Kadang-kala, haiwan-haiwan terpaksa dikurung di dalam sangkar dalam usaha untuk diselamatkan.
Program pembiakan kurungan adalah polisi kontroversi untuk menghindar kepupusan, namun tanpa program ini dunia pastinya melihat kepupusan beberapa spesis termasuk arnab pygmy Columbia Basin, burung condor California dan serigala merah.
Walaupun begitu, tidak semua haiwan yang boleh dibiak dengan cara ini.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 5 spesis haiwan yang paling sukar untuk membiak dalam kurungan.
1. Cheetah
Sejak anak cheetah kurungan pertama dilahirkan pada tahun 1956 di Zoo Philadelphia, sangat sedikit program pembiakan yang berjaya meniru kejayaan program itu.
Masalahnya adalah spesis cheetah jantan dikatan terlalu "berahsia".
Adrienne Crosier, ketua program pembiakan cheetah Institut Biologi Pemuliharaan Smithsonian, memberitahu bahawa cheetah betina memiliki apa yang dikenali sebagai "senyap estrus" yang bermakna cheetah betina tidak memberikan isyarat apabila ia bersedia untuk mengawan.
Untuk mengatasinya, Adrienne dan rakan sekerjanya menggunakan cheetah jantan sebagai pengesan "bersedia untuk mengawan". Selepas menghidu tempat cheetah betina kencing, cheetah jantan akan menyalak jika cheetah betina sudah bersedia untuk mengawan.
Ini tidak menyelesaikan masalah asas pembiakan dalaman, sesuatu yang tidak selesai dari zaman Pleistocene kira-kira 10,000 tahun yang lalu. Pada masa ini kebanyakan haiwan gergasi seperti sloth gergasi, kucing gigi panjang dan serigala yang mengerikan telah pupus.
Cheetah juga hampir pupus tetapi terselamat.
Kepupusan muncul semula pada abad ke-20 kerana pemburuan dan pemusnahan habitat di mana 100,000 ekor kucing menjadi 10,000, dibahagikan kepada populasi terpencil.
Spesis-spesis ini membiak sesama sendiri (inbred).
Hari ini, spesis yang terselamat memiliki jumlah sperma yang rendah, peningkatan kecenderungan terharap penyakit dan tulang rangka yang tidak bermaya.
Anak-anak haiwan seperti ini sering mati sebelum mencapai usia dewasa.
Untuk meminimumkan pembiakan inbred dalam kurungan, urutan genom dalam haiwan jantan dan betina boleh disusun dan digandingkan secara buatan.
Ini boleh membantu proses pembiakan namun bukanlah penyelesaian yang lengkap.
Sama seperti panda gergasi, cheetah yang dianggap padanan genetik tidak semestinya mahu mengawan.
2. Badak Putih Utara
Badak putih utara berada di tempat yang salah pada masa yang salah.
Ketika pemburuan haram sedang meningkat di Afrika tengah pada 1980-an, kegawatan politik menyelubungi usaha pemuliharaan. Menjelang 2008, subspesies itu dianggap telah pupus di alam liar. Hari ini, hanya terdapat 3 ekor sahaja yang masih hidup.
1 ekor jantan dan 2 ekor betina kini berada di bawah pengawal bersenjata siang dan malam di kandang seluas 600 hektar di Kenya, namun tidak boleh membiak.
Badak jantan itu berusia 41 tahun diberi nama Sudan, "tidak boleh memanjat" kata Richard Vignes, Ketua Pegawai Eksekutif Ol Pejeta Conservancy, tempat haiwan itu dipelihara.
"Sudan sudah terlalu tua dan uzur, serta kaki belakangnya tidak berfungsi dengan baik," kata Richard.
Beberapa pilihan cubaan sedang dibincangkan iaitu yang pertama melibatkan IVF tetapi ini tidak pernah berkesan untuk mana-mana badak dan serviks badak betina berbentuk seperti "corkscrew", bermakna cara tradisional mengekstrak telur tidak akan berkesan.
Pilihan kedua adalah untuk menggunakan sperma dari badak putih utara untuk menyuburkan telur badak putih selatan, spesies yang berkait rapat.
Keturunannya adalah kacukan tetapi banyak gen badak sumbu putih utara akan dapat diselamatkan.
Memandangkan keadaan yang teruk, pilihan kedua lebih berkemungkinan dan menjanjikan peluang, kata Richard.
"Bagi saya, ia bukan tentang menyelamatkan spesies lagi. Ia lebih kepada menyelamatkan ciri-ciri genetik yang membolehkan badak sumbu hidup di Afrika tengah."
3. Penyu kulit lembut gergasi Yangtze
Tahun Baru 2016 membawa berita tragis untuk penyu kulit lembut gergasi Yangtze di mana pada 19 Januari, Cu Rua ditemui terapung di tasik tempat tinggalnya di Hanoi, Vietnam.
Lebih daripada 100 tahun, Cu Rua adalah salah satu daripada empat penyu spesis ini yang masih wujud.
2 ekor penyu lagi iaitu seekor jantan dan betina, kini berada dalam kurungan di Zoo Suzhou di China.
Pasangan penyu itu diperkenalkan pada tahun 2008 dan tanda-tanda awalnya dilihat sangat menjanjikan.
"Penyu jantan itu memanjat penyu betina sebanyak 12 kali," kata Gerald Kuchling, ketua program pembiakan untuk Perikatan Survival Penyu di Fort Worth, Texas.
Walaupun begitu, penyu betina tersebut menghadapi masalah untuk hamil.
"Hujung zakar penyu kulit lembut sebenarnya terbuka seperti bunga. Ia adalah struktur yang menakjubkan. Namun apa yang dimiliki oleh penyu jantan ini adalah tidak seperti itu," kata Gerald.
Pada Mei 2015, Gerald dan rakan sekerjanya mengumpul sperma dengan merangsang zakar penyu jantan itu dengan elektrik dan dimasukkan ke dalam penyu betina namun telur itu tidak subur.
4. Burung jenjang whooping
Menjelang tahun 1941, terdapat kurang daripada 20 ekor burung jenjang whooping wujud di dunia.
2 daripadanya yang diberi nama Pete dan Josephine dipelihara di Zoo Aubudon di New Orleans. Pada tahun 1949, selepas berpindah ke kandang luar yang lebih luas, Josephine bertelur dua.
Kegembiraan itu tidak lama apabila kedua-dua burung itu terpijak telur-telur itu diikuti dengan kematian Pete.
Dengan kegagalan ini dan kumpulan gen yang sangat rendah, pendekatan baharu diperlukan.
Maka menjelang tahun 1970-an, burung-burung dipadankan secara buatan oleh program komputer untuk memaksimumkan kepelbagaian genetik.
Penternak kemudiannya akan memasukkan sperma jantan terpilih yang dikumpulkan dengan mengusap peha dan perut burung itu dengan kuat, secara buatan ke dalam burung betina.
Mana-mana anak burung yang menetas kemudiannya diangkat menggunakan tangan oleh manusia secara perlahan-lahan dalam keadaan memakai jubah putih dengan lengan yang kelihatan seperti bangau seperti di atas.
Pakaian itu diperlukan untuk memastikan burung itu kekal "liar" dan menghalang haiwan tersebut daripada terlalu mengenali manusia.
Usaha itu telah membuahkan hasil.
Hari ini, lebih 400 burung jenjang whooping berhijrah dari paya Texas ke Kanada setiap musim bunga untuk membiak.
5. Panda gergasi
Panda gergasi adalah maskot nasfu seksual yang rendah. Panda gergasi betina hanya berada dalam estrus (bersedia untuk mengawan) selama 24 hingga 72 jam setahun.
Dan walaupun dalam tempoh tingkap yang sangat pendek ini, kedua-dua panda gergasi jantan dan betina biasanya tidak mengawan.
Dengan populasi liar sekitar seribu ekor pada tahun 1970-an, para penyokong pemuliharaan mula masuk campur.
Mereka membawa sebilangan besar panda ke pusat pembiakan kurungan dan cuba membangkitkan semangat haiwan ini dengan memberikan mainan, air pancut, buah-buahan dan rakaman permainan panda gergasi mengawan.
Mereka juga mengumpul sperma dan mensenyawakan secara buatan.
Persenyawaan buatan ini sebahagian besarnya bertanggungjawab terhadap ledakan bayi panda pada tahun 2016.
Kini terdapat lebih 300 panda gergasi yang tinggal di zoo dan pusat pembiakan di Eropah, Amerika Utara, Asia Tenggara, Jepun, China dan Australia.
Program ini sangat berjaya sehingga panda tawanan dilepaskan kembali ke alam liar pada tahun 2007. Kini terdapat lebih daripada 1800 panda gergasi di tengah China.
Rujukan:
1. Slate
3. CBC