Kami yakin semua individu pernah mempunyai impian mahu memiliki permainan sendiri semasa kecil. 

Sebut saja nama permainan popular, pasti ramai yang mengidamkannya baik semasa kecil dan ada juga yang masih berhajatkannya semasa dewasa. Terdapat banyak jenama permainan yang dihasilkan bagi menjadi rakan imaginasi kanak-kanak semasa usia mereka. 

Kita biasa menyebut jenama atau nama permainan yang ada, tetapi tahukah kita asal-usulnya? Berikut adalah lima asal-usul nama permainan paling popular dunia yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Barbie

barbie barbara lily lili nama asal permainan

'Barbie' kini merupakan antara produk paling digemari kanak-kanak perempuan, menjadi antara francais permainan paling popular didunia. 

Istilah 'Barbie' yang digunakan bagi menamakan siri anak patung itu datangnya daripada nama anak kepada pengasas syarikat Mattel, Ruth Handler - Barbara Milicent Robert atau 'Barbara'. 

Sebelum 'Barbie' lahir, variasi awal patung itu yang dijual di Jerman dinamakan Lilli. Ruth dan suaminya Elliot membeli hak kepada watak Lilli itu dari pengeluarnya di Jerman bagi pemasaran di Amerika Syarikat dan menamakan semula patung itu menggunakan nama anak mereka.

2. Transformers

asal usul nama transformers ialah diaclone

'Transformers', francais gergasi yang memaparkan robot yang mampu bertukar menjadi kenderaan, dinosaur mahupun haiwan buas pada awalnya dinamakan sebagai Diaclone di Jepun, diperkenalkan pada tahun 1980 dengan pertukaran mod lebih sains fiksyen. 

Bagaimanapun pada tahun 1982, Takara yang mengeluarkan siri permainan itu memperkenalkan robot Diaclone yang bertukar menjadi kenderaan harian yang mampu kita lihat setiap hari dibawah sub-label 'Car Robot.' Model pertama di bawah siri baru ini adalah model 'Sunstreaker', sebuah robot kereta yang kekal dikeluarkan sehingga ke hari ini.

Takara cuba membawa masuk Diaclone ke dalam pasaran Amerika Syarikat dengan nama 'Diakron' namun jualannya kurang menjadi. Sehinggalah syarikat Hasbro ke Jepun menyertai ekspo permainan di sana pada tahun 1983, menemui siri Diaclone yang dijual. Hasbro membeli hak pelesenan kepada kesemua 28 Diaclone yang ada.

Menyedari tidak cukup untuk hanya menjual permainan, Hasbro dengan kerjasama studio komik Marvel membangunkan latar belakang dan jalan cerita model yang ada. Setiap satu model diberikan nama dan identiti. Nama 'Diaclone' atau 'Diakron' yang digunakan juga kurang menarik. 

Berikutan kemampuan setiap model itu bertukar daripada robot ke mod kenderaan, sama ada kereta, jet atau van - siri permainan itu dinamakan semula oleh Hasbro sebagai 'Transformers' dilancarkan pada tahun 1984. 

3. Hot Wheels

sejarah hot wheels dapat nama dari mana

Nama Hot Wheels cukup sinonim dengan model kereta miniatur yang diperbuat daripada acuan besi. Dengan harganya yang murah serta mudah diperolehi, Hot Wheels menjadi antara permainan mampu dimiliki setiap kali anak meragam nak beli sesuatu permainan.

Istilah 'Hot Wheels' itu sendiri cukup ikonik, senang diingati dan jelas mencerminkan identiti produk mereka. Tetapi tahukah anda, nama itu bukanlah datang dari perbincangan atau usaha keras memerah otak? 

Selepas pengasas syarikat Mattel, Elliot Handler mengemukakan idea kepada pasukan rekaannya untuk membangunkan prototaip permainan kereta terbaik mampu dihasilkan mereka bagi menyaingi siri Matchbox dari Britain.

Pasukan pereka yang turut melibatkan seorang pereka kereta sebenar bernama Harry Bradley, berjaya membangunkan beberapa siri prototaip permainan kereta.

Berbeza dengan Matchbox, model keluaran mereka mampu pergi laju disebabkan oleh penggunaan bahan plastik jenis delrin yang bertindak sebagai pelancar di antara paksi tayar dengan roda. Apabila Handler melihat kelajuan yang mampu dicapai kereta tersebut di atas trek, dia menjerit 'those are some hot wheels!' 

Dari situlah nama Hot Wheels diperolehi.

4. Jenga

asal usul sejarah nama mainan jenga

Jenga? Apa maknanya? Dari bahasa apakah istilah ini diambil? Jenga merupakan sejenis permainan yang cukup popular, memerlukan pemain-pemainnya menarik dengan selamat satu blok atau bongkah kayu dari susunan 54 bongkah kayu yang disusun mirip sebuah menara.

Bongkah kayu yang diambil pula perlu diletakkan semula di bahagian atas menara tersebut, bagi meninggikan lagi ketinggian menara tersebut sehinggalah seorang pemain gagal melakukannya, meruntuhkan menara yang telah dibina bersama-sama. 

'Jenga' sebagai istilah adalah istilah pinjaman daripada istilah 'kujenga' yang mempunyai makna 'membina sesuatu.' Istilah ini diambil daripada bahasa Swahili, sejenis bahasa yang diamalkan orang-orang Swahilli, khususnya di kawasan sekitar Tanzania.

'Jenga' dicipta seorang wanita Inggeris bernama Leslie Scott, yang lahir di Tanzania. Pada usia 18 tahun, dia mengikut keluarganya ke Ghana dan di sana bagi mengisi masa lapang bersama rakan-rakannya, mereka akan bermain permainan di mana semua orang akan menyusun bongkah kayu yang ada biasanya menggunakan lebihan yang telah dibuang pengusaha.

Selepas memasuki universiti di Britain dan menyedari rakan-rakannya obses dengan permainan sama yang telah dimainkan, Leslie mengambil keputusan untuk cuba mengeluarkannya sendiri. Dia mengupah sebuah bengkel pertukangan kayu yang menggajikan orang kurang upaya, untuk menghasilkan 100 set bongkah menara itu untuk jualan.

Leslie mempamerkan ciptaan itu dalam ekspo permainan London tahun 1983, menamakannya Jenga sempena sebutan Swahili. Cubaannya gagal namun berkat bantuan seorang pakar pemasaran, Jenga berjaya dipamerkan untuk demonstrasi semasa menjelang Krismas dan sejarah tercipta selepas Jenga meledak dalam pasaran.

5. Tamagotchi

asal usul sejarah nama permainan tamagotchi tamagochi

Sebelum wujudnya telefon pintar yang membolehkan peminat permainan video bermain permainan simulasi bela haiwan seperti My Talking Tom, kanak-kanak zaman dulu pernah merasai pengalaman membesarkan 'anak digital' mereka menerusi alat elektronik Tamagotchi. 

Tamagotchi sangat popular satu ketika dulu, sering menjadi antara peranti yang dibawa secara sembunyi ke sekolah dan juga kerap dirampas guru, bila ada pelajar gagal menumpukan perhatian dalam kelas.

Sebuah alat elektronik yang ringkas semasa era awal pengeluarannya, 'Tamagotchi' dihasilkan oleh dua orang ahli perniagaan Jepun bernama Aki Maita dan Akihiro Yokoi. Yokoi ketika itu berkhidmat sebagai presiden sebuah firma rekaan permainan sementara Maita pula bertugas sebagai pegawai pemasaran bersama syarikat gergasi permainan Jepun, Bandai.

Idea berkenaan Tamagotchi tercetus selepas kedua-duanya melihat satu iklan di televisyen memaparkan seorang kanak-kanak yang tidak dibenarkan membawa kura-kura peliharaannya, menyertai mereka melancong. Daripada situlah kedua-duanya membangunkan rekaan permainan tersebut dengan satu prinsip - peliharaan digital yang dilahirkan boleh mati sekiranya tidak dijaga dengan baik. 

Tujuannya adalah untuk melatih rasa tanggungjawab terhadap sesuatu dalam diri kanak-kanak.

Peranti elektronik itu dilancarkan pada tahun 1996 hasil pembangunan syarikat Bandai, popular dikenali sebagai 'Tamagotchi' walaupun ada kesalahan dalam istilahnya.

'Tamagotchi' sebenarnya adalah gabungan istilah Jepun 'tamago' atau telur dan 'uotchi' atau 'watch', yang sebenarnya diambil dari istilah Bahasa Inggeris - bunyi 'i' dihujung suku kata itu tidak sepatutnya disebut sama seperti kita menyebut perkataan 'watch.'

Oleh sebab itulah Tamagotchi juga kadangkala ada disebut mengikut ejaan Jepunnya yang asal iaitu 'Tamagotch' atau 'jam berbentuk telur.'

Hanya mereka yang pernah kematian Tamagotchi tahu betapa sengsaranya perasaan, selepas melihat makhluk digital belaan kita yang telah kita jaga berminggu lamanya mati. Buat perkara sama zaman sekarang, mesti akan diserang kritikan kerana mengakibatkan trauma kepada kanak-kanak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)