Oleh pada 08 Aug 2018 kategori

Lombok ketika ini sedang dilanda letusan gunung berapi dengan catatan rekod menyebut lebih 82 orang telah meninggal dunia, beratus orang cedera sementara beribu orang kehilangan tempat tempat tinggal.

Gegaran pertama telahpun tercetus pada 30 Julai 2018 sementara beberapa gegaran lain melanda dan ketika ini kawasan tersebut masih dilanda gegaran pada magnitud lebih kecil. Kejadian gempa bumi bukanlah sesuatu yang asing dengan masyarakat Indonesia. Sejarah negara mereka merekodkan terlalu banyak insiden gempa yang menakutkan masyarakat telah berlaku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun persoalannya, yang paling teruk pernah berlaku bila? Berikut adalah lima gempa bumi paling teruk pernah direkodkan melanda kawasan-kawasan di sekitar Asia, mengakibatkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda yang menyayat hati bagi mereka yang tidak bernasib baik, terpaksa menempuhinya.

5. Nankai, Jepun Disember 1946

jepun gempa bumi gempa bumi terkuat asia

Masih bergelut dengan kesan perang dunia ke 2, masyarakat Jepun dikejutkan dengan gempa bumi yang berlaku pada tahun 1946 sehingga mengorbankan lebih 2,000 nyawa. Dengan kekuatan magnitud sekitar 8.1 ke 8.4, banyak bangunan ranap ekoran gegaran sebelum tsunami setinggi 20 kaki melanda kawasan tersebut yang menyebabkan kerosakan teruk pada pekan tersebut.

40,000 buah rumah musnah dalam kejadian tersebut mengakibatkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal. Kawasan tersebut tidak asing lagi dengan kejadian gempa bumi serta tsunami kerana pernah melalui beberapa kali insiden serupa, namun tahun 1946 mencatatkan rekod paling kuat gegarannya. Selepas gegaran pertama pada Disember 1946 berlaku, gegaran-gegaran lebih kecil pada skala magnitud 5 dan ke atas direkodkan berlaku lebih 40 kali sehingga bulan April 1947.

4. Bengkulu, Indonesia September 2007

bengkulu gempa bumi terkuat asia

Gegaran pertama yang terkuat berlaku pada 12 September 2007, berpunca daripada gerakan bumi pada kedalaman 34km di bawah laut menyebabkan kawasan sekitar Bengkulu, Indonesia mengalami gegaran pada magnitud 8.5, disusuli dengan beberapa gegaran kecil pada skala magnitud 5 dan 6. Untuk beberapa hari berikutnya, sehinggalah 14 September, kawasan tersebut mengalami beberapa siri gegaran lagi yang berpunca dari pusat gegaran yang berbeza-beza.

Bengkulu mengalami nasib paling buruk selepas beberapa bangunan di kawasan tersebut runtuh dengan bekalan elektrik ke kawasan tersebut terjejas. Walaupun mengalami beberapa siri gegaran selama beberapa hari, penduduk Indonesia bernasib baik kerana tidak banyak nyawa terkorban akibat gempa bumi ini. Seramai 22 orang disahkan meninggal dunia sementara 88 orang mengalami kecederaan.

3. Nias–Simeulue, Indonesia Mac 2005

nias simeulue

Berpunca daripada pusat gempa bumi terletak tidak jauh daripada insiden gempa bumi paling buruk di Asia Tenggara yang berlaku beberapa bulan lebih awal pada Disember 2004, gempa bumi berukuran 8.6 pada skala magnitud ini berlangsung hanya selama 2 minit namun tetap mengorbankan lebih seribu nyawa.

Ekoran bencana tsunami yang melanda beberapa negara tidak lama sebelum insiden ini, langkah berjaga-jaga terpaksa diambil bagi mengelakkan insiden serupa berlaku. Walaupun gegarannya kuat serta mampu dirasai sehingga ke Thailand dan negara kita, nasib baiklah tsunami yang terhasil tidak menyebabkan kecelakaan yang serupa. Beberapa kejadian ombak setinggi 3 meter terhasil menyebabkan kerosakan pada pelabuhan di kawasan berhampiran.

2. Tohoku, Jepun Mac 2011

kesan gempa bumi dan tsunami di jepun gempa bumi terkuat asia

Gempa bumi terkuat pernah melanda Jepun (setakat ini) direkodkan pada bulan Mac 2011 yang mempunyai magnitud 9.1. Gegaran pertamanya berlaku pada magnitud tersebut sebelum disusuli beberapa gegaran lain yang mempunyai magnitud 7.1 mengakibatkan keadaan menjadi cemas.

Sehingga 2017, seramai 150 ribu orang yang terselamat masih belum mempunyai tempat tinggal sementara 50 ribu orang lagi terpaksa tinggal di dalam perumahan sementara yang dibina kerajaan Jepun. 120 ribu bangunan musnah, dengan kadar kemusnahannya dianggarkan berjumlah RM958 billion, menjadikan insiden ini insiden bencana alam paling tinggi kadar kerugian yang perlu ditanggung.

1. Melauboh, Aceh Disember 2004

gempa bumi terkuat asia

Mencatatkan sejarah sebagai gempa bumi paling kuat pernah berlaku di Asia Tenggara, gempa bumi dengan ukuran magnitud pada tahap 9.1 hingga 9.3 sehingga mengakibatkan bencana tsunami melanda negara-negara di sekitarnya termasuklah negara kita, Myanmar, Thailand, Bangladesh, Sri Lanka, India dan 12 lagi negara yang terletak di Lautan Hindi.

Dengan anggaran 3,400 orang meninggal dunia di Melauboh sahaja dan 320 ribu di semua kawasan yang dilanda tsunami, Melauboh menerima kerosakan paling dahsyat dalam tragedi itu. 80 peratus bangunan di situ musnah. Gempa bumi yang melanda Indonesia ini walaupun hanya ketiga paling kuat pernah direkodkan, merupakan gempa bumi paling lama berlaku dengan tempoh masa 8 ke 10 minit gegarannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)