Kepintaran buatan atau AI adalah topik hangat diperkatakan masyarakat dunia.

Kami sendiri masih berbelah bahagi dalam meneliti baik buruk AI, bimbang lama-kelamaan apa yang dipapar filem sains fiksyen, di mana AI mengambil alih tamadun manusia menjadi kenyataan.

Jangan ambil serius pula ayat di atas, haha! Walaupun ramai masih skeptikal tentang pengaplikasian AI, kita sebenarnya sudah menggunakan AI setiap hari sama ada kita sedar atau tidak ianya berlaku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima cara AI sudah lama membantu hidup kita, walaupun anda mungkin penyokong sentimen Anti-AI paling lantang di Malaysia.

1. GPS

gps peta navigasi berasaskan ai

Pernah tak ketika anda memandu mengikut navigasi yang telah ditetapkan, GPS anda mengesyorkan kepada anda satu laluan berbeza yang mampu menjimatkan masa perjalanan? 

Itulah AI yang dalam sistem GPS, yang berfungsi di belakang tabir.

Kita jarang mengaitkan sistem GPS dengan AI tetapi kemampuan algoritma GPS untuk mencari jalan tanpa dipinta, sebenarnya adalah sejenis AI yang berkemungkinan besar secara rutin kita bergantung kepadanya.

Apabila GPS mempunyai kebolehan melakukan cadangan atau menukar sendiri navigasi akibat perubahan yang kita lakukan secara sengaja atau tidak sengaja, itu adalah satu bentuk kepintaran buatan.

2. Ubahsuai dan cantikkan gambar

bokeh proses gambar ai

Trend mengambil gambar yang mempunyai tahap bokeh atau kabur di bahagian latar belakangnya berbanding subjek, sudah menjadi perkara biasa dalam sistem kamera telefon pintar.

Dalam seni fotografi tradisional berasaskan kamera SLR, untuk mendapatkan hasil sama kita perlu menggunakan lensa yang mempunyai bukaan cahaya yang besar serta jarak fokus yang betul bagi mendapatkan bokeh yang creamy.

Salah titik fokus, lain benda yang akan dikaburkan.

Perkara itu dsimulasi dengan mudah oleh kamera telefon pintar, hasil pemprosesan aplikasi berasaskan AI di mana AI mampu mentafsir dan mengasingkan subjek dalam gambar serta mengkaburkan latar belakang, menghasilkan gambar yang baik. 

Perkembangan teknologinya juga pantas. Beberapa tahun dulu, sebuah telefon pintar memerlukan dua lensa untuk menghasilkan kesan sedemikian. Kini dengan kemajuan pemprosesan AI, satu lensa yang dipasang pada telefon bertaraf bajet pun sudah cukup untuk mendapatkan hasil yang menarik dan berkualiti.

Yang suka tangkap gambar dan biar aplikasi kamera cantikkan wajah dia, licinkan kulit, besarkan mata dan cerahkan kulit tu; itu pun kerja AI sebenarnya.

3. Garis masa media sosial anda

timeline media sosial algoritma

Anda takutkan AI walaupun demikian anda banyak menghabiskan masa di media sosial. Anda rasa kenapa anda seronok melayari perkongsian orang ramai di ruangan maya? 

Semuanya disebabkan algoritma media sosial sudah mampu mengkategorikan minat anda dan apa yang anda tak suka hadap secara terperinci, membolehkan garis masa atau timeline anda baik dalam mana-mana platform media sosial sekalipun, digubah mengikut citarasa anda.

Mengagumkan bukan bagaimana AI mampu menghasilkan garis-garis masa yang berbeza mengikut citarasa setiap pengguna media sosial, yang tak sama antara satu sama lain!

AI sejak dulu memainkan peranan memahami dan mempelajari anda, merekodkan setiap perbuatan anda dalam garis masa anda, apa yang anda cari, apa yang anda tenung, apa yang anda tak peduli dan berapa lama anda melayari garis masa.

Semuanya bagi memastikan masa penggunaan anda optimum untuk faedah pengendali media sosial serta menepati minat dengan kehendak anda.

4. Fungsi 'Autocorrect'

penggunaan autocorrect berasaskan ai

Bagi pelajar universiti zaman dahulu, penggunaan penyemak ejaan seperti Dewan Eja 'memeriksa' karangan merupakan satu keperluan penting.

Fungsi ini kemudiannya diperkembangkan secara terbina dalam, dalam setiap perisian penulisan seperti Microsoft Word.

Kini, setiap telefon pintar bukan saja mampu menyemak ejaan bahkan turut sama mampu membentuk ayat serta menterjemah istilah, dari satu bahasa ke beratus-ratus bahasa berbeza - tanpa kita perlu menggunakan aplikasi luaran lain.

Semua kemudahan dan fasiliti ini ada AI di belakangnya, dimana pengendali sistem operasi telefon pintar seperti Google atau Apple bertanggungjawab membangunkan dan menambahbaik sistem yang ada.

Kita tersalah taip pun tak perlu kita betulkan. AI akan memadam kesalahan kita dan menggantikan perkataan salah tersebut dengan ejaan yang betul, tanpa perlu kita membetulkannya satu per satu seperti satu dekad dahulu.

5. Naikkan resolusi video dan imej

teknologi upscale ai

Ini adalah fungsi AI yang paling digemari penulis setakat ini!

Dengan adanya fungsi ini, banyak juga gambar-gambar keluarga penulis yang sebelum ini kurang jelas dapat diperbaiki dan ditambah baik resolusinya, mencantikkan lagi kualiti gambar yang ada.

Di saluran video seperti Youtube, semakin banyak video-video lama yang direkodkan berpuluh dekad tahun dahulu telah menjalani proses pemulihan yang bukan saja menjelaskan lagi setiap paparan yang ada, membolehkan visual yang lebih terang dapat kita lihat bukan saja pada resolusi lebih tinggi bahkan pada kelajuan lebih lancar.

Peminat permainan video turut mendapat tempiasnya, di mana teknologi upscaler berasaskan AI mampu memperbesarkan resolusi skrin yang dipaparkan, ke tahap tinggi tanpa mencacatkan kualiti visual yang ada khususnya apabila kita bermain dengan skrin melebihi 42 inci.

Dengan ini pemain mampu bermain pada kualiti visual tahap terbaik, tanpa memerlukan prosesor serta kad grafik terhebat dan termahal yang ada dalam pasaran.

Bagus sebenarnya AI ni kan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)