Dunia yang kita diami adalah tempat indah dan dikelilingi oleh spesies haiwan yang unik. Banyak daripada spesies ini jarang ditemui dan sukar difahami. Walau bagaimanapun, beberapa individu yang berada tepat pada masa dan tempatnya telah berjaya merakamkan haiwan-haiwan unik ini.
Berikut adalah 10 haiwan unik yang mungkin akan membuatkan anda berasa terkejut melihatnya.
BESARKAN TEKS A- A+
10. Burung Perling Ungu
Burung ini juga dikenali dengan nama Perling Plum atau Perling Batu Kecubung (amethyst) kerana warna ungu terang pada bahagian belakang badannya. Burung Perling Ungu ini berasal dari kawasan tropika Afrika. Burung ini banyak menghabiskan masa di atas pokok berbanding di tanah.
Bulu burung ini menyerupai warna galaksi kerana struktur mikro mereka. Mikrostruktur pada bulu burung ini boleh memantulkan cahaya seperti prisma yang mempamerkan warna bersemarak.
Namun, hanya burung jantan sahaja yang mempunyai warna menawan ini kerana burung betina daripada spesies ini berwarna coklat. Perbezaan unik antara dua jantina ini adalah disebabkan oleh dimorphik seksual. Ia adalah satu keadaan di mana dua jenis kelamin spesies yang sama mempamerkan ciri-ciri berbeza seperti saiz, berat warna, tanda dan tingkah laku. (sumber)
9. Serval Melanistic
Serval adalah spesies kucing liar yang berasal dari Afrika. Ia adalah kucing kecil yang dibezakan dengan ciri seperti bulu berwarna kuning keemas-emasan dengan jalur hitam. Walau bagaimanapun, di antara spesies kucing liar ini terdapat jenis serval berwarna hitam yang amat jarang dijumpai.
Kucing liar hitam ini dikenali sebagai Serval Melanistic. Haiwan unik ini kali pertama ditemui oleh seorang jurugambar Kenya bernama Sergio Pitamitz. Haiwan ini mengalami mutasi gen yang mengakibatkan ia berwarna gelap jika dibandingkan dengan spesies serval normal.
Tidak banyak yang diketahui mengenai spesies unik ini. Mereka biasanya hidup di kawasan lebih tinggi dan pakar dalam penyamaran. Ia dianggap sebagai pemangsa tunggal yang menyerang tikus, burung dan serangga. (sumber)
8. Ayam Cemani
Ayam Cemani adalah baka ayam yang berasal dari Sumatera, Indonesia. Ayam ini adalah hasil daripada pembiakbakaan kacuk. Nama Cemani adalah merujuk kepada nama kampung di mana ayam ini mula-mula berasal.
Ayam Cemani dipercayai sering digunakan untuk tujuan keagamaan dan mistik pada zaman dahulu dan jarang digunakan sebagai makanan di Indonesia. Ayam unik ini sepenuhnya berwarna hitam termasuk paruh, lidah, daging, tulang dan organ dalamannya.
Warna hitam ayam ini adalah hasil pigmen yang berlebihan disebabkan oleh tisu hasil daripada keadaan genetik yang dikenali sebagai fibromatosis. Ayam yang unik ini sangat tinggi harganya dan dijual pada harga kira-kira 25 juta rupiah (RM7200) ke atas bagi seekor. (sumber)
7. Papilio Androgeus gynandromorph
Papilio androgeus adalah spesies kupu-kupu dalam keluarga Papilionidae. Spesies ini ditemui tertumpu di sekitar Mexico, Florida hingga ke Argentina. Spesies ini pertama kali dikaji oleh Cramer pada tahun 1775 dan mempunyai tiga jantina iaitu jantan, betina dan gynandromorph.
Kupu-kupu ini mempunyai ciri-ciri berekor sempit, tajam dan berbentuk bulan sabit. Ia juga mempunyai garisan merah kekuning-kuningan di antara sel dan margin luar.
Papilio androgeus gynandromorph adalah spesies kupu-kupu ini yang paling unik kerana ia memaparkan ciri-ciri campuran jantan dan betina. Kupu-kupu yang mempamerkan gynandromophisme dua hala dapat dilihat dalam warna dan bentuk sayap yang berbeza. (sumber)
6. Mentadak Orkid
Mentadak Orkid aka Hymenopus coronatus adalah sejenis mentadak merah jambu dan putih yang menyerupai kelopak bunga. Mentadak yang jarang dijumpai ini terdapat di kawasan hutan tropika Asia Tenggara terutamanya Malaysia.
Mentadak orkid mempunyai ciri-ciri berwarna terang serta mudah menyesuaikan diri dengan keadaan alam sekitar. Haiwan ini adalah pakar dalam penyamaran seperti meniru bahagian-bahagian kelopak bunga orkid.
Mentadak ini agak sukar mencapai usia dewasa kerana sering menjadi mangsa haiwan seperti burung yang sering hinggap di bunga. Mentadak orkid ini merupakan koleksi kegemaran di kalangan penternak serangga dan harganya agak mahal. (sumber)
5. Iguana Badak Sumbu
Iguana Badak Sumbu adalah spesies cicak yang berasal dari Caribbean Island of Hispaniola (Haiti dan Republik Dominika). Iguana ini mendapat namanya dari pertumbuhan pseudo pada kepalanya yang menyerupai tanduk badak.
Badan iguana ini dipenuhi dengan kulit keras berwarna kelabu sehingga kehijau-hijauan. Ciri-ciri fizikal paling menonjol tentang Iguana Badak ialah tiga bonjolan tanduk pada hidungnya.
Iguana jantan mempunyai tanduk yang lebih besar berbanding betina. Ia hidup di kawasan terbuka, berbatu dan belukar yang padat. Iguana ini aktif pada waktu siang. Walaupun mempunyai rupa yang menakutkan tetapi mereka adalah haiwan herbivor yang makan buah-buahan, daun dan bunga. (sumber)
4. Lintah Bulan Kaputar
Lintah bulan Kaputar ini adalah spesies lintah bulan gergasi yang berwarna merah jambu. Ia hanya boleh ditemui di Gunung Kaputar di Australia dan boleh membesar sehingga lapan inci panjang.
Gunung Kaputar ialah sebuah gunung pendalaman yang terletak berhampiran Narrabri di utara New South Wales. Letusan yang pernah berlaku di Gunung Kaputar mencipta ketinggian yang ideal untuk lintah bulan ini berkembang biak.
Ia sukakan persekitaran yang lembab. Haiwan ini juga amat pemalu dan sering bersembunyi di sebalik pokok-pokok. Lintah bulan ini aktif pada waktu malam dan hidup dengan memakan alga dan lumut yang tumbuh di sekeliling. (sumber)
3. Anjing Andean
Baka Anjing Andean yang begitu unik kerana mempunyai dua ini telah ditemui oleh seorang penjelajah bernama Colonel Percy Fawcett pada tahun 1913. Dia mula-mula menemui baka unik itu ketika berada di tengah hutan tebal Amazon.
Walau bagaimanapun, tidak ada catatan rasmi yang mengesahkan kewujudan baka anjing berhidung dua ini kerana penemuannya hanya direkodkan sebanyak tiga kali sahaja. Baru-baru ini, penjelajah bernama Kolonel John Blashford-Snell menemui pula baka anjing bernama dipanggil "Xingu" yang bermaksud "tidak begitu cantik"
John menemui ibu Xingu iaitu Bella pada tahun 2005 yang juga merupakan seekor Anjing Andean. Anjing itu dipercayai membiak sejak abad ke-16 apabila penjelajah Sepanyol menggunakan anjing baka ini di Amazon untuk memburu harimau bintang. Hidungnya yang unik itu dikatakan mempunyai deria yang lebih hebat. (sumber)
2. Arnab Ili Pika
Arnab Ili Pika yang digelar sebagai "arnab ajaib" ini adalah spesies mamalia yang jarang ditemui dan banyak mendiami kawasan di barat laut China. Haiwan pemalu ini ditemui pada tahun 1983 di Pergunungan Tianshan dan masih lagi misteri sehingga hari ini.
Arnab ini berjaya diambil fotonya buat pertama kali dalam 20 tahun oleh seorang pasukan pemuliharaan, Li Weidong, daripada daerah Ili. Arnab biasa mempunyai telinga yang panjang tetapi Ili Pika mempunyai ciri-ciri telinga pendek dengan bulu terang dan bintik-bintik berkilau pada dahi dan lehernya.
Haiwan ini mempunyai kaki yang lebih pendek berbanding arnab biasa bagi memudahkan pergerakannya di kawasan pergunungan. Ili Pika sangat sensitif terhadap perubahan cuaca. Menurut penyelidik, mereka percaya populasi arnab ini telah menurun sebanyak 70% dalam masa 15 tahun. (sumber)
1. Qi Zai
Qi Zai adalah seekor panda unik, subspesies dari panda gergasi yang ditemui di Qinling pada tahun 1960-an. Ia mula diiktiraf sebagai subspesies panda gergasi pertama pada tahun 2005.
Panda Qinling ini adalah lebih kecil berbanding panda biasa. Namun, panda daripada Qinling ini mempunyai pebezaan seperti kepala yang lebih bulat dan kecil, gigi yang lebih besar dengan bulu yang berwarna coklat.
Terdapat kira-kira 200 hingga 300 ekor panda Qinling berada di Pergunungan Qinling. Pada tahun 1989, seekor panda Qinling betina telah ditangkap dan dikacukkan dengan panda biasa. Ia kemudian melahirkan seekor anak yang diberi nama Qi Zai yang dilaporkan berubah warna kepada lebih cerah ketika membesar. Ia adalah fenomena unik hasil daripada pembiakbakaan kacukan. (sumber)