Minda manusia ada bermacam jenis dan setiap orang ada perkara yang kita takuti, dikategorikan sebagai 'fobia'.
Bila kita bercakap tentang fobia, biasanya kita nampak asas kenapa seseorang individu mempunyai kebimbangan terhadap sesuatu; seperti takut dengan labah-labah, darah, terbang di udara dan sebagainya.
Tetapi, wujud juga jenis fobia melibatkan ketakutan seseorang terhadap benda-benda biasa. Biasa macam mana tu? Berikut adalah lima jenis fobia yang boleh berlaku melibatkan perkara atau situasi rutin harian kita.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Somnifobia
Apa itu somnifobia?
Individu yang berhadapan masalah ini mempunyai isu besar dalam hidup; mereka takut untuk tidur!
Walaupun badan sudah letih dan mata jadi terlalu berat, mereka akan diganggu takut dan bimbang apa akan berlaku kepada mereka semasa proses hendak tidur bermula.
Kepala otak mereka mula memikirkan bermacam kebimbangan, yang akhirnya mengakibatkan penghidap masalah ini memilih jalan mudah: tak tidur langsung.
Sepanjang masa mereka bertahan, dengan jantung berdegup laju disebabkan serangan panik yang turut mengakibatkan badan mereka akan menggeletar. Belum dapat dibuktikan apa sebenarnya punca somnifobia berlaku kepada seseorang.
Majoriti pesakit menampakkan persamaan ada trauma kepada mental yang telah berlaku, mendorong kebimbangan yang muncul seterusnya mencetuskan panik memaksa mereka berjaga sepanjang malam.
2. Pedofobia
Tidak ada sesiapa suka individu pedofilia. Tetapi bagaimana dengan pedofobia? Mereka adalah kumpulan individu yang takut dengan kanak-kanak! Bukan benci ya! Takut!
Apa yang menghairankan penyelidik majoriti penghidap fobia ini tahu tidak ada asas untuk takut kepada kanak-kanak, tetapi bila mereka berhadapan kanak-kanak dan bayi, mereka mula mengelak daripada perlu bersemuka.
Seorang pedofobia cukup takut potensi apa yang boleh dilakukan kanak-kanak aktif, seperti kerosakan kepada barangan atau suasana yang hiruk-pikuk, kerap mengingatkan diri kelam-kabut yang boleh berlaku menyebabkan mereka diserang panik.
Dalam situasi lebih ekstrim, seorang penghidap pedofobia mempunyai tanggapan kanak-kanak yang ada dekat dengan diri mereka, mampu melakukan sesuatu yang mencederakan penghidap itu.
Bagaimana nak mengubati masalah ini? Satu-satunya cara keluar daripada kemelut ini adalah untuk seorang pedofobia secara beransur-ansur membiasakan diri dengan situasi yang ada kanak-kanak, sehinggalah dia mampu menerima tidak ada apa yang perlu ditakuti lagi.
3. Domatofobia dan Oikofobia
Rumah adalah tempat yang selamat bagi kita.
Walau bagaimanapun bagi individu yang mempunyai masalah domatofobia, mereka akan panik tatkala melihat rumah atau berada di dalam rumah.
Sama ada rumah sendiri atau sedang berkunjung ke rumah kenalan atau sanak-saudara, mereka yang berhadapan masalah ini secara ringan merasa sukar untuk selesa. Dalam situasi ekstrim, panik yang menyerang menyebabkan mereka ingin cepat-cepat keluar dari situ.
Oikofobia pula berkait dengan masalah ini, kerana fobia jenis ini membuatkan seseorang tidak selesa dengan apa saja barang atau perkakasan dalam sesebuah rumah. Dengan rumah dia OK pula.
Mereka melihat benda dalam rumah, baik barangan elektrik, peralatan dapur, fasiliti yang dipasang seperti tab mandi, sinki dan sebagainya mempunyai risiko membahayakan nyawa mereka.
Uniknya, mereka tidak pula takut sudut gelap, sempit atau sunyi seperti yang biasa digambarkan dalam filem seram.
4. Cryofobia
Tinggal di Malaysia, kita mendambakan suasana nyaman dan dingin tatkala melangkah masuk ke kediaman kita. Pendingin hawa adalah nikmat yang cukup berguna kepada kita; kecuali anda seorang penghidap cryofobia.
Mereka yang tergolong dalam kelompok ini mempunyai masalah untuk berdepan dengan sesuatu yang sejuk, tak kiralah suasana dingin atau bahan yang bersifat sejuk seperti ais krim atau ais. Dalam situasi ekstrim, cryofobia menyebabkan seseorang itu takut sepenuhnya kepada apa saja yang bersifat sejuk termasuklah udara dingin.
Puncanya sukar dijangka, tetapi lazimnya jadi kepada individu yang pernah berhadapan detik cemas dalam suasana yang sejuk seperti kawasan bersalji atau ais.
Tidak ada rawatan khas dapat membantu penghidap fobia ini melainkan dia sendiri perlu mengatur hidupnya agar tidak terdedah kepada perkara-perkara yang ditakutinya. Sukar kan untuk dia berasimilasi dengan orang lain dalam situasi sebegini?
Jika dia duduk di Malaysia di mana pendingin hawa pejabat dipasang atau kena naik kereta Proton yang terkenal dengan kesejukan sistem pendingin hawanya, mesti dia meronta-ronta ketakutan setiap masa.
5. Barofobia
Di antara semua ketakutan yang menyerang akibat benda-benda normal yang ada di sekeliling kita, rasanya barofobia-lah yang paling sukar dihadapi penghidapnya.
Apa itu barofobia? Fobia terhadap graviti!
Individu penghidap barofobia sepanjang masa mereka celik, berdepan kebimbangan graviti akan mengapa-apakan mereka! Panik itu biasanya muncul tatkala mereka mula berfikir tentang kewujudan tarikan graviti.
Dalam situasi berbeza, sesetengah penghidap barofobia yang layak dikatakan ekstrim berhadapan ketakutan seandainya tarikan graviti mampu menarik mereka hingga jatuh.
Cara untuk berhadapan masalah ini yang sering disyorkan pakar, adalah untuk mendedahkan diri pesakit kepada informasi atau media yang memaparkan tentang graviti, seperti filem 'Gravity' lakonan Sandra Bullock dan George Clooney atau apa saja filem yang memaparkan perbezaan di antara ruang bergraviti dan tiada graviti.
Mereka juga dinasihatkan menjauhkan diri daripada lokasi yang mempunyai banyak objek melawan graviti, seperti permainan taman tema.
Ini kerana seorang barofobia akancemas apabila ternampak sesuatu atau seseorang terapung atau terangkat. Belon yang terlepas daripada genggaman juga mampu menjadi punca panik melanda mereka.