Bagi masyarakat Islam, penekanan kepada amalan-amalan wajib dalam kehidupan harian kerap kali dilakukan dalam memastikan seseorang itu mempunyai asas amalan yang lengkap.
Bagaimanapun wujud juga beberapa cabang kemahiran dan ilmu lain, yang sebenarnya amat berfaedah seandainya dipelajari kerana mampu memberikan kesan baik jangka panjang kepada diri sendiri serta ahli masyarakat amnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima amalan dan kemahiran yang sepatutnya dipelajari semua individu Muslim, yang boleh memudahkan kita dalam hidup.
1. Belajar kaedah sembelihan
Masalah rasa was-was terhadap hasil sembelihan kerap kali mengundang kontroversi di kalangan ahli masyarakat kita.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, hendak tak hendak mereka boleh cuba mencari alternatif sumber daging yang diyakini tetapi bagi penduduk di kawasan kampung, kemampuan untuk membela ayam sendiri merupakan satu anugerah yang mampu membuat orang bandar iri hati.
Kemahiran untuk menyembelih haiwan agar status dagingnya tidak lagi diragui, merupakan satu kemahiran yang perlu ada pada kita semua.
Bermula daripada teknik dan kaedah mengawal haiwan sama ada lembu atau ayam, pengetahuan tentang kawasan mana yang perlu dipotong serta kemahiran mengasah pisau agar sesuai untuk sembelihan, setiap individu ada asas bukan saja dari segi teori bahkan turut sama dari segi praktikalnya.
2. Imamkan solat
Mengetuai solat nampak mudah, tetapi percayalah kemahiran untuk menjadi Imam memerlukan latihan yang mencukupi bagi memastikan rasa gugup itu hilang.
Pengetahuan tentang jenis bacaan yang perlu dibacakan sama ada bacaan secara senyap atau bacaan secara kuat ketika mengimami solat juga perlu diketahui terlebih dahulu.
Keperluan untuk menghafaz surah-surah lazim (kebiasaannya) sebagai bacaan selepas bacaan al-Fatihah, jika mengimami solat Subuh, Maghrib dan Isyak dan hafalan doa selepas solat juga merupakan satu kemahiran yang sebaiknya diketahui.
Hanya dengan berani menghadapi sendiri kegugupan mengimamkan makmum, khasnya ketika bersolat di surau awam seperti kompleks beli belah atau hentian lebuh raya akan memberikan anda keyakinan yang diperlukan. Jarang buat, jarang berlatih, nak baca lantang pun malu-malu.
3. Urus jenazah
Kursus pengurusan jenazah seringkali dianjurkan di masjid dan surau, dengan hanya mengenakan bayaran yang rendah.
Peserta akan diajar bagaimana nak menguruskan jenazah secara lengkap, bermula daripada proses mandi sehinggalah mengebumikannya.
Bagi mereka yang telah melalui sendiri kursus ini secara praktikal, diakui sukar sebenarnya menguruskan jenazah kerana setiap peringkat perlu dilakukan dengan teliti khasnya dalam urusan mandian dan mengafankan.
Realitinya, tidak ramai di antara kita pernah menjalani sendiri urusan ini secara nyata menyebabkan cabang ilmu ini tidak diletakkan sebagai satu keperluan yang harus kita ketahui. Sedangkan golongan yang baik untuk memandikan jenazah, adalah anak beranak si mati itu sendiri mengikut jantinanya.
Bilakah kali terakhir anda solat jenazah? Sekiranya kita perlu mengimamkan solat jenazah disebabkan keadaan memaksa, mampukah kita?
4. Asas ruqyah
Dalam perubatan Islam, ilmu ruqyah merupakan salah satu cabang ilmu yang kerap kali menjadi sandaran dalam usaha merawat pelbagai jenis kesakitan. Satu salah faham kita tentang ilmu ruqyah adalah ruqyah hanya diamal ketika berlakunya gangguan makhluk halus.
Sedangkan skop perubatan secara ruqyah mencakupi ruang yang lebih besar, termasuklah ikhtiar penyakit yang bersikap fizikal bukan sekadar sakit spiritual semata-mata.
Di negara kita, kursus perubatan ruqyah paling dikenali sudah pastilah melibatkan kursus yang dianjurkan Pusat Perubatan Darussyifa, yang memang membuka pintu mengalu-alukan kehadiran pelajar yang ingin belajar ilmu perubatan.
Badan kerajaan JAKIM juga kerap menganjurkan kursus ruqyah yang disertai penjawat awam, yang dianjurkan sebagai satu kursus alternatif bagi mereka yang ingin mendalami bidang ini.
Bersama-samalah kita ubah persepsi popular masyarakat kita bahawa ayat-ayat ruqyah tidak hanya terhad kepada gangguan jin semata-mata, sebaliknya turut sama mampu menyembuhkan penyakit seperti sakit mata, sakit kepala dan sebagainya.
Ilmu ruqyah paling asas melibatkan hafalan dan bacaan kesemua ayat ini, yang besar kemungkinan kita dah tahu tetapi jarang kita amalkan sebagai ubat kepada penyakit.