Oleh pada 14 Aug 2022 kategori

Membeli-belah memang seronok. Kepuasan yang diperolehi setiap kali berbelanja, mampu membuatkan sesiapa saja rasa gembira dalam diri.

Namun ada ketikanya barangan atau produk yang kita beli, akhirnya menjadi satu pembelian yang jarang atau langsung tidak kita gunakan. Wujud beberapa jenis pembelian yang layak dikategorikan dalam kumpulan ini. 

Berikut adalah lima benda yang kita beli tetapi biasanya berakhir tanpa penggunaan sebaliknya hanya mengakibatkan kita perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Waranti tambahan

waranti tambahan produk elektrik

Dalam zaman di mana produk elektronik menjadi satu kemestian semua orang, kebanyakan pengeluar dan peniaga mula menjual kepada kita skim waranti tambahan - sebagai jaminan agar 'minda kita tenang dengan perlindungan ke atas pembelian kita.'

Bagaimanapun kajian ke atas model sebegini telah dijalankan, menunjukkan bayaran tambahan yang dikenakan bagi membeli waranti tambahan sebenarnya lebih mirip dengan 'membayar sesuatu tanpa mendapatkan apa-apa,' khususnya berkenaan barangan elektrik atau elektronik.

Kajian juga telah menunjukkan kos yang diperlukan bagi membaiki produk sekiranya ada berlaku kerosakan selepas waranti asal tamat, secara puratanya lebih rendah. Sebagai pengguna, peraturan pertama yang perlu kita ikuti adalah dapatkan produk daripada pengeluar yang diyakini - walaupun harganya lebih tinggi berbanding jenama lebih murah.

Produk yang baik mampu bertahan lama sekiranya penyelenggarannya dilakukan dengan betul dan tahan digunakan bertahun lamanya - walaupun warantinya telah tamat.

2. Alat masak gimik/trending

suka beli alat masak viral

Kami tidak tahu di negara lain bagaimana, tetapi di Malaysia akan ada musim di mana kaum wanita dan kaum ibu akan mula secara beramai-ramai mempromosikan alat masak yang mempunyai gimik tertentu - biasanya dikeluarkan oleh pengeluar produk bukan yang biasa kita dengar.

Produk-produk ini dikatakan mampu mempercepatkan proses masakan, memudahkan wanita menyediakan hidangan dan bermacam lagi faedahnya diutarakan sampai tularlah ke seluruh Malaysia. Ramai pun berebut nak memiliki alat tersebut. 

Tetapi kami yakin majoriti pembeli yang membelinya pun hanya akan menggunakannya secara kerap seminggu dua selepas beli, sebelum mula dilupakan dan akhirnya kembali masuk ke dalam kotak. Silap-silap ada juga yang dibiarkan terdedah, terus dihinggapi habuk dan karat pun merebak.

Satu benda aneh - produk-produk sebegini kita sendiri tak tahu siapa pengeluarnya. Kadang-kadang pelekat SIRIM pun tak ada bagi barang elektrik. Bila ada masalah tentang produk itu, tak banyak bantuan boleh diperolehi kerana ejen jualannya pun dengar cerita dah bersara. 

3. Buku

ramai beli buku tanpa baca buku

Pesta-pesta buku setiap tahun kerap dianjurkan di negara kita dan sambutannya syukurlah sangat baik, membuktikan rakyat Malaysia suka membaca. Namun realitinya pasti tak seindah yang kita sangka, kan?

Kewujudan pesta jualan buku dengan bermacam taktik jualan walaupun membantu jualan buku, tidak membantu mempopularkan budaya membaca kerana kita adalah negara yang gemar membeli buku - tetapi tidak gemar membaca buku.

Pesta-pesta buku yang ada pula hanya mempopularkan pembelian buku, tetapi kurang memberi penekanan kepada kualiti membaca masyarakat kita.

Begitulah juga dengan sebuah pesta buku lambak di mana jualan buku dibuat mengikut kotak, orang ramai akan berusaha memenuhkan kotak mereka dengan buku sehinggakan judul yang dipilih bukanlah sesuatu yang mereka benar-benar minati.

Akhirnya buku-buku ini akan terbiar bersusun cantik di almari, sementara menantikan pesta buku tahun berikutnya hadir lagi untuk meneruskan tradisi gembira membeli.

4. Peralatan senaman

peralatan senaman trend sementara

Bila timbul rasa keinginan nak bersenam, ramai orang akan mula memasang impian nak membina kawasan senaman sendiri di rumah. 

Satu ruangan kediaman mula dirancang untuk dijadikan tempat di mana alat-alat senaman akan diletakkan. Barangan senaman seperti basikal setempat, alat memanjat gunung, alat sawat injakan (treadmill), pemberat, tikar yoga dan sebagainya mula menghiasi ruangan ini.

Seminggu dua majoriti kita rasa bersemangat untuk menggunakannya. Ye lah, tengah 'ciwi' bak kata orang utara. 

Lama-kelamaan disebabkan kekangan kerja serta hidup, senaman rutin yang dirancangkan mula tidak lagi jadi amalan dan peralatan senaman yang ada lebih kerap jadi sidaian baju yang tidak kering dijemur. Ada juga yang menggunakannya sebagai penyangkut sejadah. 

Dibiarkan lama, akhirnya peralatan itu semuanya berhabuk sehinggalah pada satu hari kita pun mengambil inisiatif membersihkan dan membungkusnya dengan plastik agar tidak dicemari lagi. Duduklah semua peralatan itu di situ sebelum setahun kemudian kita mula rasa rimas dengan ruang yang dimakannya. 

Tak lama selepas itu, beberapa iklan jualan barangan senaman terpakai dimuat naik oleh kita dengan harga sangat berpatutan - dengan syarat bakal pembeli perlu hadir sendiri bagi mengambilnya.

5. Permainan

koleksi permainan dipamerkan golongan lelaki

Membeli permainan untuk anak-anak? Tak jadi masalah. Yang selalu menjadi masalah apabila golongan ayah pun nak ikut sama memiliki permainan mereka sendiri. 

Apa yang sangat membingungkan kaum wanita khususnya, permainan-permainan ini pula akan dibeli bukanlah untuk dimainkan - sebaliknya hanya akan dijadikan pameran dalam rumah atau lebih malang, disimpan dalam berkeadaan bertutup, berkunci dan berbalut kerana hendak dijadikan koleksi berstatus 'mint.'

Tidak dapat penulis nafikan memasang kit permainan seperti Gundam mengasyikkan. Prosesnya itu memang layan dan bila siap - rasa puas hati dengan hasil tangan kita. Namun apa pula selepas itu? 

Nak main biar robot-robot itu bergaduh satu sama lain? Tak sesuai. Nak bagi anak main? Maaflah. Jadi apa lagi boleh dibuat dengan robot-robot itu selepas siap? Dibuat pameran sajalah...

Ada individu yang rasa puas dapat mempamerkan koleksi permainan mereka di rumah. Tetapi tidakkah perbuatan itu agak menyimpang berbanding tujuan asal permainan itu dicipta? 

Datang saudara mara dengan anak-anak kecil, habis dibuka satu per satu koleksi kita yang ada - ramai yang mengadu kejadian sebegitu di media sosial sekiranya benar terjadi, mengeluh dengan sikap ibu bapa yang tak pantau pergerakan anak-anak mereka.

Lagipun, pernah tak anda tanya apa perasaan sebenar isteri anda, tentang hobi anda nak mempamerkan koleksi permainan milik anda di ruang tamu rumah? Adakah dia menyokong atau dia secara terpaksa mengiyakan saja minat kita, yang anak-anak dilarang sama sekali membuka, menyentuh dan mengubah kedudukan permainan kita? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)