Penggunaan peranti berasaskan skrin sesentuh telah menjadi sesuatu yang norma, di kalangan masyarakat seluruh dunia.

Teknologi skrin sedia ada sekarang sudah layak dikatakan cukup matang dan murah, berbanding skrin sesentuh 10 tahun dahulu yang agak sukar untuk dikendalikan serta memerlukan kita menekan skrin dengan agak kuat.

Siapa yang pernah melalui zaman ini, pasti masih terkenang kesukaran peranti membaca input. Disebabkan harga yang semakin murah dan teknologi yang semakin baik, semakin banyak produk dalam pasaran cuba memanfaatkan teknologi ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kini bukan saja telefon pintar, peranti rumah seperti peti sejuk, TV, mesin penapis air, ketuhar dan juga sinki dapur ada skrin sesentuh dipasang. Salah satu industri paling memanfaatkan teknologi ini, adalah industri automotif.

Persoalannya, wajarkah peralihan ini dilakukan ke atas kereta kita?

Pengalaman mengajar diri

sistem touchscreen menyusahkan

Kira-kira setengah dekad lalu, penulis sempatlah merasa kenderaan yang mempunyai sistem infotainment berasaskan skrin sesentuh sepenuhnya dipasang sebagai aksesori standard dalam kereta.

Pada awal penggunaannya, kira-kira sebulan atau dua bulan memang penulis teruja menggunakannya. Sikit-sikit nak ditekan. Seminggu sekali bertukarlah warna latar belakang, agar sesuai dengan jiwa ketika itu.

Sebagai pengguna, apabila kita sudah lama melakukan sesuatu - tubuh dan minda kita akan terlatih secara automatik bagaimana hendak mengawalnya.

Itu adalah sesuatu yang biasa berlaku. Tetapi apa yang penulis sedari selepas lama menggunakan skrin sesentuh dalam kereta, situasi di atas tidak berlaku. Penggunaan skrin dalam kenderaan masih memerlukan penulis memfokuskan betul-betul kepada menu dan apa yang perlu ditekan....semasa memandu.

Semuanya tidak berlangsung secara automatik, seperti sebelumnya di mana tangan kita dah tahu ke mana harus hinggap dan butang mana harus diputar atau ditekan.

Setiap pertukaran stesen radio atau pertukaran lagu memerlukan ketekunan daripada penulis, untuk melihat skrin yang mengalihkan fokus penulis daripada jalan raya kepada pelbagai menu yang ada.

Dan itu adalah sesuatu yang lama-kelamaan membuatkan penulis rasa susah hendak menggunakan skrin sesentuh.

Situasi ini diburukkan pula selepas isteri penulis membeli kenderaan kedua dan dalam kenderaan beliau, terpasang sistem infotainment bersifat tradisional yang mengekalkan butang, tombol dan skrin 'bodoh' sebagai pengemudinya.

"Oh...senangnya nak navigasi benda ni tanpa perlu alih fokus daripada pemanduan atas jalan raya!" fikir penulis.

Industri yang semakin hanyut

interaksi berlebihan pemandu

Ekoran kemajuan teknologi kereta berasaskan elektrik, populariti sistem sesentuh untuk dijadikan kaedah utama kawalan fungsi kereta semakin ketara trendnya.

Sudah ada pengeluar yang meninggalkan terus sistem tradisional, hanya menjadikan skrin sesentuh sebagai alat pengemudi semua perkara yang perlu dikawal pemandu. Sehinggakan ada pengeluar yang penulis enggan nyatakan, menjadikan lampu belok pun perlu diaktifkan menggunakan butang sesentuh pada stereng!

Semua perubahan ini di atas kertas memanglah tampak baik.

Dengan menjadikan skrin sesentuh dan butang sesentuh sebagai kaedah kawalan fungsi utama, rekaan kereta akan kelihatan lebih elegan, kemas dan minimalis jika itu sesuatu yang anda rasakan penting.

Dari segi pemasangannya untuk pengeluar industri automotif, ketiadaan sistem butang mekanikal yang banyak menjadikan pemasangan sesebuah kenderaan lebih mudah. Wayar-wayar yang berselirat dalam badan kenderaan, juga kami andaikan dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun teknologi ini dapat dimajukan, asas kepada masalah utama yang belum dapat diperbaiki adalah bagaimana kesemua fungsi ini memerlukan kita sebagai pemandu tidak fokus kepada apa yang ada depan kita.

Dan yang lebih memburukkan keadaan, kebanyakan sistem infotainment yang dibangunkan pula direka untuk kegunaan telefon pintar, berasaskan kepada sistem telefon pintar.

Pengalaman "Hands-free"

sistem antaramuka kereta moden

Sesuatu yang jarang dibicarakan oleh kita, adalah impak penggunaan skrin sesentuh kepada fokus dan minda kita semasa memandu.

Tidak ramai menyedari secara psikologinya mental kita memerlukan masa untuk kembali fokus, selepas mengalihkan fokus kita kepada sesuatu tugasan lain.

Dalam konteks artikel ini, semua pemandu yang memandu dan perlu mengawal sistem infotainment mereka, akan mengambil sedikit masa untuk kembali fokus kepada pemanduan.

Setiap kali kita memandu dan mengawal sistem infotainment dalam kereta kita, minda kita sebenarnya sedang dibebani untuk memproses setiap gerakan, maklumat dan informasi yang ada di sekeliling kita - dan semua perkara ini mewujudkan tekanan atau stress kepada mental kita, yang memakan masa untuk kita kembali seperti biasa.

Dalam kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, dianggarkan secara purata seseorang pemandu memerlukan kira-kira 15 ke 27 saat untuk minda mereka kembali 'pulih' selepas melakukan sesuatu, seperti menghantar mesej melalui pengaktifan suara atau menekan-nekan menu pada sistem yang ada.

Kajian ini mendapati dalam trend penggunaan skrin sesentuh yang ada sekarang, kebanyakan pemandu lebih mudah terbeban semasa memandu akibat terlalu banyaknya keperluan untuk mengalihkan perhatian, yang dikhuatiri akan menyebabkan semakin tinggi kadar kemalangan.

Anda suka skrin sentuh semasa memandu?

bahaya risiko teks dan memandu

Di Malaysia, Malaysian Institute of Road Safety Research atau MIROS telah pun mengeluarkan kenyataan memperakui teknologi sentuhan yang telah diperkenalkan dalam kenderaan merupakan satu perubahan yang berisiko kepada semua.

Walaupun pelbagai amaran telah dikeluarkan, secara rambang penulis melihat rakyat Malaysia masih mencari skrin sesentuh untuk dijadikan 'centerpiece' utama kereta kita.

Jualan peranti skrin di laman web nampak rancak dan di atas jalan, tampak semakin besar skrin yang dipasang pada kereta-kereta yang kelihatan.

Maaflah, penulis mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan isu ini. Industri automotif sepatutnya kembali menggunakan butang, tombol dan kekunci yang fizikal serta memberikan kita rasa sentuhan, yang sangat penting kepada deria kita semasa memandu.

Dan di negara-negara maju, dilaporkan pemandu juga sudah mula mengeluh dan mengadu tentang keburukan sistem sentuhan yang menguasai kawalan kenderaan. Mereka kini mahukan rekaan tradisional dikembalikan semula!

Hasilnya, beberapa pengeluar seperti Volkswagen, Nissan dan Hyundai ketika ini sedang dalam proses merekabentuk semula rekaan kereta mereka supaya tidak lagi berorientasikan skrin sesentuh.

Trend menjadikan skrin sesentuh ini, penulis lihat hanyalah satu trend yang menyelesaikan masalah yang tidak wujud, mencipta masalah baru kepada kita, membahayakan nyawa sendiri dan membuatkan kita lebih mudah terganggu daripada melakukan perkara yang sepatutnya kita lakukan...

Iaitu memandu kereta atas jalan raya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)