Ramai di antara kita memiliki kereta dan memandu setiap hari. Oleh kerana populariti penggunaan kereta di negara kita, banyak perkongsian berkenaan tips dan tatacara penggunaannya dikongsikan ramai pihak.

Walaupun demikian, tidak dapat dinafikan ada segelintir pemandu pandai memandu tetapi tak pernah pun membaca dan menghadam buku manual panduan pengguna, yang disediakan untuk rujukan tuan punya kereta. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Situasi ini mengakibatkan kita boleh terlepas pandang beberapa perkara yang disyorkan pengeluar kereta, gemar mengambil sikap pandai sendiri.

Berikut adalah lima ilmu yang tersembunyi dalam manual kereta yang mungkin juga terkandung dalam manual kereta milik anda.

1. Kita tak perlu pun panas enjin kereta 

ilmu dalam manual kenderaan

Sehingga ke hari ini perkongsian berkenaan keperluan memanaskan enjin sering diajukan - menyebabkan kita membiarkan enjin berjalan 30 saat ke 1 minit sebelum bergerak khususnya di awal pagi. 

Adakah kaedah ini betul? Tidak.

Memang ada ditulis dalam manual kenderaan tidak ada keperluan untuk pemandu membiarkan enjin hidup secara statik untuk 'memanaskannya', sebaliknya pemandu boleh terus bergerak selepas menghidupkan enjin.

Dua kereta milik penulis, sebuah keluaran 2004 dan satu lagi keluaran 2021 memaparkan nasihat serupa. Cuba periksa manual kereta anda.

2. Ketetapan tinggi lampu sepatutnya diubah ikut keadaan

suis ketetapan tinggi lampu

Pernah tak anda berhadapan kereta yang lampunya menyilaukan mata tanpa lampu tinggi dihidupkan? Mesti ada.

Sesetengah kereta khususnya jenis SUV atau MPV mempunyai suis untuk menaik atau menurunkan cahaya lampu depan kenderaan mereka. Nak mengubahnya, bukan main ubah saja.

Kedudukan lampu yang optimum perlu ditetapkan bergantung kepada beban kenderaan, iaitu jumlah penumpang dan jumlah muatan yang dibawa.

Tujuan suis ini dipasang adalah untuk bertindak sebagai pengimbang semula kedudukan lampu, bukannya dinaik atau diturunkan ikut keselesaan pemandu. Nak tahu ketetapan betul? Rujuk manual kenderaan anda.

Ada pemandu yang sepanjang masa meletakkan kedudukan lampu pada tahap tertinggi. Habis silau yang berselisih dengan mereka.

3. Had laju maksima 1000km pertama

proses break in kereta baru

Tempoh 1000 km pertama atau dikenali sebagai break-in period merupakan antara topik yang sering terpalit dengan bermacam jenis petua dan tips didakwa berkesan.

Biasanya dakwaan ini pula dibuat tanpa ada bukti kukuh. Kami tidak tahu dari mana datangnya banyak petua break-in aneh yang sering berlega.

Dalam manual kereta anda memang ada dinyatakan cara break-in mudah. Untuk 1000 km pertama, jangan bawa kenderaan anda pada kelajuan melebihi 90 km/j.

Elakkan memecut dan membrek terlalu kuat. Itu saja. Kami yakin petua ini diaplikasi kepada majoriti kereta biasa yang dijual dalam pasaran Malaysia.

4. Cara parkir kereta di kawasan bukit

cara parkir kereta jalan berbukit

Sekiranya anda melalui laluan berbukit, cuba lihat bagaimana kenderaan di sana diparkirkan.

Majoriti pemandu tidak mengamalkan satu kaedah mudah dalam memastikan kenderaan mereka selamat ditinggalkan agar tidak membahayakan orang lain.

Oleh kerana ada risiko brek gagal berfungsi semasa kenderaan diparkir di kawasan berbukit, tayar kenderaan anda perlulah diputar ke arah yang betul bagi memastikan kenderaan anda tidak bergerak ke belakang atau depan selepas anda meninggalkannya.

Pusing tayar ke arah bahu jalan jika anda meletakkan kenderaan menghala laluan bukit menurun, berlawanan arah bahu jalan bila parkir di bukit menaik. 

5. Kelemahan pengesan undur belakang

kelemahan sensor undur belakang reverse

Kami yakin sepanjang anda memandu, anda pernah berhadapan situasi di mana pengesan undur belakang anda tidak berbunyi walaupun anda tahu ada objek di belakang kereta anda.

Penulis dah beberapa kali terlanggar kon trafik yang tidak kelihatan pada cermin pandang belakang, tanpa pengesan berbunyi.

Kenapa? 

Ini kerana memang ada kategori objek yang sudah digariskan dalam manual kenderaan anda tidak mampu dikesan, ekoran sifat objek itu yang menyerap gelombang ultra-sonik yang dipancarkan.

Dalam buku manual kenderaan penulis, ada lima kategori objek tidak mampu dikesan iaitu pokok kecil, barangan yang diperbuat daripada kadbod, barangan getah seperti tayar basikal, barangan halus seperti wayar, tali dan pagar dawai.....serta kon trafik.

Sekiranya anda perlu mengundur dan di belakang kereta anda ada kotak-kotak besar yang disusun, hati-hati ya! 




Hakcipta iluminasi.com (2017)