Haiwan terutamanya haiwan peliharaan dan liar sering menjadi salah satu isu hangat di kalangan kejiranan kita.
Ini kerana ada pihak melihat kehadiran haiwan peliharaan yang dibiarkan berkeliaran bebas, hanya menyebabkan lebih banyak masalah dan isu timbul. Pertengkaran dan ada kalanya pergaduhan boleh timbul, hanya disebabkan masalah ini dalam kejiranan yang sama.
BESARKAN TEKS A- A+
Insiden sebegini boleh berlaku secara ekstrim, sehingga menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab meracun haiwan yang berkeliaran. Adakah tindakan ini dibenarkan? Tidak.
Berikut adalah 8 hak haiwan yang termaktub dalam undang-undang kita, yang sebaiknya dipatuhi pelaksanaannya.
1. Individu bawah umur tidak boleh membeli haiwan
Anak anda seorang pencinta kucing dan mahu memiliki kucing sendiri untuk dijaga? Pastikan semua urusan yang dilakukan turut melibatkan anda sebagai penjaga.
Ini kerana tindakan seseorang menjual haiwan tak kiralah apa spesis sekalipun kepada seorang individu bawah umur ditakrifkan sebagai bawah usia 12 tahun, adalah merupakan satu kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman denda RM15,000 minima atau penjara tidak lebih 2 tahun.
Mungkin tidak ramai menyedari kewujudan akta ini dalam seksyen 28 Akta Kebajikan Haiwan 2015 atau Akta 772 negara kita. Kami ingatkan perkara ini sekiranya anda seorang pemilik kedai haiwan ya!
2. Dilarang mencederakan haiwan
Apa saja bentuk penderaan fizikal ke atas haiwan, dikategorikan sebagai satu kesalahan.
Undang-undang negara kita melindungi hak haiwan daripada sekecil-kecil perbuatan seperti menyepak haiwan sehinggalah dengan sengaja meracun haiwan hidup dengan elektrik.
Adakah anda sedar, perbuatan mencabut kuku haiwan seperti yang biasa dilakukan oleh penggemar kucing juga secara asasnya turut dikategorikan sebagai kesalahan, melainkan dengan perakuan pihak atau doktor veterinar berdaftar.
3. Anda suka buang kucing? Anda kena tahu..
Ramai di antara kita gemar membela haiwan peliharaan, tetapi apabila haiwan itu sudah beranak dan bilangannya terlalu besar, ramai pula yang tergamak membuang keluarga haiwan itu ke kawasan awam.
Biasanya destinasi buangan yang popular, adalah pasar atau medan selera lah kerana katanya 'di situ nanti ramai orang akan bagi makan.'
Perbuatan membuang haiwan peliharaan ini juga dikategorikan satu bentuk kesalahan, kerana boleh mengakibatkan haiwan itu trauma, kesakitan, kebuluran, dahaga serta terdedah kepada risiko.
Jika ditangkap membuang kucing, bersedialah untuk didenda tidak kurang RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 3 tahun...atau kedua-duanya sekali.
4. Ayam sabung dan ikan laga
Bagi sesetengah komuniti di negara kita, mereka sangat aktif dalam aktiviti persabungan ayam. Ada juga orang dewasa dan juga kanak-kanak, suka menonton aksi ikan laga.
Sebarang bentuk aktiviti yang menjurus kepada pertembungan atau pergaduhan dua haiwan tak kiralah ikan laga pun, sebenarnya dilarang dalam seksyen 32 Akta 772. Perkara ini turut meliputi sesiapa saja yang terlibat menganjur, melatih, memiliki premis dan mempromosikan aktiviti ini kepada umum.
Dan uniknya, larangan ini turut terpakai kepada penonton yang hadir. Dalam erti kata lain, menonton aktiviti sebegini secara langsung pun adalah satu jenis kesalahan.
5. Kebajikan haiwan yang bekerja
Di kalangan haiwan, ada juga haiwan yang dikategorikan sebagai haiwan pekerja seperti kerbau yang diguna untuk membajak tanah, kuda yang ditunggang dalam sukan ekuesterian serta anjing yang dijadikan anjing pemandu.
Sebarang bentuk kerahan tenaga ke atas haiwan-haiwan ini haruslah dibuat sehingga tidak dianggap berlebihan, sehingga menyebabkan penderaan fizikal kepada haiwan terlibat.
Ini bermakna kuda yang dijadikan tunggangan seperti di karnival haruslah dipastikan ditunggang dalam kadar tempoh yang sesuai, diberikan rehat yang secukupnya di antara setiap tunggangan dan ditunggang dalam jarak yang memadai.
Haiwan-haiwan yang ditunggang juga haruslah serasi dengan individu yang menunggangnya. Kalau kita ni terlebih berat, janganlah pula nak naik kuda padi yang comel. Hanya kuda yang terlibat dalam sukan ekuesterian dan pengendalinya diberikan pengecualian dalam hal ini.