Kita biasa mendengar tentang perbezaan dua kumpulan terbesar dalam Islam iaitu Sunni dan Syiah. Di negara kita juga popular dengan beberapa ajaran yang menyeleweng, namun bagi pengikut mereka tetap dianggap seiring dengan keperluan syariah seperti ajaran Ahmadiyah atau bermacam tarekat yang muncul mencari pengikutnya.
Tidak seperti masyarakat Melayu di Malaysia yang menerima Islam dalam bentuk yang lengkap hasil daripada penggantian agama Hindu dan Buddha kepada agama Islam bagi orang Melayu, beberapa komuniti yang berada di luar negara dapat dilihat masih lagi terus berpegang dengan kepercayaan lama mereka - walaupun masyarakat di sekeliling mereka sudah pun memeluk Islam sepenuhnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Komuniti-komuniti ini mengamalkan ajaran yang layak dikatakan bercampur baur pegangannya, disebabkan oleh bermacam sebab sehinggakan pegangan yang mereka amal, ada yang mirip Islam dan ada juga yang mirip agama lain. Pernahkah anda dengar tentang komuniti-komuniti ini?
1. Hurufism
Daripada namanya yang digunakan, ajaran 'hurufisme' mengambil nama daripada perkataan Arab 'hurf' atau 'harf' yang bermaksud abjad dengan 'hurufis' membawa maksud 'banyak abjad.' Membawa ajaran berbentuk Sufi, gerakan ini mula wujud sekitar abad 14 ke 15 di sekitar Persia, Anatolia dan Azerbaijan - dimulakan oleh seorang ilmuan bernama Fazlallah Astar Abadi.
Pegangan mereka berpandukan kepada pengaruh setiap huruf yang tertulis dalam kitab, cuba mencari makna yang tersirat di dalamnya termasuklah kitab al-Quran sendiri. Berikutan minat kumpulan ini yang mendalam tentang kaitan huruf, simbol serta sistem abjad - ada pengkaji menggelarkan mereka sebagai pakar kajian huruf.
Fazlullah mendakwa dirinya menerima petunjuk pada satu hari dalam bulan Ramadan mengikut kalendar Islam dalam tahun 775H atau Mac 1374. Dalam peristiwa yang digelarkan 'zohur-e kebria' oleh pengikut beliau, Fazlullah diberikan ilmu untuk memahami huruf tanpa perlu terbentuk sebarang perkataan, termasuklah huruf-huruf yang mendahului surah dalam al-Quran seperti surah al-Baqarah yang terkandung 'alif lam mim' di depannya.
Berikutan reputasinya yang didakwa mampu menterjemahkan keseluruhan isi kandungan serta bijak mentafsir mimpi, nama Fazlullah mula terkenal namun ajaran beliau dianggap sesat oleh pemerintah Iran khasnya semasa pemerintahan Empayar Timur. Dia ditangkap, dipenjarakan sebelum dibunuh pada tahun 1395. Ajarannya berkembang namun mula surut sekitar abad ke 18 sebelum diteruskan oleh beberapa orang ilmuan kontemporari khasnya disekitar negara Albania. (Hurufism in Albania)
2. Darazi
Masih aktif sehingga kini dengan lebih satu juta pengikut di sekitar Lebanon, Syria dan Palestin (Israel), pengikut sekta Darazi lebih gemar membahasakan diri mereka sebagai seorang 'muwahhidun'. Merupakan salah satu pecahan cabang Nizari dalam kepercayaan Syiah, pada zaman sekarang Druze dianggap sebagai salah satu jenis agama yang berdiri sendiri.
Berikutan status mereka yang dikatakan unik, kumpulan orang Darazi kebiasaannya mempunyai jalinan komuniti yang rapat serta jarang sekali mengamalkan perkahwinan di luar agama mereka, bagi memelihara identiti. Tokoh utama yang disanjungi dalam kepercayaan ini adalah Abu Ali Mansur atau lebih terkenal sebagai Al-Hakim bin Amirullah, khalifah ke-enam dalam sistem Khalifah Fatimiyyah yang sangat disegani komuniti Syiah.
Gerakan Darazi ini berpecah daripada gerakan Syiah Nizari setelah pengasas mereka Muhammad al-Darazi, menyeru agar pengikutnya keluar daripada aliran utama Syiah. Ajaran Darazi memberikan penekanan pada falsafah tauhid dengan mengangkat ke-Esaan Tuhan namun mula diisytiharkan sesat dalam ajaran Syiah, selepas pengikut Darazi mula mengagungkan Al-Hakim secara membabi buta.
Masyarakat Darazi percaya al-Quran sebagai sumber ilmu pengetahuan dan meraikan perayaan memperingati Nabi Shuib, mempercayai kenabian Nabi Khidir dan Nabi Sabalan, yang mana makamnya menjadi pusat persinggahan mereka setiap tahun pada 17 September. (Druze - Tawheed Faith)
3. Yazdanis
Yazdanis agama Yazda merupakan sebuah kepercayaan lama yang dipercayai telahpun diamalkan lebih awal, sebelum kedatangan semua agama samawi lagi. Menjadi agama rasmi segelintir komuniti orang Kurdish sehingga kini, agama ini pada asalnya dikenali dengan nama 'Haq' - sebuah kepercayaan yang mana pengikutnya berpegang bahawa wujudnya satu kuasa besar bersifat universal yang menguasai segala-galanya.
Elemen-elemen agama Zoroastrian banyak terdapat dalam agama ini kerana kedua-duanya berkongsi kepercayaan terhadap makhluk ghaib yang hampir serupa, sehinggakan penganut Yazdanis digelarkan sebagai 'kultus Malaikat' dalam zaman moden.
Berikutan perbezaan pendapat serta perubahan zaman, kepercayaan Yazdanis kini dikatakan terpecah kepada 3 iaitu Yazidi, Alevi dan Yarsani - dengan setiap kepercayaan mempunyai amalan dan pegangan yang berbeza. Majoriti orang Kurdish bagaimanapun telah memeluk Islam, menjadikan 3 pecahan agama Yazdak ini sebagai kumpulan minoriti yang masih wujud sekarang.
4. Korramis
Digelarkan sebagai Korramis atau Khurramites, orang Korramis wujud akibat perpecahan yang berlaku semasa zaman pemerintahan Abbasiyah di Iran sekitar tahun 816 - berikutan usaha kumpulan itu mahu memulakan kembali agama lama mereka Mazdakis (atau Mazdak) sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara.
Ajaran ini dikepalai oleh seorang tokoh jeneral perang bernama Babak Khorramdin.L dengan nama Hasan serta mempunyai adik-beradik bernama Muawiyah, Abdullah dan Ishak - banyak pihak beranggapan agama asal Khorramdin adalah Islam namun tiada bukti dapat memperjelaskan tanggapan ini.
Ajaran Khorramdin yang bukan saja bersifat keagamaan malahan bermotifkan politik, berjaya menyatukan kumpulan yang besar berikutan dogma yang mereka bawa. Doktrin ajaran ini membenarkan pengikutnya mengamalkan cara hidup yang positif, menggalakkan seseorang mencari kebahagiaan - tidak perlu takut dengan larangan atau peraturan yang dipegang mereka.
Gerakan Korramis mula perlahan apabila Babak Khorramdin berjaya ditangkap dan dihukum bunuh oleh pemerintah Khalifah Abbasiyah, selepas pembelotan salah seorang jeneral di bawah kumpulan beliau. Kepercayaan yang dipegang Khorramdin diteruskan oleh beberapa komuniti kecil di sekitar Iran dan Azerbaijan yang mewarisi bukan saja agama malahan impiannya mahu merdeka - sehinggakan beliau diangkat sebagai wira negara semasa Azerbaijan masih lagi dibawah kuasa Kesatuan Soviet. (The Khurramites and The Rebellion of Babak Khorramdin)
5. Alevi
Seperti yang kami sebutkan di atas, Alevi merupakan salah sebuah pecahan kepercayaan Yazdanis - namun kepercayaan ini berjaya berkembang sehinggga mempunyai identiti sendiri yang jauh berbanding asalnya.
Ini kerana ajaran Alevi turut sama mengagungkan Ali bin Abi Talib, serta mempercayai wujudnya konsep mirip konsep triniti dalam agama mereka.
Menurut kepercayaan mereka, Ali, Nabi Muhammad dan Allah swt. perlu dilihat sebagai satu konsep yang berhubung antara satu sama lain kepentingnnya, dengan Allah dilihat sebagai 'Haq,' Muhammad sebagai sebagai 'Yol' atau ikutan dan Ali sebagai 'Nur' atau petunjuk. Walaupun berbeza pegangan, mereka tetap menggelarkan diri mereka Muslim.
Orang Alevi mempercayai kesemua empat kitab utama dan juga mempercayai hadis Rasulullah. Selain itu, mereka juga menjadikan hasil khutbah, ceramah dan kisah Ali bin Abi Talib, yang dikumpul dalam sebuah kitab abad ke 10 bernama Nahj al-Balagha sebagai panduan. Kitab itu hasil karangan seorang penulis Syiah bernama Sharif Razi.
Panduan hidup mereka pula dibentuk menerusi sebuah kitab lain bernama 'Buyruks', yang mengandungi penerangan berkenaan kepercayaan, kisah pengajaran, syair serta ayat-ayat al-Quran di dalamnya.
Tidak mempercayai Kaabah sebagai kiblat, orang Alevi percaya solat boleh dilakukan tak kira mana arah sekalipun, kerana Allah swt. berada di mana-mana. Ketika ini, orang Alevi ramai berada di Turki dan negara sekitarnya - membentuk kumpulan minoriti terbesar Turki dengan populasi lebih 10% populasi Turki, dengan anggaran 25 juta orang penganut keseluruhannya di seluruh dunia. (Alevism - FAITH AND FEAR IN ISTANBUL)