farajnya tidak terbuka atau terlipat sehingga menyerupai kerandut zakar. Bagi bayi lelaki pula, saluran urethra bayi itu tidak benar-benar terbentuk sehingga ke hujung zakar, lubang kencing terbentuk di bahagian kerandut zakar, ketiadaan kerandut yang cukup atau tiada organ skrotum langsung.
Kes-kes seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku menyebabkan berlakunya gangguan pada pembentukan kelamin atau alat sulit bayi tersebut, mengakibatkan organ-organnya gagal terbentuk dengan lengkap. Kes-kes seperti ini berlaku agak jarang, dengan kadar 1 daripada 4,500 dalam satu-satu masa.
2. Lahir tanpa zakar
Bagi sesetengah bayi lelaki yang tidak bernasib baik, mereka boleh mengalami kecacatan dilahirkan tanpa ada organ zakar pada tempat yang sepatutnya. Digelarkan sebagai 'agenesis', kes ini melibatkan dua peringkat - sama ada ketiadaan zakar (penile agenesis) atau ketiadaan testis (testicular agenesis).
Bagi individu yang ketiadaan batang zakar, mereka masih lagi akan mempunyai rupa paras normal seperti lelaki-lelaki lain namun individu yang ketiadaan testis akan mempunyai beberapa keunikan berbeza, disebabkan badan mereka tidak mampu menghasilkan hormon yang diperlukan dalam pembentukan tubuh.
Pengidap 'testicular agenesis' akan mempunyai kondisi di mana tubuh mereka akan kekal seperti dalam keadaan remaja, mempunyai permukaan kulit lebih halus tanpa ada pertumbuhan bulu roma serta otot yang kurang tegap, berbanding lelaki lain. Kes seperti ini sangat jarang berlaku, hanya terjadi pada kekerapan 1 daripada 6 juta bayi lelaki.
3. Lahir tanpa faraj
Bagi sesetengah bayi perempuan, mereka boleh dilahirkan tanpa mempunyai lubang faraj yang sempurna seakan-akan tertutup. Berbeza dengan 'agenesis' bayi lelaki, kekerapannya pula lebih tinggi pada kadar 1 daripada 5,000 kelahiran. Apa yang uniknya, kes-kes yang dinamakan sebagai 'vaginal agenesis' ini turut sama berkait dengan organ buah pinggang.
30% daripada pengidap vaginal agenesis akan mempunyai kecacatan pada buah pinggang mereka - sama ada lahir dengan hanya 1 buah pinggang sahaja, buah pinggang tidak berada di tempat sepatutnya atau yang paling unik, buah pinggang mereka bercantum.
Apabila seorang wanita tidak mempunyai faraj, secara automatik mereka akan mengalami satu kondisi yang dinamakan sebagai 'amenorrhea' bila matang, di mana tubuh mereka tidak mempunyai sistem kitaran haid atau tidak mampu mengeluarkan darah haid yang ada. Bagaimanapun, kes-kes seperti ini mempunyai peluang untuk pulih yang tinggi - melalui kaedah pembedahan bagi membina semula saluran faraj. (Müllerian Agenesis: Diagnosis, Management, and Treatment)
4. Lelaki yang mempunyai buah dada
'Gynecomastia' adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada kes-kes pembesaran buah dada pada individu lelaki, tetapi harus diingkatkan - pembesaran akibat gemuk dan 'gynecomastia' adalah berbeza.
'Buah dada' yang terhasil akibat gemuk dinamakan sebagai 'pseudogynecomastia', berbeza dengan abnormaliti asal yang berlaku disebabkan pembesaran kelenjar pada dada lelaki. 'Pseudogynecomastia' pula berlaku disebabkan lapisan lemak yang terbentuk akibat daripada tabiat pemakanan yang tidak terkawal.
'Gynecomastia' tidak boleh dirawat hanya dengan menurunkan berat badan, kerana 'buah dada' yang terhasil berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon pada badan seseorang. Bagaimana nak membezakan kedua-duanya? Rupa buah dada seorang lelaki pengidap 'gynecomastia' lebih mirip kepada buah dada wanita, di mana bentuknya lebih pejal dan tidak melendur ke bawah. (Gynecomastia: Clinical evaluation and management)
5. Individu tiada lubang dubur
Lebih kerap berlaku di kalangan bayi lelaki berbanding bayi perempuan, individu yang mengalami ketiadaan lubang dubur atau 'imperforate anus' mempunyai masalah dalam menyahtinjakan najis dari badan mereka. Apa yang menakutkan, kes-kes ini mempunyai kadar yang agak tinggi - sekitar 1 daripada 5,000 orang bayi akan lahir tanpa lubang dubur.
Antara kes yang unik melibatkan kecacatan ini adalah kisah seorang lelaki dari China yang terpaksa hidup tanpa lubang dubur, sehinggalah dia berumur 55 tahun kerana dia tidak mampu menanggung kos pembedahan membetulkannya.
Jadi dia memilih untuk melakukan prosedur kolostomi yang lebih murah pada bahagian kelangkangnya, membuat lubang sebesar 1/4 inci - membolehkan najis dikeluarkan. Namun dia perlu melakukannya secara manual, seakan memerah dengan tangan. Pada usia 55 tahun selepas hidup sebegitu, akhirnya dia mempunyai wang mencukupi bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
Bagi bayi perempuan pula, sekiranya pembentukan saluran kencing, faraj dan dubur tidak berlaku dengan sempurna, akan ada kemungkinan ketiga-tiga organ itu hanya mempunyai satu saja bukaan - sama ada di bahagian faraj atau bahagian dubur. Kes-kes seperti ini dikategorikan sebagai anomali cloaca, melibatkan 1 daripada 20,000 orang bayi wanita.
Apabila seorang perempuan mempunyai kondisi cloaca, mereka perlu menjalani 3 kali pembedahan bagi membetulkan kembali setiap saluran yang ada.