Seperti kebanyakan perkara di dalam hidup ini, mengembara seeloknya dilakukan bersama dengan rakan-rakan. Mengembara secara solo tidak dinafikan mampu memberikan anda suatu pengalaman yang cukup berbeza, namun ianya tidak setanding dengan mengembara secara berkumpulan. Setiap pengalaman diperoleh semasa pengembaraan, baik semasa mencuba makanan yang pertama kali dirasa sehinggalah melihat matahari terbenam, segalanya terasa lebih hebat dan bermakna bila dilakukan bersama rakan-rakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, mengembara secara berkumpulan tidak semudah yang disangkakan. Percutian jangkamasa panjang kebiasaannya akan membongkar perangai tersembunyi rakan-rakan anda yang buat anda rasa kurang selesa. Jangan terkejut jika anda terpaksa berjaga sepanjang malam dek kerana salah seorang dari rakan anda berdengkur dengan kuat.
Bagi mengelakkan percutian anda bertukar menjadi mimpi buruk, mari kita semak 12 jenis rakan yang patut anda mengembara bersama.
1. "Hidup cuma sekali. Jadi? Kita enjoy!"
Anda impikan pengembaraan yang akan diingati seumur hidup anda? Mengembaralah bersama rakan yang sukakan pengalaman luar biasa. Dengan ini, anda akan sentiasa bersemangat untuk mencuba aktiviti lasak yang mencabar kekuatan fizikal dan mental. Apa yang lebih menyeronokkan, bersiap sedialah untuk merasai setiap momen kembara bersama mereka yang akan mengubah perspektif anda tentang kehidupan.
2. Penggemar makanan
Pasti ada diantara rakan anda yang sememangnya gemarkan makanan. Berkawanlah dengan mereka kerana anda akan dapat tahu kafe dan restoran tempatan yang patut dikunjungi. Bahkan, perjalanan anda juga akan menjadi lebih singkat dan cepat memandangkan mereka ini mengikuti blog-blog makanan tempatan dan luar negara.
3. Kaki fotografi
Mereka akan membantu anda untuk merakam detik-detik indah sepanjang perjalanan. Dengan kepakaran yang mereka ada dalam bidang fotografi, pastinya anda tidak perlu untuk memikirkan tentang sudut terbaik di sesuatu destinasi. Malah, gambar yang akan dikongsikan di Instagram atau media sosial lain juga akan lebih cepat siap dengan skil Photoshop yang mereka ada. Percayalah, anda akan berterima kasih dengan mereka ini atas foto-foto menawan yang anda akan kenang dan simpan sampai bila-bila.
4. Suka merancang
Pengembara kebiasaannya cintakan aktiviti-aktiviti yang spontan dan bebas. Namun, elok juga untuk anda punyai sekurang-kurangnya seorang rakan yang ada membuat itenerari sebelum bercuti ke sesuatu tempat. Segala tempahan untuk acara seperti konsert, parti, jelajah mahupun majlis makan malam akan mereka lakukan terlebih dahulu. Sesuatu perjalanan itu akan menjadi lebih mudah dan lancar sekiranya ada 'si pencatit'.
5. Suka berjimat-cermat
Melancong dengan bajet yang rendah pasti menyukarkan jika anda tiada ilmu perancangan wang yang betul. Bersiar-siar di destinasi pelancongan akan menjadi lebih mudah jika ada seseorang yang akan mengingatkan anda akan moto 'mengembara tidak seharusnya mahal'. Malah, mereka juga akan menggunakan kemahiran tawar-menawar bagi mendapat diskaun terhebat. Mereka menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menerokai segala tawaran di laman web seperti TripAdvisor, forum dan kumpulan Facebook untuk mengetahui kos anggaran yang diperlukan bagi bilik hotel, makanan dan cenderahati.
6. Pakar bahasa
Kekangan bahasa merupakan masalah yang biasa dihadapi semasa melancong di luar negara. Sama ada kita tidak fasih atau orang di negara tersebut tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Namun, rakan yang menguasai Bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa asing yang lain boleh memudahkan perjalanan anda. Mereka ini bagaikan 'Google Translate' bergerak yang anda pasti cari untuk mengembara bersama selepas ini.
7. Pembiaya kewangan
Kebiasaannya mereka ini terdiri dari golongan berada yang sentiasa mempunyai sejumlah duit yang besar di dalam kad kredit atau akaun bank. Kita takkan pernah tahu akan apa yang bakal terjadi semasa kita mengembara tambahan pula di luar negara. Jadi, mereka ini bertindak sebagai penyelamat sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Namun, janganlah pula anda mengambil kesempatan. Paling penting, jangan lupa untuk memulangkan semula duit yang telah dipinjamkan itu.
8. Kaki jalan
Kalau dah namapun kaki jalan, mestilah mereka ini cukup berpengalaman untuk menunjukkan anda jalan ke kawasan menarik yang ada di sekitar lokasi pengembaraan anda. Seperti peta atau GPS, mereka ini tahu jalan terdekat untuk ke tempat terbaik yang patut anda lawati. Tidaklah anda menghabiskan banyak masa untuk sesat berbanding menikmati percutian anda.
9. Penggemar budaya dan sejarah
Bagi yang kurang sukakan cabaran, rakan seperti ini adalah pilihan tepat untuk menambah semangat anda untuk menerokai budaya tempatan serta tempat-tempat bersejarah di sekitar tempat yang dilawati. Oleh itu, anda akan lebih menghargai tradisi dan penduduk tempat yang ingin dikunjungi. Dengan ilmu yang ada, bolehlah anda pergi ke bandar yang kaya dengan budaya, menjadi tumpuan pelancong serta monumen yang bakal memberi anda perspektif berbeza tentang sesuatu destinasi itu.
10. Suka berdikari
Mengembara bersama rakan seperti ini bakal mengajar anda tentang erti pengembaraan yang sebenar. Tidak kiralah sama ada sewaktu anda ketinggalan kapal terbang atau membuat lencongan yang salah, mereka ini akan berfikir di luar kotak untuk mencari jalan penyelesaian. Bagi mereka, tiada halangan yang boleh diatasi tanpa usaha. Jika anda jenis yang suka berputus asa, mereka akan membantu menyelamatkan pengembaraan anda.
11. Si ringkas dan 'sempoi'
Dengan hanya membawa barangan penting sahaja, anda dijamin tidak mempunyai masalah di luar kawalan sewaktu check-in di lapangan terbang. Malah, perjalanan anda menerokai sesuatu tempat itu dengan berjalan kaki juga menjadi lebih cepat dan puas. Jika anda seorang yang gemar membeli-belah atau mengumpul cenderahati untuk dibawa pulang ke tanah air, mereka ini sentiasa ada ruang kosong di dalam beg untuk anda tumpang letak barangan tersebut.
12. Pelawak
Memang susah nak cari kawan yang punyai sense of humour. Kadangkala mereka ini dianggap menjengkelkan kerana sentiasa buat lawak tanpa mengira tempat dan situasi. Namun, kehadiran 'pak lawak' sebagai rakan pengembara mampu mengelakkan perjalanan anda lesu dan membosankan. Bila masing-masing dah letih berjalan, mereka inilah yang akan menceriakan suasana yang hambar dan janggal. Kalau penerbangan anda ditunda dan terpaksa bermalam di lapangan terbang, mereka ini akan memikirkan cara untuk menepis aura negatif yang menghilangkan mood percutian anda.