Sedar atau tidak, kita banyak menggunakan kemudahan GPS dalam kehidupan seharian. Aplikasi telefon pintar seperti Google Maps, Waze dan seumpamanya memanfaatkan GPS untuk membantu kita mengetahui lokasi sesuatu tempat dan jarak antara dua lokasi dengan mudah.
Dalam hal GPS ini, kita mungkin harus berterima kasih kepada kerajaan Amerika Syarikat kerana memberikan akses kepada manusia daripada seluruh dunia untuk menggunakan teknologi GPS yang dibangunkan mereka secara percuma. Ianya dibiayai oleh pembayar cukai rakyat Amerika Syarikat.
BESARKAN TEKS A- A+
Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai GPS, sila baca artikel kami Bagaimana Sistem GPS Berfungsi untuk mengetahui lebih mendalam mengenai teknologi ini. Kali ini, kami ingin perkenalkan ada kepada beberapa alternatif kepada sistem GPS ini yang dibangunkan oleh beberapa lain.
Ada diantaranya yang didakwa lebih tepat dan jitu dalam memberikan sesuatu lokasi. Walau bagaimanapun, dalam artikel ini kami hanya ingin memperkenalkannya sahaja dan tidak akan membuat perbandingan sistem manakah yang lebih baik.
1. GLONASS
GLONASS dibangunkan oleh Russia dan sudah beroperasi sejak tahun 1995 lagi. Ya, GLONASS bukanlah baru cuma ianya kurang popular bagi orawang awam. Teknologi GLONASS ini dibantu oleh 24 buah satelit.
Sebagai perbandingan, GPS mempunyai 31 satelit. Untuk membolehkan sesuatu sistem satelit navigasi global berfungsi, lebih daripada 20 satelit diperlukan dan Rusia telah mengekalkan kesemua satelit ini sejak 2010.
Selain itu, GLONASS dan GPS mempunyai ketinggian dan tempoh orbit yang hampir sama, oleh itu, daripada segi ketepatan kedua-duanya agak serupa. Daripada segi ketepatan, GLONASS mempunyai ketepatan lokasi 5 - 10 meter yang dianggap cukup bagus dan sangat mirip dengan GPS yang mempunyai ketepatan lokasi antara 4 - 7 meter.
2. BeiDou
China juga tidak ketinggalan dalam persaingan membina sistem satelit navigasi global mereka sendiri. Dikenali sebagai BeiDou, sistem ini telah dibangunkan pada tahun 2000 sebagai alternatif dan persaingan kepada sistem GPS sedia ada.
Walau bagaimanapun, pada peringkat awal sistem ini hanya mempunyai 2 satelit oleh itu liputannya agak terhad dan ketepatan lokasinya juga kurang bagus. Untuk mempertingkatkan ketepatannya, pada 2012 dan 2015 China telah melancarkan tambahan 10 dan 15 satelit ke orbit Bumi.
Selepas tahun 2015, China menambah 7 lagi satelit ke orbit bumi menjadikan terdapat keseluruhan 33 satelit dalam sistem BeiDou ini. Dari segi liputan, sistem ini boleh dikatakan setaraf dengan GPS. Untuk lokasi pula, ianya mempunyai ketepatan antara 3 - 5 meter untuk kegunaan awam dan 10cm untuk kegunaan tentera.
3. Galileo
Oleh kerana negara-negara besar mempunyai sistem navigasi satelit mereka sendiri, Kesatuan Eropah memutuskan untuk turut mengambil keputusan untk membangunkan sistem mereka sendiri.
Mereka memulakan pembangunan pada tahun 2005 dan akhirnya pada tahun 2016, sistem satelit navigasi global Galileo dilancarkan. Pada ketika ini, sistem ini mempunyai 22 satelit dan pihak EU bercadang untuk meningkatkan sehingga ke 30 satelit pada masa depan untuk meningkatkan ketepatan lokasi dan meluaskan liputannya.
Dari segi mekanisme kerja, GPS dan Galileo hampir berada pada satah bumi yang sama tetapi ketinggiannya sedikit lebih tinggi. Akibat daripada perbezaan ini, Galileo masih mempunyai beberapa masalah isyarat lemah di beberapa kawasan.
Walau bagaimanapun, masalah ini kelak akan dapat diatasi apabila penambahan satelit akan membolehkan sistem Galileo ini berfungsi dengan kapasiti penuh yang pastinya lebih tepat dan menyeluruh.
4. NavIC
NavIC dianggap masih baru dalam dunia sistem navigasi namun selayaknya dipuji. Tidak seperti GPS, GLONASS, BeiDou dan Galileo yang merupakan sistem satelit navigasi global, liputan NavIC lebih kecil.
Sekiranya semua sistem satelit navigasi global yang dinyatakan di atas berkemampuan untuk mengesan lokasi di seluruh muka bumi, NavIC adalah sistem satelit navigasi serantau yang dibangunkan hanya untuk mengesan lokasi di India dan negara berdekatannya sahaja.
Penerima signal NavIC telah diwajibkan pemasangannya pada kenderaan komersial di India dan ia dijangka boleh digunakan untuk pengguna telefon bimbit pada separuh tahun pertama 2020. Selain itu, terdapat rancangan untuk menambah bilangan satelitnya daripada 7 ke 11 untuk menambah baik, liputan dan ketepatannya.
5. Quasi-Zenith
Quasi-Zenith Satellite System (QZSS) adalah sistem navigasi satelit serantau yang dibangunkan oleh Jepun dan sangat serupa dengan NavIC yang dibangunkan India. QZSS juga dikenali sebagai Michibiki dalam bahasa Jepun dan sistem ini mempunyai 4 buah satelit.
Jepun memulakan projek ini pada tahun 2010 dan melancarkan perkhidmatan tersebut untuk kegunaan awam pada tahun 2018. Sama seperti GPS, objektif Quasi-Zenith adalah untuk menyediakan perkhidmatan penentuan lokasi yang tepat dan stabil di Jepun dan sebahagian wilayah Asia-Oceania.
Walaupun pengembangan sistem navigasi satelit ini dilihat agak perlahan, mereka komited untuk melancarkan 7 satelit lagi pada tahun 2023.
Walaupun terdapat beberapa alternatif bagi sistem GPS, satu perkara lagi yang perlu diingatkan di sini ialah pengguna tidak dapat memilih sistem satelit navigasi global mana yang boleh mereka gunakan.
Semuanya bergantung pada aplikasi telefon pintar dan aplikasi navigasi yang mereka gunakan. Ada sesengah peranti baru seperti jam sukan Garmin misalnya, memberikan kebebasan kepada para pengguna untuk memilih satelit yang mahu digunakan (melalui bahagian tetapan jam) untuk mengukur jarak larian mereka.
Kredit: