Oleh pada 01 Sep 2021 kategori

Penjenamaan kini menjadi elemen yang cukup penting bagi sebuah syarikat atau entiti perniagaan.

Mempunyai jenama yang baik serta mudah diingati, membantu pelanggan atau prospek mengenali sesebuah syarikat hanya dengan sepintas lalu, berdasarkan kepada nama, rekaan logo, warna korporat yang terpilih serta slogan yang digunakan.

Tahukah anda, apakah jenama paling berkuasa di Malaysia bagi tahun 2021? Berikut adalah 10 jenama paling 'powerful' di negara kita mengikut laporan firma Brand Finance.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anda setuju dengan hasil kajian mereka?

10. TM

tm jenama terbaik malaysia 2021

Lagi ramai pengguna, lagi banyak aduan yang akan kedengaran.

Begitulah nasib TM, sering kali menjadi mangsa kritikan dan kutukan ekoran reputasi mereka sebagai GLC yang disokong oleh kerajaan - meletakkan mereka sebagai sasaran mudah.

Walaupun begitu sebagai seorang pengguna lama servis TM daripada era TM Touch dan Streamyx sehinggalah kini pelanggan setia Unifi, penulis secara peribadi jarang berhadapan masalah servis yang disediakan oleh TM seperti yang sering diwar-warkan orang ramai.

Bila ada masalah, tak susah untuk penulis mendapatkan operator yang sopan melayan aduan. Kerja-kerja penggantian peranti juga berlaku dengan lancar, biasanya selesai 1 ke 2 hari selepas aduan dibuat.

Apa yang penting, sebagai pengguna tegar TM kita patut tahu - jika internet anda ada masalah, cuba tutup dan mulakan semula router dan modem anda.

9. Dutch Lady

dutch lady jenama terbaik 2021

Jenama dari Belanda ini terus menjadi pendahulu dari segi penjenamaan produk tenusu di negara kita.

Cukup terkenal dengan warna korporat biru muda yang diaplikasikan di seluruh produk keluaran mereka, Dutch Lady telah pun selamat memperbaiki rekaan keseluruhan produk mereka - diberikan nafas baru selain daripada menambah baik resipi pengeluaran setiap produk yang ada.

8. Bank Islam

bank islam popular jenama terbaik 2021

Pasti ramai tidak menjangkakan Bank Islam mampu tersenarai sebagai sebuah jenama di kalangan 10 terbaik reputasinya di Malaysia bukan?

Tetapi itulah yang berlaku. Perubahan taktik pemasaran diperkenalkan bank tersebut, berjaya membawa bank berkonsepkan syariah ini mendaki 5 anak tangga daripada kedudukan ke 13 tahun lepas.

Lebih membanggakan - berdasarkan kajian Brand Finance, Bank Islam adalah jenama paling meningkat reputasinya berbanding kesemua jenama lain dalam tahun kajian.

7. Maxis

maxis jenama brand best 2021

Maxis bijak membezakan diri mereka dengan pesaing lain, menawarkan pakej yang mewah, berharga premium tetapi memberikan faedah yang jauh lebih besar kepada pelanggan mereka.

Kerjasama Maxis dan Astro juga dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penawaran pakej gabungan, memberikan pelanggan harga lebih murah untuk pakej lengkap dua dalam satu.

Gimik-gimik produk yang ditawarkan hanya pada nilai RM1 seperti TV LED 65 inci juga diakui sangat menarik perhatian orang ramai. 

6. TNB

tnb terbaik jenama 2021

TNB sedang giat menjalankan usaha untuk menukar ganti meter elektrik lama kepada versi pintar yang dinamakan Smart Meter. Seperti biasa dengan perubahan, pasti akan timbul rungutan.

Netizen pengguna Smart Meter melaporkan berlakunya perubahan besar pada kadar caj penggunaan elektrik bulanan mereka selepas meter baru dipasang.

Kami tidak boleh mengenalpasti benarkah isu ini timbul namun sekiranya anda berdepan masalah, anda haruslah menghubungi TNB untuk mengajukan kemusykilan anda.

Kini TNB juga sudah mengorak langkah menjadi pembekal internet jalur lebar yang dilancarkan awal tahun 2021. Adakah TNB boleh menempatkan diri mereka sebagai gergasi internet di masa depan?

Menarik untuk dibincangkan potensi ini. Kami secara peribadi, yakin dengan kemampuan TNB. 

5. Celcom

celcom jenama brand 2021

'Celcom? Celcom? Biar betul Celcom nombor lima?' kata individu-individu yang mungkin ada pengalaman buruk dengan gergasi telco Malaysia ini.

Kami tidak tahu kenapa ramai yang menidakkan kemampuan Celcom, yang jelas mampu menyediakan 'full bar' di kawasan-kawasan terpencil khasnya ketika penulis pulang ke kampung.

Kelajuan rangkaian 4G mereka juga baik liputannya, tidak pernah penulis berhadapan masalah strim video klip kumpulan K-Po...p...sori, heavy metal kegemaran penulis.

Liputan baik, muat turun laju, rangkaian yang stabil serta pakej langganan bersama peranti dengan harga yang berpatutan membuatkan Celcom kekal sebagai firma popular pilihan rakyat Malaysia.

Celcom naik satu anak tangga, mengukuhkan kedudukan mereka dalam hati kita semua. 

4. Public Bank

public bank jenama kuat malaysia

Bank yang paling diyakini oleh seorang rakan penulis. Dia memuji semua aspek berkaitan Public Bank, daripada segi kecepatan urusan, kemesraan pegawai sehinggalah kepada cara pengawal keselamatan Public Bank tolong membukakan pintu untuknya dengan senyuman.

Penulis belum ada akaun Public Bank lagi, memandangkan belum bertemu keperluannya.

Jadi anda perlu percaya dengan pandangan rakan penulis yang tak pernah sekalipun berkata negatif terhadap bank kesayangannya ini. Brand Finance menamakan Public Bank ditempat keempat sebagai jenama paling kukuh di Malaysia, naik daripada kedudukan nombor lima yang dipegang tahun 2020.

3. Maybank

maybank bank jenama unggul

Maybank sudah menjadi bank 'default' untuk majoriti orang dalam urusan perbankan. Bila orang minta nombor akaun nak pindah duit, nombor akaun Maybank biasanya akan disebut pertama sekali.

Identiti Maybank sebagai bank amat diyakini pengguna sistem perbankan di Malaysia, apatah lagi selepas Maybank mula memperkenalkan inovasi yang terima baik masyarakat - seperti akaun e-wallet MAE dan sistem pembayaran menggunakan kod QR yang sangat memudahkan urusan.

Majoriti rakyat Malaysia pun gaji mesti masuk Maybank dulu kan?

Namun bila dah popular, pelanggan pun ramai. Pada kami, pengalaman berurusan di cawangan Maybank yang sering sesak wajarlah ditangani dengan lebih teliti. 

2. Petronas

petronas isi minyak ahmad maslan

Siapa yang tak kenal Petronas bukan orang Malaysia namanya. Syarikat petroliam dan gas nasional ini mengorak langkah untuk terus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam perniagaan.

Kedai MESRA yang menghiasi semua stesen Petronas telah dijenamakan semula dengan warna hitam, lengkap dengan rekaan dalaman yang lebih kontemporari.

Pam minyak Petronas sendiri juga telah ditambah baik, menggunakan rekaan yang lebih mesra pengguna serta lebih selesa untuk dipam.

Apa yang kami harapkan dari Petronas hanya satu - masalah kad 'offline' di stesen-stesen yang belum dinaiktaraf dapat diperbaiki. Zaman PKP ni jarang dah orang bawa wang tunai. Malulah nak isi minyak kereta RM5.

1. DIGI

maskot digi jenama terbaik 2021

Kami sering mendengar rungutan daripada pengguna rangkaian mobil DIGI, tetapi setelah cuba menggunakannya sendiri kami terpaksa mengakui - pakej yang DIGI tawarkan khasnya untuk mereka yang mengutamakan kadar bulan kos rendah (seperti kami) agak menarik untuk dinilai.

Dari segi nilai syarikat, DIGI diletakkan di tempat ke 10 berbanding kesemua syarikat yang menjalani kaji selidik.

Tetapi dari segi kekuatan penjenamaan, pemasaran dan identiti, Brand Finance menamakan DIGI sebagai pemegang jenama paling kukuh nombor 1 di negara kita. Syabas DIGI.

Rujukan

Brand Finance MALAYSIA 100 2021




Hakcipta iluminasi.com (2017)